MENANGANI GENERASI MASA DEPAN.
Abu Hurairah ra telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
”Terdapat 7 golongan yang akan mendapat lindungan 'arashNya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripadaNya.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, "Aku takut kepada Allah", seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya."
(Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Benarlah kata-kata Sodiqul Masduq. Salah satu golongan yang akan dinaungi arash ialah golongan pemuda yang mencintai Allah. Perkataan 'pemuda' berasal dari kalimah 'muda' bererti orang muda. Kita boleh kategorikan pemuda ini ialah remaja. Satu golongan atau tempoh peralihan umur yang bermula dari 15 tahun hingga 40 tahun. Selepas itu sudah dikira dewasa. Usia remaja juga boleh dikatakan tempoh awal dalam usia pemuda. Setiap bangsa atau negara, masa depan mereka bergantung dengan keadaan pemuda mereka. Generasi pemimpin masa depan dibentuk dan dicorak dari sekarang, dari usia muda mereka. Dunia sedang menyaksikan generasi masa depan atau dipanggil generasi Y ini sedang berkembang. Namun perkembangan yang berlaku sangat memberikan gambaran negatif, yang jauh dari nilai murni dan tamadun kemanusiaan.
Sebelum kita teruskan perbincangan, siapakah generasi Y ini? Banyak yang ingin dibincangkan dengan perkataan Generasi Y. Pertama, maksud Generasi Y itu sendiri. Kedua, adakah Generasi Y itu akan bertentangan dengan Generasi sebelumnya? Ketiga, Siapakah yang dimaksudkan dengan Generasi Y itu sendiri? Sudah lumrah manusia cenderung berkumpul dan menggabung dirinya dengan mana-mana golongan atau kelompok yang mempunyai kefahaman yang sama, keyakinan, dan ideologi. Bertolak dari sinilah berbagai kelompok lahir dalam masyarakat Islam sejak zaman sahabat lagi. Dalam Islam ada 7 golongan yang akan mendapat Naungan Arash Allah, ketika itu tidak ada apa apa naungan. Dikalangan mereka ialah golongan Pemuda atau digelar sebagai generasi Y masa kini.
YOUNG GENERATION digelar sebagai generasi Y. Dikatakan generasi ini lebih suka santai dan enjoy. Kurang fokus dan serius pada kerjaya dan tanggungjawab. Mereka utamakan hiburan dan hubungan sosial berbanding urusan kerja yang agak serius dan perlukan tumpuan. Generasi Y ditakrifkan secara longgarnya sebagai mereka yang lahir pada pertengahan 80an dan seterusnya. Generasi Y juga kerap dikenal sebagai generasi milenia.
Apa yang perlu kita tahu tentang mereka ini?
1.Techmania : mereka ini begitu arif tentang teknologi. Cuba kita perhatikan laman blog yang ada, rata-rata terdiri dari generasi Y. Berbanding laman sesawang (web) yang lebih serius dan korporat, blog lebih kepada buku nota peribadi atau diari yang boleh dimuatkan perlbagai kisah-kisah peribadi atau perkongsian perasaan pemilik blognya. Kalau kita berjalan di luar, yang memiliki gajet pintar dan telefon pintar terkini, kamera digital yang gedabak dan nampak begitu kompleks juga dimiliki oleh mereka ini. Dan mereka inilah yang menjadi sasaran iklan dan syarikat gajet. Jadi, pengajaran di dalam kelas yang statik dan tidak menarik memang membosankan mereka.
2. Family-centric : Menurut perhatian, ramai daripada golongan ini apabila sudah memasuki alam pekerjaan lebih memilih untuk tinggal bersama keluarga, dan kajian menunjukkan mereka lebih mengutamakan masa untuk diri. Berhabisan pendapatan semata untuk kepuasan diri yang kadangkala bukan satu keperluan atau keutamaan dirinya. Lebih kepada ikutan gaya hidup masa kini.
3. Achievement-oriented : Generasi Y ada idea yang berbeza tentang cara kerja dan perlaksanaannya. Kalau mereka tidak puas hati, mereka sanggup melenting kepada pihak atau golongan atasan yang tinggi daripada mereka. Malah kepada perdana menteri atau pemimpin mereka pun boleh mereka pertikaikan atau komplen sesuka hati. Ini berlaku di mana sahaja.
