MUJAHADAH SATU KEPERLUAN.
Melawan hawa nafsu memerlukan sebuah perjuangan yang hebat dan besar. Hawa nafsu yang tak dilawan, tak dididik, tak terpimpin, ia akan menjauhkan manusia daripada Tuhan. Hawa nafsu yang tak terdidik akan menjadi ganas dan buas, malah keganasannya lebih dahsyat dan memusnahkan. Kemusnahan yang disebabkan oleh hawa nafsu bukan sahaja boleh mengorbankan harta dan nyawa, malah menyebabkan manusia terhumban kedalam api neraka, Nauzubillah min zalik! Kerana itulah hawa nafsu ini perlu dididik dan dipimpin.
Untuk mendidik nafsu, memerlukan kekuatan maknawi yang luarbiasa. Kerana nafsu itu tidak berjasad, tidak dapat dipegang, tak dapat dilihat, tahu sahaja kita dah dalam lembah kehinaan bila dikuasainya. Ibarat haiwan liar, sebelum dijinakkan, perlu bersabung nyawa dengannya, nasiblah kalau ditendang olehnya atau ditanduk olehnya. Dan sebab itulah untuk melawan hawa nafsu ini perlukan ilmu. Tak boleh semberono. Tak boleh sebarangan dalam menghadapinya, perlukan persiapan dan persediaan. Dan terpenting sekali ia perlukan MUJAHADAH!
Mujahadah berasal dari kalimah Arab, iaitu kata asalnya ialah Jihad. Mujahadah pula bermaksud bersungguh-sungguh yang kuat. Kesungguhan yang memerlukan kekuatan itulah maknanya. Mujahadah dalam menuntut ilmu, ertinya bersungguh-sungguh yang luarbiasa dalam menuntut ilmu. Jihad paling besar ialah Jihad melawan hawa nafsu, dan jihad ini memerlukan mujahadah yang luarbiasa. Tiada apa yang biasa bila berdepan soal nafsu ini. Kerana nafsu itu kehendaknya luarbiasa. Dahsyat dan tak pernah penat kemahuannya. Jadi melawannya juga bukan biasa-biasa.
Dalam kita memburu janji Allah di akhir zaman ini, selain keyakinan tambahan itu dijadikan pemangkin dalam kita berjuang, dalam keyakinan yang asas juga sangat memerlukan mujahadah untuk pertahankannya. Keyakinan tambahan ini nafsu lebih suka dan seronok perjuangkannya, kerana ada ganjaran lahiriah yang menanti. Namun untuk pokok Iman itu sendiri atau Iman dan keyakinan yang asas ini, nafsu sangat tak suka! Contohnya sembahyang, sangatlah nafsu tak suka. Kalau kita dah bangun awal, nak kejut ahli keluarga yang lain atau kawan-kawan lain, memang berat dan payah. Nanti nafsu tu mulalah mengganggu. Ada sahaja alasan nafsu dalam nak mengajak orang lain berbuat kebaikan. Kita nak buat baik pun dia halang, apalagi bila nak ajak orang lain buat baik. Sangat nafsu tak suka. Sebab itulah perlukan mujahadah. Mana boleh diri sendiri bangun awal untuk sembahyang tapi biarkan orang lain sedang tidur. Para sahabat tak tenang bila masa solat, ada sahabat lain yang masih terlena. Mesti dia akan pastikan orang lain juga dapat menjaga solat awal waktu sepertinya. Dia tak bolot kebaikan untuk dirinya, dia tak fikirkan dirinya sahaja. Para Ikhwan pun begitula juga, tak boleh biarkan orang lain tertinggal kebaikan. Dia takkan biarkan orang lain dalam kelalaian.
