KHUTBAH RAYA FITRAH.

MULIA DAN BERJAYA MENGIKUT PANDANGAN TUHAN.

KHUTBAH PERTAMA

اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي )   اللهُ أَكْبَرُ ( 3  كالي )   اللهُ أَكْبَرُ ( 2  كالي )   اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا

الحَمْدُ ِللهِ الَّذِى وَفَّقَنَا لِعِبَادَتِهِ . وَجَعَلَ هذَا اليَوْمَ فَرْحًا لِعِبَادِهِ الُمتَّقِيْنَ الَّذِيْنَ فَازُوْا بِصِيَامِ رَمَضَانَ وَقِيَامِهِ  .وَأَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  . أَمَّا بَعْدُ …. فَيَا أَيُّهَا المُسْلِمُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

إِنَّ الَّذِينَ هُم مِّنْ خَشْيَةِ رَبِّهِم مُّشْفِقُونَ ﴿٥٧﴾ وَالَّذِينَ هُم بِآيَاتِ رَبِّهِمْ يُؤْمِنُونَ ﴿٥٨﴾ وَالَّذِينَ هُم بِرَبِّهِمْ لَا يُشْرِكُونَ ﴿٥٩﴾وَالَّذِينَ يُؤْتُونَ مَا آتَوا وَّقُلُوبُهُمْ وَجِلَةٌ أَنَّهُمْ إِلَىٰ رَبِّهِمْ رَاجِعُونَ ﴿٦٠﴾ أُولَـٰئِكَ يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَهُمْ لَهَا سَابِقُونَ ﴿٦١


Saidina Umar pernah berkata, lebih kurang begini: “Kami orang-orang Arab telah dimuliakan Tuhan dengan sebab Islam.”

Saudara saudari yang dirahmati Allah sekalian, apa yang hendak diperkatakan kali ini adalah 'apa itu erti mulia'. Apakah erti mulia menurut pandangan Tuhan. Sebab maksud mulia ini kalau kita rujuk pada manusia macam-macamlah jawapan. Kebanyakannya bersifat dunia. Orang ramai akan mengatakan kemuliaan itu dirujuk pada kuasa, jawatan dan ilmu yang tinggi. Apa erti mulia itu sebenarnya mengikut pandangan Tuhan?

Para hadirin jemaah sekalian. Mulia ini, dia ada hubungan dengan status hidup manusia. Status itulah bagaimana manusia hendak gunakan apakah menjadi orang mulia atau menjadi orang hina. Manusia ini tak sama statusnya, kedudukannya. Ada yang jadi raja, berkuasa, berilmu ada yang pandai, kaya, miskin, ternama, susah, senang, dan lain-lain. Tentulah Saidina Umar bila berkata orang arab dimuliakan Tuhan kerana Islam, tentu Saidina Umar nampak waktu itu orang Arab ada berbagai status. Yang berbagai status itu Saidina Umar anggap Tuhan muliakan dengan sebab Islam. Islam yang satu.

Bagaimana Saidina Umar menilai orang Arab, bangsanya ketika itu? Waktu itu mereka berbagai-bagai status, ada yang jadi pemimpin, pengikut, kaya, miskin, terkenal, tak terkenal. Tapi Saidina Umar sebut 'mulia'. Mereka yang berbagai satus itu mulia dengan Islam, atau mulia dengan Tuhan.


اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

فرمان الله دالم ايات 1-11   سورة المؤمنون

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢﴾ وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ ﴿٣﴾ وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ ﴿٤﴾ وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ﴿٥﴾ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ﴿٦﴾ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ ﴿٧﴾ وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ ﴿٨﴾ وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ ﴿٩﴾ أُولَـٰئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ ﴿١٠﴾ الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya:

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);
Dan mereka yang menjaga kehormatannya, - Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: - 
Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi - 
Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya. 
(Al-Mukminun:1-11).

