KEBANGKITAN ISLAM YANG SEMAKIN PASTI BERLAKU.
Petikan berita - MALAYSIA DAN TURKI MENANGANI ISU-ISU PREJUDIS TERHADAP DUNIA ISLAM.
"Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu menyifatkan Asian sebagai sebuah organisasi penting. Turki dan ASEAN juga boleh bekerjasama dalam menangani isu-isu seperti kebangkitan gerakan yang prejudis terhadap dunia Islam serta diskriminasi perkauman, katanya.
Menyentuh mengenai pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia, beliau berkata kedua-dua mereka berbincang mengenai isu-isu serantau serta hubungan dua hala termasuk dari segi politik dan ekonomi yang bertambah baik.
Beliau berkata pertemuan itu turut menyentuh mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turki (MTFTA) yang berkuat kuasa Sabtu lepas. Semasa mesyuarat itu, Cavusoglu turut menyampaikan penghargaan Turki terhadap peranan Malaysia dalam menyelesaikan masalah pelarian etnik Rohingya secara aman." - Sumber Bernama.
Maksud firman Tuhan:
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (Al-Maaidah : 2).
Sepanjang zaman, generasi demi generasi telah mencuba agar setiap apa yang Rasul janjikan untuk akhir zaman itu berlaku kepada mereka. Namun hingga sekarang ia belum menjadi kenyataan. Walau bagaimanapun, tanda-tanda berlakunya janji tersebut di zaman ini nampaknya semakin terserlah. Maka bagi Abuya, ini adalah peluang yang Allah rezekikan kepada orang Islam di Timur yakni orang Melayu, untuk menagih janji Tuhan itu. Bagi orang bukan Islam, mereka tidak perlu takut dan bimbang bahkan sebenarnya mereka nanti akan turut gembira dan menerimanya dengan senang hati kerana kebangkitan itu membawa kepada keamanan, kedamaian dan kemakmuran. Mereka juga turut terbela dan selamat berada di bawah naungannya.
Tuhan telah mengkhabarkan kepada kita melalui lidah Rasul-Nya bahawa Allah telah ‘set’kan satu panduan yang jelas dan terang untuk umat yang datang sesudah wafatnya Nabi akhir zaman. Itulah kasih sayang Allah dan Rasul-Nya kepada umat Islam, yang untuk mereka tidak ada lagi nabi dan rasul. Maka diceritakanlah perkara-perkara yang bakal terjadi sama ada yang positif atau negatif.
Watak atau sikap sesuatu bangsa yang akan membangun itu asalnya terpinggir dahulu. Kalau kita lihat dalam sejarah, bangsa - bangsa yang menjadi empayar bukanlah bangsa yang bilangannya besar, tetapi bangsa yang kecil jumlahnya atau etnik yang kecil. Tapi ia dapat memiliki satu - satu sifat yang sangat kuat, sama ada semulajadinya begitu atau melalui hasil didikan. Contohnya bangsa Arab. Bangsanya ramai, di dalamnya bermacam-macam etnik, tapi tidak ada keistimewaan. Mereka tidak tahu menulis, tidak tahu membaca dan tidak ada ilmu. Hanya memikirkan hidup bersama kambing-kambing.
Rasa kasih sayang sesama bangsa Arab tidak wujud, sedangkan kasih sayang itu adalah suatu yang besar. Yang ada pada mereka hanyalah sifat bengis, maka berlakulah permusuhan dan pergaduhan antara bani-bani atau kabilah-kabilah.
Setelah datang Rasulullah SAW, baginda berjaya menukar watak bangsa tersebut. Di antaranya ialah menanamkan sifat berkasih-sayang sesama insan yang seterusnya melahirkan perpaduan. Akhirnya bangsa tersebut muncul menjadi empayar. Tetapi yang berjaya menjadi empayar itu bukannya seluruh bangsa Arab. Tuhan memilih di kalangan bangsa Arab itu satu etnik yang menjadi tunjangnya iaitu Quraisy. Jadi bangsa Quraisy inilah yang berjaya dididik dengan cepat hingga bertukar wataknya hasil didikan dan pimpinan Rasulullah SAW. Bila ia menjadi kuat, maka bangsanya yang menaungi semua etnik-etnik Arab yang lain. Akhirnya bangsa Arab muncul sebagai pembangun empayar.
