IKTIBAR DAN MUHASABAH DARI 2014.

Tahun 2014 merupakan satu tahun yang sukar dilupakan oleh rakyat Malaysia, khususnya buat pemimpin negaranya Dato Seri Najib Tun Abd. Razak. Negara kita diuji dengan ujian dari dalam dan luar yang datang dalam berbagai bentuknya. Dugaan yang menimpa tak mengenal sesiapa, baik rakyatnya, para pemimpin, ahli perniagaan, tak kenal usia dan diperingkat mana. Semua ini Allah Taala yang tentukan dan telah tertulis di Azali semenjak dunia diciptakan. Sebagai umat Islam, kita mesti menerimanya sebagai salah satu tanda keimanan terhadap Allah Taala, iaitu beriman dengan Qada dan Qadar.

Bermulanya ujian di awal tahun antaranya kenaikan harga minyak yang menyebabkan kenaikan harga barang-barang yang mendadak. Begitu juga dengan cabaran dibeberapa buah negeri terutama Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bila Allah uji dengan kemarau yang menyebabkan catuan air lebih sebulan dibeberapa tempat dan kawasan. Kesemua ini cukup memeningkan pentadbiran Negara kita. Hinggalah Allah uji dengan ujian yang lebih hebat bilamana hilangnya sebuah pesawat MAS MH370 yang masih lagi menjadi misteri dan tanda tanya. Diuji lagi bila Malaysia adalah sebuah Negara kecil yang terpaksa berdepan dengan kuasa besar yang mencatur dunia dalam hal ini, kerana ianya membabitkan kuasa veto dunia yang sedang bersaing sama sendiri. Maka bermulalah rebutan antara Amerika dan China untuk menawan hati Malaysia.

Menurut Abuya, ujian adalah tanda kasih sayang Tuhan kepada hamba-Nya. Diceritakan dari Hadis Qudsi bahawa Allah memerintahkan malaikan menguji hamba-Nya kerana Allah ingin mendengar rintihan dan pengaduan hamba-Nya. Allah Taala mahu fitrah hamba-hambaNya bersih dan suci dengan ujian yang menimpa. Malah Allah Taala berkata dalah Hadis Qudsi lagi, Allah cintakan rintihan hambanya dari tasbih para auliya. Namun jangan kita lupa, jika ujian datang tanpa henti juga menunjukkan petanda lain dari Tuhan. Jika ujian diselang seli dengan nikmat, itu rahmat. Tapi jika ujian berpanjangan itu bala, itu kemurkaan Allah. Mari kita melakukan muhasabah dan meilhat apa lagi yang Allah tunjukkan pada kita akan kebesaran dan kehebatan kuasa-Nya.


Nampaknya tak cukup dengan MH370, Allah uji dengan MH17 yang ditembak jatuh di zon perang yang terletak di Ukraine. Sudahlah ditembak, nak masuk untuk mengambil sesuatu yang sememangnya milik Negara kita pun disusah-susahkan. Seperti ada yang menghalang seolah-olah ada perkara lain yang disorokkan. Berlaku tuduh menuduh antara kuasa veto dunia. Saling salah menyalahkan dan Malaysia sekali lagi menjadi mangsa keadaan. Begitulah kelihatannya. Kita ringkaskan, tidak cukup dengan peristiwa besar tadi yang melibatkan Negara-negara besar dunia, di penghujung tahun Allah sekali lagi menguji dengan peristiwa banjir besar yang melanda di Pantai Timur khususnya di Kelantan dan dikejutkan pula dalam masa yang sama dengan terhempasnya pesawat penumpang Air Asia QZ8501. Apa sebenarnya yang berlaku? Kenapa mesti pesawat yang berkaitan dengan Malaysia, mengapa? Semua ini Allah Taala-lah yang tentukan.

Namun mari kita lihat dari perspektif atau sudut yang berbeza. Mari kita melihat cara Abuya melihat dan menilai sesuatu peristiwa. Abuya pernah gambarkan lebih 30 tahun lepas apa akan berlaku kepada Malaysia. Abuya telah pun menulis sebuah sajak dan dijadikan nasyid tentang negaranya tercinta ini, Malaysia. Malaysia diibaratkan sebagai anak gadis cantik, ingin dipinang untuk dimiliki. Ertinya ia adalah rebutan yang menjadi perhatian. Malaysia menjadi rebutan Amerika dan China, tak kira apa jua bentuk kepentingan mereka, Allah jadikan Malaysia sebuah Negara yang kecil ini menjadi perhatian dunia. Kata Abuya, samada isu yang dimainkan berbentuk positif atau negative, hasilnya adalah baik untuk kebangkitan Islam. Kini kebangkitan Islam semakin menjadi-jadi. Kita telah bincangkan dalam tulisan sebelum ini bagaimana penerimaan Malaysia dan isinya terhadap Islam. Rupanya, setelah berlaku semua dugaan dan ujian ini, Allah merubah cara rakyat Malaysia berfikir dan berperasaan. Betul kata Abuya. Jika Allah yang bertindak memang kita tak mampu melawannya, Allah bertindak tidak kira siapa namun hasilnya sangat indah.

Setelah kita diuji, akhirnya cara kita menyambut tahun baru 2015 pun berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Menyambut tahun baru dengan zikir dan selawat, membesarkan kekasih Tuhan iaitu Nabi Muhammad SAW. Ini bukan rancangan manusia. Ini rancangan Allah! Maha Suci Allah. Grand Plan Allah cukup hebat. Menyambut tahun baru 2015 dalam bulan kelahiran Rasulullah SAW. Negara kita bergema dengan selawat dan zikir. Ini sangat ajaib kerana tak berlaku pada tahun-tahun sebelumnya. Bahkan ia dilakukan diperingkat Negara. Malah aktiviti hiburan anjuran kerajaan juga dibatalkan. 10 tahun lepas mana kita sangka Dataran Merdeka akan bergema dengan tahlil dan selawat, bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan zikir. Hanya tempat hiburan yang melalaikan. Kini setelah Malaysia diproses oleh Allah semuanya telah berubah, dari peringkat atasan hingga bawahan. Begitulah yang berlaku kepada Negara Malaysia. Semua ini percaturan dari Tuhan, tidak ada campur tangan manusia. Ini juga membenarkan Malaysia sebagai tapak kebangkitan Islam kedua, yang akan berkembang ke seluruh dunia.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?