Allahuakbar 3x walillahilhamd

Hadirin hadirat sekalian. Akhlak menempati kedudukan yang mulia dalam Islam, bahkan di antara misi utama agama ini adalah menyempurnakan akhlak yang mulia, sebagaimana sabda Nabi SAW :

 اكمل المؤ منين ايمانا احسنهم خلقهم

Ertinya: “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya”

Dari penjelasan hadis di atas dapat disimpulkan bahwa seseorang yang mempunyai keimanan paling sempurna adalah apabila orang tersebut memiliki akhlak yang baik, kerana dari akhlak yang baik akan menimbulkan hati yang bersih untuk beribadah dan menambah keimanan seseorang kepada Tuhannya. Bahkan akhlak yang baik menjadi penyebab terbanyak masuknya seorang hamba ke dalam syurga, kerana dengan begitu seorang hamba akan selalu melaksanakan perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya.

Para jemaah yang dikasihi Allah sekalian.

Bagaimana orang yang berbagai status itu mulia menurut ukuran Tuhan. Pada zaman sekarang ini termasuk di kalangan umat Islam yang sudah rosak, bahkan ulama yang sudah rosak ini, kemuliaan itu diukur berdasarkan status. Kalau dia jadi raja maka mulialah dia. Kalau dia pemerintah mulialah orang itu. Siapa yang kaya, mulialah orang itu. Siapa yang ilmunya tinggi orang akan anggap mulainya orang itu.

Jadi kemuliaan itu orang rujuk pada status sedangkan status itu ukuran dunia. Kalau tinggi dunianya tinggilah dia, kalau rendah dunianya rendahlah dia. Ulama pun kalau ditanya, begitulah dia mengukur. Sebab itu di dunia hari ini orang dididik supaya mengejar status yang tinggi. Sebab mereka anggap status dunia yang tinggi itu mulia. 

Kalau status dunianya rendah maka rendahlah kemuliaannya atau dianggap tidak mulia. Ini satu kesalahan besar. Sebab kalau diukur pada status dunia, yang status dunianya rendah dia dianggap tak mulia, sedangkan di dunia ini, yang berstatus rendah itu yang ramai manakala yang berstatus tinggi itu sedikit saja. Lalu yang ramai ini mahu jadi apa?

Allahuakbar 3x walillahilhamd

Saudara saudari calon ikhwan sekalian. 

Tuhan menilai mulianya seseorang bukan dilihat status dunia tapi sejauh mana dia mengamalkan ajaran Tuhan. Seorang raja atau pemerintah kemuliaannya bukan kerana dia jadi raja, pemerintah, atau pemimpin, tapi mulianya seorang raja, pemerintah, atau pemimpin ialah kalau dia boleh tunduk dan patuh kepada Tuhan, boleh kenalkan Tuhan pada orang ramai. Dengan status tinggi dia merendah diri, tawadhuk, dan adil. Itulah letak kemuliaannya. Kalau status itu disalah guna, dia akan zalim, sombong, angkuh, dan megah. Dia ambil kesempatan di atas status itu maka pada pandangan Allah, dia itu hina.

Begitulah orang kaya, kekayaannya itu bukan dengan itu dia jadi mulia tapi mulianya orang kaya adalah pemurah, membantu orang, disamping dia beriman dengan Tuhan, dia pemurah, dia merendah diri, dia tak megah, inilah kemuliaan orang kaya.

Kemuliaan orang berilmu bukan kerana ilmunya. Katalah seorang ulama, banyak ilmunya, tapi dia tawadhuk, memimpin umat, mempromosi Tuhan hingga orang ramai sampai takut dan cintakan Tuhan. Inilah kemuliaan ulama. Jadi bukan pada ilmunya.

