MEMPERJUANGKAN KEMERDEKAAN LEBIH MUDAH DARIPADA MENGISINYA.

Tema hari kemerdekaan 2015. Sehati sejiwa. Itulah tema bagi tahun 2015. Tema ini dipilih bagi mencerminkan kesepaduan, kesefahaman, dan kemanusian seluruh rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka berada. Ia juga bertujuan menyatupadukan semula hati rakyat Malaysia dalam apa jua keadaan.

Setelah hampir 58 tahun kemerdekaan negara malaysia, pelbagai perkara yang telah di tempuh. Pelbagai peristiwa pahit manis yang berlaku di negara kita, Bukan mudah untuk kita mengekalkan kesepakatan yang telah lama dibina ini. Kemerdekaan yang terhasil juga bukan mudah untuk di perolehi. (Haffizul Iskandar).

Dalam zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri, Malaysia sangat diuji kematangannya. Ini satu ujian besar terhadap negara khususnya kepada pemerintahan Datuk Seri Najib sendiri. Hakikatnya apa yang berlaku adalah dari Tuhan. Ini juga termasuk dalam keyakinan kita terhadap Qada' dan Qadar Allah. Kerana, kita orang Islam yang berpegang dengan rukun Iman yang telah diajar diperingkat sekolah rendah lagi terutamanya sekolah agama. Rukun iman adalah sebagai pegangan dan keyakinan atau kepercayaan yang asas kepada kita sebagai orang Islam.

Kita bakal menyambut hari kemerdekaan negara Malaysia yang ke 58. Adalah gambaran sebuah negara merdeka yang telah mencapai usia matang. 58 tahun sudah umur kemerdekaan negara kita. Ertinya selama itulah Allah izinkan kita rakyat Malaysia menikmati kemakmuran negara. Moga kita pandai mensyukuri nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita. Moga kita pandai bersyukur Allah akan kekalkan dan tambahkan nikmat yang ada. Juga kita terus diberi kekuatan berjuang dan berhempas-pulas mujahadah melawan musuh-musuh lahir dan musuh batin, yakni nafsu dan syaitan. 

Alhamdulillah, kita telah dapat merdekakan negara dari penjajahan. Tetapi kita masih bergelut dengan musuh batin iaitu nafsu dan syaitan. Sedikit saja daripada kita yang berjaya. Ramai yang gagal. Namun, ada dikalangan masyarakat Islam tetap tidak putus asa dengan Allah; terus mencuba demi mujahadah terhadap musuh batin yang ada dalam diri manusia sendiri. 

Selepas merdeka masing-masing berjuang mengikut keyakinan dan ideologi parti, jika dahulunya hanya satu matlamat sekarang sudah banyak matlamat. Di dalam berjuang untuk mengisi kemerdekaan datanglah cabaran daripada parti-parti yang berlainan isme. Satu sama lain tidak sehaluan, jadi musuh daripada luar pula mengambil peluang. Masing-masing mengaku dialah yang paling benar dan patut diberi sokongan. Maka terjadilah perang ideologi, perang prinsip, perang teknik. Berlakulah perang mulut, perang psikology, perang dingin dan lain-lain lagi.

Makin lama makin panas, makin lama makin ganas, berbalah-balah. Terjadi tuduh-menuduh, khianat-mengkhianati, serang-menyerang. Makin jauh makin runcing dan gawat, berlakulah pembunuhan, mungkin peperangan saudara dan antara etnik.

Di dalam membangun, bagaimana hendak lancar dan cepat? Ada yang hendak membangun, ada yang hendak meruntuhkan. Ada yang hendak maju, ada pula yang berusaha hendak memundurkan. Di dalam ada yang hendak mempersatukan rakyat, ada golongan yang hendak memecah-belahkan. Berlakulah sabotaj di sana, sabotaj di sini.

Membangun dan membuat kemajuan dan dalam masa krisis yang hebat tidak habis. Mendidik rakyat tidak sempat, atau tidak serius atau tidak minat atau tidak faham. Maka timbul pulalah gejala-gejala lain didalam masyarakat, bangsa, dan negara. Pemuda-pemudi berlepak-lepak membuang masa, disinilah berlaku rogol, zina, liwat, buang bayi, hasil daripada gejala sosial yang semakin meruncing. Perkelahian, pembunuhan, vandalisme yang tidak terkawal. Sogok-menyogok, rasuah-merasuah, tipu daya, khianat berlaku di dalam negara. Rakyat terbiar, hiduplah mereka di dalam kemiskinan, akhlak pula semakin rosak.

Maksud firman Allah
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)
(Al-Ahzab,33:21).


Sememangnya pada Rasulullah saw itulah ubat bagi masalah yang melanda negara kita ini. Allah Taala telah berikan jawaban didalam Al-Quran, pada Rasulullah itulah rujukan buat semesta alam. Namun tak ramai yang merujuk kepada Al-Quran dalam menyelesaikan masalah yang melanda. Sebab itulah penyakit masyarakat semakin bertambah, ubatnya tiada. Ubat yang dicipta manusia adalah virus yang semakin merosakkan, bukan membaiki dan memulihkan keadaan.

“Ketahuilah! Sesungguhnya di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging. Jika baik  daging itu, akan baiklah jasad keseluruhannya dan jika ia rosak, akan rosaklah jasad keseluruhannya. Ketahuilah! Segumpal daging yang aku maksudkan itu ialah hati” (Riwayat Imam al-Bukhari).

Dari hadis ini kita dapat faham bahawa perjalanan diri manusia bergantung kepada hatinya. Jika hatinya bersih, elok dan soleh, maka segala tindakan dan perlakuan yang lahir dari anggota-anggota jasadnya akan turut bersih, elok dan soleh; tangan akan hanya mengambil yang bersih dan elok, mata akan melihat kepada yang elok-elok, telinga juga akan mendengar hanya bunyi yang elok, kaki akan pergi ke tempat-tempat yang elok dan begitu lah seterusnya. Namun jika hati kotor, jahat dan fasiq, maka anggota-angota badan juga akan turut menjadi sepertinya.

Kerana itu, amat penting kita mempelajari tentang hati, memberi perhatian kepadanya dan memantau keadaan hati kita dari masa ke semasa. Perubahan dalam hidup kita bermula dari hati. Hati yang perlu diislahkan terlebih dahulu sebelum kita mengislahkan jasad kerana jasad hanya akan mengekori hati kita. Perubahan yang bermula dari zahir tanpa bermula dari batin (yakni hati), perubahan itu tidak akan kekal lama. Namun jika bermula dari hati, Insya Allah ia akan ia akan kekal buat selamanya selagi hati tidak berubah.

Sehati sejiwa, itulah tema kemerdekaan bagi tahun 2015. Semoga kemerdekaan Malaysia yang ke 58 benar-benar memberikan keinsafan dan pengertian yang sebenar dalam kehidupan kita.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?