Begitu juga dengan kebangkitan Islam sekali lagi. Ianya akan mengulangi sejarah kebangkitan Islam yang pertama. kebangkitan Islam sekali lagi, ertinya akan berlaku satu tamadun Islam yang akan menjadi payung tempat manusia berteduh. Pada kebangkitan pertama Nabi Muhammad SAW berdepan dengan dua kuasa besar. Rom dan Parsi adalah dua kuasa besar yang silih berganti menguasai dan meluaskan empayar masing-masing. Rom dan Parsi mempunyai tamadun yang begitu tinggi. Dua buah empayar yang besar ini merupakan bapa penjajah yang sentiasa menguasai negara bangsa yang lemah. Rom dan Parsi sudah mempunyai sistem hidup yang teratur, tentera yang besar, kuat dan sudah maju dibidang binaan dan pembangunan. Saki baki seni pembinaan Rom dan kualiti tamadunnya masih dapat dilihat sehingga kehari ini.
Pada kebangkitan kali kedua berlaku juga hal yang sama. Iaitu Bangsa Melayu Baru berdepan dengan dua kuasa besar Amerika dan Rusia adalah dua kuasa besar yang menguasai dan meluaskan empayar masing-masing. Amerika dan Rusia mempunyai teknologi yang begitu tinggi. Dua buah empayar yang besar ini merupakan bapa penjajah yang menguasai negara bangsa yang lemah. Amerika dan Rusia sudah mempunyai sistem hidup yang teratur, tentera yang besar, kuat dan sudah maju di bidang binaan dan pembangunan. Pembinaan mereka berkualiti usianya ada yang menjangkau ratusan tahun masih dapat kukuh sehingga ke hari ini. Semua bangsa gilakan teknologi mereka. Berusaha untuk memilikinya.
Berlaku kebangkitan Islam sekali lagi ertinya mengamalkan Islam sebenar seperti pada kebangkitan pertama Nabi Muhammad SAW. Berlaku perlaksanaan Islam dalam pembangunan insaniah (rohaniah) atau akhlak dan pembangunan lahiriah (material) berjalan seiring dan serentak. Perlaksanaan serentak, tidak ada umat Islam yang hanya menerima Islam dalam aspek tertentu sahaja lantas mengabaikan aspek-aspek yang lain. Atau tidak berlaku juga umat Islam yang salah faham tentang ajaran Islam yang amat luas itu. Sebagai contoh, tidak berlaku golongan yang tertumpu kepada aspek ibadah khususiah semata-mata dan mengabaikan tamadun material dan tidak juga berlaku golongan yang bertungkus-lumus membangunkan material tetapi mengabaikan aspek rohaniah dan akhlak. Ianya berjalan dengan serentak.
Sebagai pejuang Islam, kita mesti membaca dan menilai suasana dan keadaan dunia dari kacamata Islam supaya selari dengan perkhabaran dari Rasulullah saw. Sesuatu yang berlaku mesti dirujukkan dengan Al-Quran, disandarkan dengan al-hadis serta pandangan dan kesepakatan para ulama. Jika tidak bersandar dengan Islam, pandangan serta nilaian manusia akan meleset akhirnya membuatkan manusia menolak Qada dan Qadar itu sendiri. Yang berlaku hari ini umat Islam tidak bersandar dengan Al-Quran, tidak merujuk hadis-hadis Nabi, menolak pandangan ulamak, akhirnya umat Islam sendiri yang kecewa! Seolah-olah tiada pembelaan terhadap mereka, kerana rata-rata di dunia umat Islam sedang ditindas. Sedangkan itu salah umat Islam sendiri kerana awal-awal lagi telah memisahkan diri mereka dengan agama mereka. Sebagai pejuang Islam, sama sekali tidak boleh terikut dengan rentak arus semasa, kerana ini adalah permainan musuh.
Telah Allah taala takdirkan di akhir zaman, Islam meniti di atas makar yang musuh lakukan. Di saat dan ketika musuh merasakan berjaya dan peroleh kemenangan, Islam meniti dengan membawa kemenangan. Para musuh akan tertipu dengan apa yang sedang berlaku. Allah telah janjikan kebangkitan Islam berlaku di akhir zaman, musuh akan kecewa melihat hasil perjuangan mereka merosakkan Islam namun berlaku sebaliknya. Ketika Islam dipermain-mainkan mereka, sebenarnya musuhlah yang dipermainkan. Hingga saat ini, musuh merasakan kekuatan bersama mereka, kemenangan bersama mereka. Hakikatnya mereka akan jatuh setandan dengan mana-mana kejahatan dan kesesatan di atas muka bumi ini. Sebagai pejuang Islam, kita diminta untuk persiapkan diri supaya berada bersama kebangkitan Islam ini. Sekali lagi sejarah besar akan berlaku.