Seorang yang miskin tentu orang anggap hina. Orang anggap tak mulia. Tapi sebenarnya, orang miskin juga dapat kemuliaan di sisi Tuhan sepertimana ulama, pemimpin, orang kaya, kalau dia beriman pada Tuhan, sabar. Dia miskin tapi tak terasa terhina, tak tipu orang, tak kelentong orang, tak curi barang-barang orang. Itu kemulian orang miskin. Miskin bukan masalah, bukan kehinaan. Tak salah jadi orang miskin dengan syarat sabar, tak rasa hina, beriman kepada Tuhan. Bahkan secara tersirat, mungkin dia lebih mulia daripada orang yang statusnya lebih tinggi dari dia.

Allahuakbar 3x walillahilhamd

Ada hadis menyebut, kalau seseorang itu bertaqwa kepada Tuhan, berusaha mati-matian mencari rezeki tapi tak kaya-kaya, tak senang-senang, berhadapan dengan kesusahan, usaha pahalanya itu jihad fi sabilillah. Tak muliakah? Tak pergi perang, tak pergi berjuang, tak dibunuh dan tak membunuh, sekadar mencari rezeki yang halal itu saja mendapat jihad fi sabilillah. Pahala ini begitu tinggi, begitu mulia disisi Tuhan.

Begitu juga seorang miskin yang beriman dengan Tuhan, oleh kerana susahnya kadang-kadang ada makanan yang dia minat, ingin sangat makanan, cicir air liur, tapi nak beli tak ada duit. Di restoran nampak orang makan, dia ingin sangat makan tapi tak dapat dan dia bersabar serta redha kepada Allah, maka kata Allah dalam hadis: orang ini diampunkan dosa-dosanya. Diampunkan dosa-dosa itu mulialah. Kadang-kadang orang yang status dunianya rendah lebih senang dapat kemuliaan di sisi Tuhan dari orang yang statusnya tinggi.

Baru kita faham bahawa kemuliaan itu bukan diukur dari status dunia tapi sejauh mana dia beriman dan mengamalkan ajaran Tuhan.

Tapi di sudut lain, katalah Orang miskin tawadhuk dapat pahala juga tapi tak besar. Sebab dia miskin. Tapi kalau jadi raja bila dia tawadhuk dapat pahala besar, sebab susah hendak tawadhuk. Walaupun Tuhan perintahkan semua orang tawadhuk, tawadhuk raja dan tawadhuk orang miskin tak sama markah, sebab sebagai raja susah untuk tawadhuk. Begitu juga pemurah. Orang miskin pemurah mungkin ada maksud-maksud lain supaya orang tolong dia waktu dia susah. Tapi kalau orang kaya pemurah besar nilainya di sisi Tuhan. Kalau orang miskin bakhil, salah juga tapi tak besar sangat. Kalau orang kaya bakhil, besar sangat salahnya. Itulah diantara keadilan Tuhan.

Macam ulama, kalau dia merendah diri, tawadhuk, memberi nasehat orang, menyampaikan risalah Tuhan, memperkenalkan Tuhan, besar pahalanya, besar kemuliaannya di sisi Tuhan. Tapi kalau selain orang alim dapat pahala juga, tapi tak sebesar orang alim. Dia tengok kedudukan. Kalau orang itu kedudukannya susah untuk buat suatu kebaikan, susah untuk merendah diri, tapi dia buat juga, maka besar nilainya di sisi Tuhan.

Para jemaah sekalian.

Kalau orang biasa boleh merendah diri, pemurah, tawadhuk dapat pahala juga, tapi tak sebesar orang yang dengan statusnya lebih susah untuk buat perkara itu. Raja dengan orang awam mana lebih susah untuk merendah diri? Tentu Raja. Kalau raja boleh merendah diri itu kemuliaan dia. Orang yang susah, susah nak sabar. Orang senang lebih mudah sabar. Kalau orang susah boleh sabar dengan kesusahan, inilah kemuliaan dia di sisi Tuhan daripada orang kaya atau orang besar-besar yang sabar.

