MEMAHAMI DAN MENGHAYATI ZIKIR YANG DAPAT MEMBAIKI DIRI.

Firman Allah:

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. (Ali Imran: 191).


Jalan untuk memperbaiki diri ialah dengan berzikir. Bermula dari zikir qauli (lidah), zikir fi’li (perbuatan) dan zikir qaibi (hati). Zikir yang paling besar atau agung ialah solat. Di dalamnya terkandung segala bentuk zikir, amalan para malaikat serta para nabi dan rasul. Selain itu, di dalamnya kita meminta petunjuk, keampunan, mengadu dan bermanja dengan Tuhan. Di dalamnya juga kita memuji, membesar dan mensucikan Tuhan. Di dalam solat, Allah SWT mendidik kita.

Namun demikian, Allah tidak mendidik semua orang yang mendirikan solat. Allah hanya mendidik orang-orang yang tertentu sahaja iaitu orang-orang yang khusyuk, tawadhuk dan khuduk di dalam solat. Allah SWT hanya mendidik orang-orang yang membawa fikiran dan hati mereka di dalam solat. Iaitu orang-orang yang faham apa yang mereka lakukan dan apa yang mereka lafazkan. Orang-orang yang dapat menghayati dan merasakan di hati mereka tentang apa yang mereka buat dan lafazkan di dalam solat. Bermula dari takbiratul ihram (semasa mengucapkan lafaz Allahu Akbar pada permulaan sembahyang). Jika difahami dan dihayati sungguh-sungguh akan menimbulkan rasa-rasa tertentu di hati.
"Allahu Akbar" dalam takbir itu bererti "Allah Maha Besar." la merangkumi segala sifat Allah SWT yang hebat seperti sifat Jabbar, Qahhar, Gagah Perkasa, Berkuasa, Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Yang Paling Hebat sehingga apabila Dia berkata, "Jadi" maka jadilah ia. Maka dengan takbir itu hati akan merasa takut, hebat dan gerun dengan Allah SWT. Begitulah Allah SWT mendidik kita. Kita datangkan contoh doa dan zikir Nabi Yunus di sini. Kesannya sangat mendalam.

Nama Nabi Yunus as disebut 4 kali di dalam al-Quran, iaitu Surah An-Nisaa' :163, surah Al-An'aam :86, surah Yunus :98, dan Ash-Shaafaat :139. Di dalam Surah al-Anbiyaa', nama Nabi Yunus tidak disebut, tetapi yang disebutkan hanya kisahnya sahaja.

Maksud firman Tuhan,
"Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri". ( Al-Anbiyaa :87 ).
" Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami). ( Al-Anbiyaa :88 ).

Sejarah Zikir Taubat Nabi Yunus as.

Nabi Yunus as adalah seorang nabi dan rasul yang Allah utuskan untuk kaum Ninawa yang terletak di negeri Mausol (Mosul, Iraq). Kini nama Ninawa (Neneveh) ialah sebuah daerah atau kawasan di wilayah utara negara Iraq yang terletak di Mosul. Ketika itu, kaum ini tidak lagi menyembah Allah, namun berhala. Mereka gemar melakukan maksiat. Nabi Yunus berusaha berdakwah dan menyedarkan mereka, namun hanya beberapa orang saja yang mengikutinya.

Begitulah sejarah kepada para nabi dan rasul, ujian yang Allah datangkan dari kaum mereka sendiri. Di saat kaum dan bangsa dari negeri lain senang dan menerima dakwah baginda, kaum Nabi Yunus as sendiri menolak dan persendakan dakwah Baginda as. Setelah berusaha dengan sungguh-sungguh namun hasilnya adalah sebaliknya. Baginda hari demi hari ditolak dan diejek, seruan dan dakwah baginda dipermain-mainkan. Ini membuatkan Nabi Yunus sedih dan dan terasa kepada kaumnya. Hinggalah kemuncaknya, apabila kaumnya persendakan Allah Taala dan permainkan balasan dan amaran yang disampaikan Nabi Yunus kerana kebiadaban mereka terhadap Allah.


Dengan perasaan sedih yang amat sangat, Nabi Yunus membawa diri daerahnya. Baginda merasakan tanggungjawabnya seolah-olah gagal dan dakwahnya tidak berkesan. Baginda menyalahkan dirinya kerana kedegilan kaumnya. Setelah jauh berjalan Nabi Yunus tiba di sebuah daerah berhampiran laut. Kaum di sana lebih menerima baginda dan menghormatinya namun apakan daya, Nabi Yunus bukan diutuskan untuk mereka. Begitulah yang Allah lakukan, kekasihnya diutuskan kepada bangsa yang degil dan menolaknya. Akhirnya Nabi Yunus menumpang sebuah kapal dalam baginda membawa dirinya itu. Semua penumpang kapal termasuk ketua kapal sangat menghormati Nabi Yunus. Mereka tahu baginda adalah utusan Tuhan. Setiap rasul dan nabi memiliki akhlak yang mulia dan disenangi manusia.