Kelompok Ikhwan ini bayangan sahabat, malah hati mereka seperti sahabat. Beza mereka dengan sahabat ialah sahabat itu mereka yang beriman dan bertemu dengan Nabi saw, manakala Ikhwan beriman dengan Nabi saw namun tak pernah bertemu Baginda saw dan mereka tidak sezaman dengan Rasulullah saw. Kelompok Ikhwan ini membina diri mereka, memimpin diri mereka dan membentuk hati mereka dengan menjaga dan memperjuangkan Iman. Oleh kerana Iman itu tak boleh nampak, ia sentiasa dalam pengawasan dan jagaan. Ia perlukan mujahadah. Pernah Saidina Ali KarramAllahu wajhah ditanya, sampai bila perlu mujahadah? Jawabnya sampai mati! Ya, sampai nyawa terpisah daripada jasad. Kerana iblis dan syaitan juga nafsu tak pernah rehat merosakkan manusia sekalipun ketika Sakarat.
Untuk mujahadah pula, perlukan Ilmu sebagaimana diperkatakan diawal tadi. Yang dikatakan mujahadah bila kita sudah kenal hati kita, kenal diri kita, kenal nafsu kita (dengan ilmu), pastilah berat dirasa. Kenapa rasa berat? Sebab dah tahu. Kenapa kita tahu? Sebab kita ada ilmu. Ya. Bila dah tahu, dah kenal itulah ada datangnya rasa berat, rasa malas, rasa boring, dan lain-lain. Untuk berdepan dengan rasa-rasa ini perlukan mujahadah. Tanpa ilmu kita takkan tahu sifat nafsu, selok belok nafsu, tipu daya dan helah nafsu, bagaimana nak melawan kehendaknya? Bagaimana nak mujahadah kalau nafsu pun kita tak kenal? Nanti bisikan nafsu itu dikatanya bisikan malaikat, beramal pula dengan dengan bisikan yang dapat akhirnya jadi sesat. Sebab itulah pentingnya Ilmu. Dah ada ilmu kena mujahadah! Ada ilmu tak mujahadah pun tak guna. Ada ilmu tapi menurut dan ikut sahaja kehendak nafsu pun rosak dan merosakkan juga. Boleh jadi dengan ilmunya nanti diajaknya manusia rosak beramai-ramai, buat jahat berjemaah. Sebab itulah muhajadah dan Ilmu tak boleh berpisah.
Nak melawan hawa nafsu memang perit dan sakit, namun jika berjaya mujahadah keperitan dan kepahitan itu Allah gantikan dengan kekuatan dan kemanisan Iman. Bila dah mujahadah akan terasa manisnya beribadah. Barulah terasa bernilai sesuatu amalan dan kebaikan jika disertakan dengan mujahadah. Sesuatu perkara akan terasa berharga dengan mujahadah tadi. Begitu besar nilai mujahadah. Memang Allah akan uji dalam perjuangkan kebaikan dan kebenaran, sangat perlukan mujahadah. Nilai sebuah perjuangan itu terletak pada mujahadahnya. Pada mujahadah itulah terletak nilai pandangan Allah taala. Kerana pada mujahadah itu para pejuang akan menilai semula dirinya, koreksi dirinya, nilai semula ilmu yang ada padanya, dan dengan mujahadah para pejuang tak sempat merasakan diri mereka baik dan menghina keburukan dan kejahatan orang lain. Kerana dengan mujahadah, pejuang akan nampak dosa-dosa mereka dan melakukan muhasabah.
Kita sedang menuntut satu perkara besar yang Allah nak berikan tak lama lagi. Maka untuk itu kita perlu periksa semula barisan kita, apakah sudah cukup syaratnya, apakah tuntutan Islam telah kita penuhi dan laksanakan? Semua ini perlukan mujahadah yang kuat dan bersungguh-sungguh. Kemenangan Islam yang Allah akan berikan ini pada mereka yang berjaya melawan hawa nafsunya. Kejayaan yang hakiki ialah apabila berjaya mujahadah terhadap nafsunya dan mendapat keampunan dan syurga Allah taala. Itulah sebenar-benar kejayaan.