Kalau orang miskin berlaku adil pahala juga, tapi lebih mudah dari orang besar berlaku adil. Ada hadis, kalau pemerintah itu satu saat boleh berlaku adil, lebih besar pahalanya dari abid ibadah 70 tahun. Sebab orang yang memerintah itu untuk adil susah. Kerana kuasa ada di tangan untuk rasuah, tangkap orang, dia boleh buat. Tapi kalau dalam keadaan itu dia boleh berlaku adil, satu saat saja pahalanya lebih dari ibadah abid 70 tahun.

Allahuakbar 3x walillahilhamd.

Saudara saudari sekalian.

Selepas orang beriman, kemuliaan seseorang itu tak sama, mengikut keadaan. kemuliaan pemimpin tak sama dengan rakyat, kemuliaan orang miskin dengan kemuliaan orang kaya, kemuliaan orang jahil tak sama dengan kemuliaan orang kaya.

Sebab itu Saidina Umar kata kami orang arab dimuliakan Tuhan kerana Islam. Ertinya semua orang Arab yang berbagai status itu dapat kemuliaan dari Tuhan asal dia beriman & dapat buat kebaikan di kedudukan masing-masing. Jadi kemuliaan itu bukan keraa status di dunia. Ia beriman atau tidak? Kalau beriman bagaimana dia guna status itu, ikut syariat atau tak? Kalau semua guna ikut syariat, semuanya mulia di sisi Tuhan. Inilah keadilan Tuhan.

بَارَكَ   اللهُ   لِيْ   وَلَكُمْ   فِي   القُرْآنِ   العَظِيْمِ   وَنَفَعَنِي   وَإِيَّاكُمْ   بِمَا   فِيْهِ   مِنَ   الآيَاتِ   وَالذِّكْرِ   الحَكِيْمِ   وَتَقَبَّلَ   مِنِّي   وَمِنْكُمْ   تِلاوَتَهُ   إِنَّهُ   هُوَ   السَّمِيْعُ   العَلِيْمُ   وَاسْتَغْفِرُ   اللهَ   العَظِيْمَ   لِيْ   وَلَكُمْ   وَلِسَائِرِ   الُمْسِلِمْينَ   وَالمُسْلِمَاتِ   وَالمُؤْمِنِيْنَ   وَالمُؤْمِنَاتِ   فَاسْتَغْفِرُوْهُ   فَيَا   فَوْزَ   المُسْتَغْفِرِيْنَ   وَيَا   نَجَاةَ   التَّائِبِيْنَ
 
 

KHUTBAH KEDUA:

 
اللهُ أَكْبَرُ ﴿ 3 كالي ﴾ اللهُ أَكْبَرُ ﴿ 3 كالي ﴾ اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا. الحَمْدُ ِللهِ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأحْزَابَ وَحْدَهُ . أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَرِيْكَ لَهُ ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ ، اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .أَمَّا بَعْدُ..فَيَا أَيُّهَا المُسْلِمُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ وَأَطِيْعُوْهُ وَاعْلَمُوْا أَنَّ اللهَ يُحِبُّ المُتَّقِيْنَ 
Firman Tuhan:

وَلَمَّا رَأَى الْمُؤْمِنُونَ الْأَحْزَابَ قَالُوا هَٰذَا مَا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَصَدَقَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَمَا زَادَهُمْ إِلَّا إِيمَانًا وَتَسْلِيمًا

Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah. (Al-Ahzab:22).

DALAM DIRI MANUSIA ADA MEDAN PEPERANGAN YANG AMAT DAHSYAT.

Maksud sabda Rasulullah SAW:

"kita pulang dari medan perang iaitu jihad kecil dan menuju satu medan jihad yang lebih besar iaitu ' jihad nafs ' perjuangan melawan hawa nafsu".