Dalam pelayaran mereka, tiba-tiba taufan dan badai melanda. Laut menjadi bergelora, ombak tinggi dan sangat menakutkan. Kapal yang mereka naiki hampir karam. Setelah semua barang-barang dan muatan dibuang keadaan tetap sama. Hinggalah mereka berpakat adakan undian agar salah seorang penumpang terpaksa dikeluarkan. Setelah diundi kali pertama, nama Nabi Yunus menjadi pilihan. Namun mereka merasa berat dan dilakukan undian kedua namun tetap nama baginda terpilih. Setelah undian ketiga, Nabi Yunus merelakan dirinya untuk dikeluarkan dari kapal yang hampir karam itu.

Maka lompatlah Nabi Yunus dari kapal dan tiba-tiba seekor ikan yang besar datang menangkap baginda kedalam perutnya. Itulah ikan Nun. Ikan yang Allah Taala perintahkan untuk selamatkan Nabi Yunus. Allah takdirkan Nabi Yunus berada didalam perut ikan Nun selama 40 hari dan 40 malam dan selama itulah baginda bertaubat agar dirinya diterima Tuhan. Begitulah para nabi dan rasul, walaupun mereka maksum tetapi mereka tetap bertaubat dan merasa bersalah diatas perbuatan mereka. Dalam rasa bersalah dan bertaubat Nabi Yunus as berdoa dan mengatakan:
لا إِلهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحانَكَ إِنّى‏ كُنْتُ مِنَ الظَّالِمينَ

“Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”
(Al-Anbiyaa :87-88).

Allah SWT di dalam Al-Quran berfirman yang maksud-Nya: “Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya daripada kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman”. Apa yang berlaku ialah Allah perintahkan kepada ikan Nun supaya muntahkan Nabi Yunus ke tepi pantai. Nabi Yunus as yang selamat dari perut ikan dan laut yang dalam, kembali semula ke tempat yang diperintahkan dan ketika pulang kepada umatnya di dapati mereka telah insaf semasa ketiadaannya . Nabi Yunus as dikerumuni oleh kaumnya dan kaumnya memilih jalan suci dan menyembah kepada Allah SWT.

Pada akhir kisah nabi Yunus as Allah swt berfirman: “وكذلكَ نُنجِى المؤمنين” (Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman). Seakan-akan kisah nabi Yunus as terdapat di dalam Al-Qur’an untuk menyatakan hukum universal dan sunnatullah yang abadi ini yaitu: Menyelamatkan kaum Mukminin yang tertimpa musibah adalah satu kaedah Allah swt yang berjalan pada setiap masa, tempat dan seluruh generasi. Sangat jelas bahwa ini adalah berita gembira dan menyenangkan bagi kita semua.

Nabi kita Muhammad saw bersabda: “Apakah kamu ingin aku tunjukkan kepada “ism a’dham Ilahi” (nama agung Allah) yang setiap kali Allah swt diseru dengan nama itu akan memberikan jawapan dan setiap kali dimohonkan dari-Nya dengan nama tersebut akan dibalasi. Itulah doa nabi Yunus as yang beliau baca dalam kegelapan:
"لا إِلهَ إلّا أنتَ سُبْحانَكَ إِنِّى‏ كُنْتُ مِنَ الظّالمينَ"
Seseorang bertanya: Wahai Rasulallah! Apakah doa ini khusus untuk nabi Yunus ataukah bagi seluruh kaum Mukminin? Nabi saw menjawab: Apakah engkau tidak mendengar lanjutan ayatnya: “وَكَذلِكَ نُنْجِى المُؤمِنينَ”.[3]. Ertinya Allah akan membantu orang-orang yang beriman tidak kira di zaman apa dan di mana berada.


ROH ZIKIR.

Daripada sejarah Nabi Yunus as kita telah ketahui zikir yang Allah ajarkan kepada kita dalam peristiwa Nabi Yunus ketika berada dalam perut ikan Nun. Hikmah dari zikir taubat atau doa taubat Nabi Yunus ini, kita dirasakan bahawa kita adalah orang yang zalim. Zalim kepada Allah adalah sebesar-besar zalim. Kita lebih besarkan dunia dan hal-halnya dari Allah itulah zalim.

Seperti amalan selawat, amalan istighfar yang dilakukan secara berterusan juga akan membersihkan hati yang penuh dengan zulmah hawa nafsu dan secara tidak langsung menyelesaikan kemelut hati dan kehidupan. Contohnya istighfar telah menyelesaikan kemelut Nabi Yunus as apabila baginda ditelan oleh ikan Nun.
Nabi Muhammad SAW yang maksum juga sentiasa beristighfar iaitu sebanyak 70 kali sehari. Istighfar Nabi Muhammad SAW adalah untuk memperakui kehambaannya kepada Allah Taala dan membersihkan dirinya daripada segala mazmumah. Sesungguhnya, istighfar adalah pernyataan kehambaan kita kepada Allah Taala yang sangat tinggi nilainya. Dengan wujudnya rasa kehambaan ini akan terhakislah segala bisikan-bisikan nafsu Ammarah dan Lawwamah di hati dan fikiran kita

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?