TIMUR IBARAT ANAK SINGA YANG SEDANG DEWASA.
Kini tibalah giliran Timur pula untuk diberi perhatian potensinya sebagai suatu kuasa yang akan menggantikan kuasa Barat. Ibarat seperti seekor anak singa, dunia menunggu Timur matang. Begitulah gelaran yang diberikan kepada Timur yang akan menerima giliran menjadi kuasa besar dunia. Tuhan tidak biarkan dunia ini kosong dari kekuasaan. Sudah menjadi sunnahtullah Tuhan pergilirkan penguasaan ke atas dunia ini. Barat telahpun menerima giliran mereka sebagai kuasa besar dunia atau empayar. Kini bukan lagi giliran mereka.
Di atas keruntuhan Barat, Timur kena ambil iktibar supaya tidak mengulangi kesilapan yang telah mereka lakukan. Dunia Barat hanya menumpukan pembangunan material semata. Hasilnya lahirlah satu tamadun manusia yang canggih teknologinya tetapi hilang fitrah kemanusiannya bahkan lebih jahat dari haiwan. Nafsu mengambil peranan Tuhan. Nafsu menjadi matlamat hidup.
Kerosakan yang dilakukan manusia, Tuhan jelaskan dalam Al Quran pada surah Ar-Rum ayat 41 yang bermaksud: "kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."
Bangsa Timur perlu mengambil iktibar dari kejayaan dan kelemahan Barat. Kejayaan Barat hanya membawa kemajuan teknologi tetapi semakin maju semakin hilang fitrah kemanusiaan. Apalah erti kemajuan jika tidak membahagiakan? Manusia berlumba-lumba mengejar kemajuan dan mencapai taraf hidup selesa namun hari demi hari manusia semakin tertekan kerana kemajuan dan keinginan yang dikejar ini. Barat membawa hiburan, asalnya nak menghiburkan jiwa namun kerana hiburan baratlah betapa banyaknya gejala sosial yang berlaku. Zina, liwat, rogol, lumrah berlaku. Malah perkahwinan sejenis dibenarkan barat dan diperjuangkan, kini budaya itu dah menular di negara kita!
Bila negara dilanda soal rosak iman dan rosak akidah ini ialah satu penyakit rohani dan balanya membawa ke Akhirat. Ia boleh menyebabkan kita kekal dalam Neraka selama-lamanya. Kisah-kisah kaum yang terdahulu dimuatkan dengan begitu banyak sekali di dalam Al-Quran, oleh itu semestinya ia menjadi salah satu perkara yang perlu kita renungkan. Kebanyakkan dari kaum ini telah menolak kebenaran. Mereka juga telah menunjukkan kebencian terhadap para pejuang kebenaran tersebut. Tuhan telah memberitahu kita bahawa kejadian-kejadian kemusnahan tersebut patut menjadi peringatan kepada generasi akan datang.
Inilah yang perlu kita sedari. Jika kita ingin menjadi empayar bagi menggantikan barat yang sudah lemah, segeralah baiki dan penuhi syarat-syarat yang Islam kehendaki. Barat sememangnya lemah, tapi penggantinya masih belum bersiap, belum matang dan belum bersedia menggantikan singa tua yang ada.
Masyarakat Islam sudah ibarat kain buruk yang luntur warnanya. Berculang caling, bertompok-tompok. Ini kerana ia telah dipengaruhi dan dirosakkan oleh berbagai hal dan keadaan. Dengan kata lain, umat Islam telah terhina di mana-mana.
Bagaimana untuk memperbaiki keadaan umat dan masyarakat Islam yang sudah kronik ini? Dengan politik? Dengan ilmu? Dengan teknologi? Dengan kemajuan? Dengan pembangunan? Dengan ekonomi? Atau dengan apa?
Jawapannya mudah. Ia terpapar jelas pada Al-Quran dan sunnah iaitu dengan iman dan ilmu. Iman dan ilmu ini mesti di tanam di hati umat Islam melalui pendidikan. Hanya melalui pendidikan baru datang penghayatan dan penjiwaan.
Dari penghayatan dan penjiwaan iman dan ilmu, baru timbul rasa cinta pada Allah, pada Rasulullah dan pada Islam. Selepas cinta, akan datang rasa takut pada Allah.
Bila hati hidup, apa yang dibaca sangat memberikan kesan dalam kehidupan. Ia dapat memancarkan cahaya rohaniahnya kepada akal dan kepada seluruh anggota. Sehingga manusia mampu untuk menyuluh tindak tanduk lahir dan batin mereka. Kemudian setiap kerja, setiap amalan, setiap tindakan yang dibuat itu akan dihubungkan dengan Allah. Dia sentiasa ada contact dengan Allah.
Jadi, bersiaplah wahai singa muda! Dunia perlukan pembela baru yang menanungi umatnya. Dunia perlukan penyelamat bukan pemusnah dan pemecah belah ummah. Amerika dan sekutunya telah lemah. Ibarat singa tua yang hilang kuku dan taringnya. Kini tibalah giliran Timur atas nama Islam menjadi empayar kebangkitan Islam kedua.