Dalam diri manusia ada medan pertempuran dan peperangan. Iaitu Peperangan antara Nafsu, Akal dan Roh. Manusia memuja nafsu dan akal, dari orang besar, orang biasa sangat bertuhankan nafsu. Orang cerdik pandai bertuhankan nafsu dan akal. Kezaliman yang amat dahsyat iaitu bila manusia mengagungkan akal dan nafsu atau bertuhankan akal dan nafsu.

Kemuncak kezaliman manusia iaitu bila bertuhankan akal dan nafsu. Menjadikan manusia angkuh dan sombong menggunakan kuasa sesuka sukanya untuk menindas siapa saja yang diingini maka di kemuncak kezalimannya Allah pun melakukan janji-Nya pertolongan dan pembelaan yang sebesar besarnya kepada kebenaran iaitu mereka yang bertaqwa.

Mari kita sungguh-sungguh mempastikan benih taqwa itu ditanam sampai tumbuh dan melahirkan pokok dan buah, itulah kerja kita setiap hari. Dari bangun tidur hingga kita kembali tidur. Dalam kerja dan tugas yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita oleh kerajaan atau jemaah, sama ada sebagai pengarah, pegawai, pengurus, kerani, petugas, guru dan sebagainya di berbagai bahagian dan jabatan.

Kalau kita bertanggungjawab, tidak curi tulang, tidak buang masa, kerja kita bersungguh-sungguh, ada kasih sayang, tetamu dan pelanggan dilayan dengan baik, berkerja pula di atas syariat Tuhan kerana takut dan cinta Tuhan, maka itu menanam benih taqwalah namanya. Ia akan melahirkan batang, dahan, ranting, daun, bunga dan buah taqwa. Itu baru tugas kita yang rasmi. Apatah lagi dalam apa yang kita buat di dalam hidup kita seharian yang berbentuk tidak rasmi.

Di sini lagi banyak benih taqwa yang dapat kita tanam. Contohnya, kalau nampak sampah di premis, kita buang. Kita nampak duri, paku, serpihan kaca atau najis diperjalanan, kita buang. Kita mentadbir dan mendidik keluarga. Kita berjiran. Kita berkawan. Itu semua adalah menanam benih taqwa.

Firman Tuhan tentang Akal:

 أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنسَوْنَ أَنفُسَكُمْ وَأَنتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?
(Al-Baqarah: 44).

Firman Tuhan tentang pertarungan roh:

إِذْ هَمَّت طَّائِفَتَانِ مِنكُمْ أَن تَفْشَلَا وَاللَّهُ وَلِيُّهُمَا وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal. (Ali-Imran:122).

Firman Tuhan tentang perturut hawa nafsu:

إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

"Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu".
(Al-Baqarah:120).

Bermujahadah dan berperang dengan hawa nafsu ini hakikatnya ialah berperang dengan diri sendiri. Ia sungguh sakit, perit dan menyesakan. Ia sungguh rumit dan mencabar. Ramai orang boleh jadi hero dan wira dalam perang dan pertempuran senjata tetapi tidak ramai yang sanggup lebih-lebih lagi yang berjaya berperang melawan nafsu amrahnya sendiri. Itu sebab Rasullulah SAW mengakatan bahawa perang melawan hawa nafsu ini lebih besar dari perang bersenjata. Orang yang boleh menundukan hawa nafsunya ialah wira yang  sejati. Dia selamat didunia dan diakhirat

اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ اللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الأحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأمْوَاتِ إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعَوَاتِ وَقَاضِيْ الحَاجَاتِ 

اللّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنَّا صَلاتَنَا وَصِيَامَنَا وَقِيَامَنَا وَزَكَاتَنَا وَجَمِيْعَ حَسَنَاتِنَا وَاجْعَلْهَا خَالِصَةً لِوَجْهِكَ الكَرِيْم. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. سبُحْاَنَكَ اللّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُمْ فِيْهَا سَلامٌ وَآخِرُ دَعْوَاهُمْ أَنِالحَمْدُ ِللهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?