PERPECAHAN ADALAH SATU BALA DARI TUHAN.
Apabila masyarakat berpecah-belah maka akan timbul berbagai-bagai gejala yang negatif, yang menyakitkan dan menyusahkan manusia. Akan berlaku pelbagai krisis, kata-mengata, dan tuduh menuduh. Maka akan berlakulah pergaduhan. Hidup manusia menjadi kucar kacir dan tidak aman. Kehidupan tergugat. Keselamatan tergugat. Ekonomi juga tergugat. Segala-galanya tergugat. Jenayah pula berleluasa. Akan banyak berlaku kecurian, rompak merompak, rogol, pergaduhan dan bunuh-membunuh. Manusia menjadi cemas dan takut. Hidup seperti dalam Neraka.
Firman Tuhan:
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا
Maksudnya:
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai. Ali-Imran :103
Pengertian Tafarruq.
Tafarruq dalam bahasa Arab ( تفرق ) ertinya perpecahan.
Orang Melayu yang beragama Islam memiliki kedudukan geografi yang strategik, berada di kawasan Asia Tenggara. Rumpun bangsa Melayu yang tinggal di kawasan tersebut dikenali Semenanjung Tanah Melayu.
Era penjajahan British di abad-abad silam telah menjadikan rumpun bangsa ini terpecah dalam negara-negara baru pasca Perang Dunia II, mengikuti bangsa manakah yang menjajahnya. Wilayah yang dikuasai Belanda kemudian menjadi Indonesia, wilayah yang dikuasai British kemudian menjadi Malaysia dan Singapura, wilayah yang dikuasai Amerika Syarikat kemudian menjadi Filipina.
Tidak dapat dinafikan bahwa sesungguhnya penduduk kawasan Nusantara atau Asia Tenggara ini tetaplah satu keluarga besar iaitu rumpun bangsa Melayu. Namun begitu kekuatan sebagai keluarga Asia Tenggara ini sudah rapuh kerana telah dipecahkan dan dibahagikan oleh penjajah malah lebih teruk lagi setiap satunya di-labelkan dengan status yang berbeza supaya semakin sukar lagi berlakunya persatuan sesama mereka. Inilah realiti yang berlaku dan lebih teruk lagi masyarakat islam sesama sendiri tidak bersatu dan mudah dimainkan oleh musuhnya.
Punca terjadinya perpecahan ini ialah bilamana matlamat dan halatuju utamanya hanya mencari kesenangan dan keselamatan nafsi-nafsi, iaitu untuk kepentingan sendiri. Pendek kata biar orang lain susah jangan kita susah. Inilah yang menghakis kasih sayang dari hati manusia seterusnya menimbulkan perpecahan dan pergaduhan, lebih teruk lagi membawa kepada perperangan. Lebih menyedihkan ianya berlaku dikalangan umat islam sendiri.
Sebuah hadis diriwayatkan daripada Thauban r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud:
"Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi hidangan dan mengajak orang lain makan bersama."
Maka para sahabat r.a. pun bertanya, "Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?"
Sabda Baginda SAW: "Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut."
Sahabat bertanya lagi, "Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?"
Jawab Rasulullah SAW, "Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn."
Sahabat bertanya lagi, "Apakah itu al-Wahn?"
Rasulullah SAW bersabda: "Cintakan dunia dan takut akan kematian."
HADIS-hadis terakhir Nabi s.a.w. banyak memaparkan perihal keperihatinan dan kerunsingan baginda terhadap situasi umat Islam pada akhir zaman. Sebab itulah ungkapan ‘umatku” diulang-ulang dan merupakan lafaz kata terakhir Nabi s.a.w. yang didengari isteri baginda Saidatina Aisyah r.a. sebelum diwafatkan oleh Allah.
Demikianlah kuatnya kasih dan sayang Nabi s.a.w. terhadap umat baginda sehinggakan pada saat-saat akhir hayat terus resah memikirkan nasib umat. Antara yang paling dibimbangi Rasulullah s.a.w. sebagaimana diungkapkan dalam banyak hadis ialah senario perpecahan di kalangan umat Islam yang diakibatkan oleh cinta dunia dan takut mati.
Bilamana umat islam tidak bersatu secara keseluruhan, maka musuh islam teruslah permain-mainkan dan dijadikan boneka permainan mereka. Umat islam hanya mampu berslogan pada masa yang sama saudara seagama dibunuh dan disembelih, dimain-mainkan dan dijadikan boneka lalu dihina dimana-mana. Ini semua kerana ajaran dan perjuangan Nabi Muhammad saw tidak lagi dibesarkan malah ditinggalkan. Allah bukan lagi matlamat dan langsung dilupakan.