4. Team-oriented: Generasi ini dilihat sebagai generasi yang setia pada kelompok dan sentiasa ingin dilibatkan bersama dalam kumpulan. Jadi, mereka gemar pada networking samada di alam maya atau alam realiti. Suasana dan persekitaran sangat membentuk situasi ini.
5. Attention-craving: Ini memang sangat ketara, terutama bila melihat foto-foto peribadi atau yang dikongsikan dalam media sosial, mereka sangat ketara menonjolkan diri mereka. Budaya ini menular hingga menjadi satu ketagihan dan menimbulkan satu viral atau suasana ikutan, hingga lahir istilah 'selfie'. Kerana itu FB, twitter, instagram dan umpamanya digilai ramai oleh generasi Y. Laman-laman ini menjadi paltform mereka menunjukkan identiti mereka yang tersembunyi atau menjadi tempat luahan hati dan perasaan mereka.
Dari penerangan di atas, kajian menunjukkan generasi Y ini perlu ditangani dengan berhati-hati. Inilah cabaran kita masa ini. Ujian semakin berat, generasi berikut lebih mencabar dari generasi sekarang. Siapakah yang punya solusi atau jalan keluar dalam mendidik mereka ini? Nak dihalang tak mungkin, kerana hasilnya kita sudah tahu pasti lebih teruk dan memudaratkan.
Islam ada caranya menangani generasi ini. Islam telah pun terbukti berjaya melahirkan generasi pemuda yang berjaya melawan hawa nafsunya. Jika kita melihat ciri-ciri atau watak generasi Y ini, hampir mustahil atau buntu kita dibuatnya. Namun jika merujuk kepada Islam, merujuk kepada kaedah Rasulullah SAW mendidik sahabat, bukan generasi Y sahaja malah sebutlah apa sahaja generasi sekalipun Islam ada cara menanganinya. Mendidik generasi ini bukan bermakna menghalang mereka dari peredaran masa dan persekitaran, tapi membantu mereka mengenal dan membaca situasi dan suasana sekeliling, menyediakan saluran yang betul pada masa yang sama manfaatkan segala yang ada selagi tidak melanggar syariat Islam.
Generasi Y ini atau generasi muda ini ada di setiap zaman. Di zaman Rasulullah SAW pun ada namun sesuailah dengan suasana masa itu. Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah SAW ada cara menanganinya. Allah datangkan manusia di atas muka bumi ini bersama ujian dan dugaan. Pada masa yang sama Allah Taala juga datangkan panduan dan cara menyelesaikan masalah. Allah Taala juga jadikan syariat sebagai disiplin hidup manusia. Jika kita sungguh-sungguh jiwai Islam, jiwai pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah, pendidikan Rasulullah SAW ini, kita tidak akan buntu dalam mendidik generasi Y ini. Kelemahan yang timbul dan kekurangan yang ada sebenarnya bukan satu masalah. Ia menjadi masalah bila kita tidak rujuk kepada Allah dan panduan-Nya. Inilah masalah. Daripada kelemahan dan kekurangan inilah kita mendapat ilmu dan pengalaman. Ilmu dari pengalaman lebih berkesan kerana ianya bukan sekadar teori, lebih lagilah ilmu itu dari Tuhan.
Kesilapan kita bilamana kita tidak melakukan persediaan dalam mendidik generasi berikut. Di atas tadi kita telah ketahui ciri dan watak generasi Y, itu pun cukup merisaukan. Bayangkan generasi selepas itu, keadaan bukan semakin baik. Generasi Y ini bergantung kepada sejauh mana kita mendidik mereka dan persiapkan mereka. Jika kita gagal, kegagalan itulah yang akan mereka bawa hingga ke berikutnya. Maka kepada kitalah tanggungjawab ini diberatkan. Marilah kita mengambil tanggungjawab tentang masa depan pegangan agama anak-anak kita. Generasi akan datang ditentukan oleh generasi pada hari ini. Moga Tuhan bagi kekuatan untuk kita melaksanakannya.