KEYAKINAN ASAS DAN KEYAKINAN TAMBAHAN DALAM ISLAM.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah, maka ikutilah kamu akan ugama Nabi Ibrahim yang ikhlas (berdasarkan Tauhid), dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik.
(Ali-Imran,3:95).

Islam Adalah ajaran keyakinan (Tauhid). Islam bukan satu ideologi. Memperjuangkan Islam ertinya perjuangkan keyakinan. Memiliki roh Tauhid atau keyakinan ertinya manusia memiliki jati diri. Roh Tauhid/keyakinan adalah kekuatan jiwa dan keteguhan hati. Ia adalah ukuran kekuatan manusia. Tanpa roh Tauhid/keyakinan ertinya manusia tiada jati diri dan tidak ada ketahanan jiwa. Jiwa jadi rapuh, reput dan lemah. 

Iman dan taqwa sangat mahal. Tidak mudah untuk mendapat iman dan taqwa. Untuk menjadi orang Islam, mudah. Cukup dengan bersyahadah sahaja. Namun dengan sekadar syahadah, seseorang itu tidak boleh dikatakan orang mukmin atau orang bertaqwa. Dia baru Islam. Bagaimana pun seorang yang sudah bersyahadah tidak boleh dikatakan kafir. Kalau dia sembahyang, puasa, naik haji dan berjuang, tentulah dia orang Islam. Untuk menjadi orang Islam, itu mudah tetapi untuk menjadi orang mukmin, orang beriman susah. Untuk menjadi orang bertaqwa, lebih-lebih lagi susah. Sebab itu masuk sahaja agama Islam, dia dikatakan Islam atau muslim tetapi tidak dikatakan mukmin atau taqwa.

Mari kita lakukan muhasabah terhadap keyakinan kita. Melalui muhasabah ini kita dapat menyingkap pengajaran dan pendidikan yang tersurat dan tersirat tentang amalan dan keyakinan. Kita dapat melihat kesan seseorang dari sikap lahir atau syariat ialah memusnahkan segala keinginan duniawi dan hawa nafsu. Jika amalan dan keyakinan dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna hingga kita memperoleh natijah amalan dan keyakinan yang baik, dengan kita menghayati segala didikan jiwa dan tarbiah yg terkandung di dalam amalan dan keyakinan maka kita akan dapat kembalikan roh yang suci dan fitrah yang murni. Dari amalan dan syariat yang baik kita akan menjadi hamba Allah dan khadam ummah atau khalifah Allah. 

Keyakinan yang asas sebagaimana yang disebut Rukun Iman ada enam perkara:
Pertama, Beriman kepada ALLAH SWT
Kedua, Beriman kepada Malaikat-malaikat
Ketiga, Beriman kepada Kitab-kitab
Keempat, Beriman kepada Rasul-rasul
Kelima, Beriman kepada Hari Kiamat
Keenam, Beriman kepada Qada dan Qadar.

Begitu juga termasuk dalam perlaksanaan kepada Keyakinan Asas ini ialah Rukun Islam yang lima iaitu mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji. Ini ialah jalannya atau perlaksanaan kepada Rukun Iman itu tadi. Apa pun istilahnya, inilah dia antara keyakinan asas yang disebut sebagai Iman, Islam, dan Ihsan.


Keyakinan tambahan pula ialah sesuatu yang pasti berlaku kerana telah dikatakan dan disabdakan Baginda Nabi Muhammad saw, cuma bila, dimana, siapa, bagaimana dan lain-lain berkaitannya menjadi rahsia. Selagi tidak berlaku umat Islam dibenarkan berijtihad dan berusaha membenarkannya atau melaksanakannya. Jika tidak berlaku ketika mengusahakannya bukanlah satu kesalahan. Antara contohnya ialah pembukaan Kota Kostantinopel. Maka berlumba-lumba para sahabat mengambil keberkatan untuk membenarkan berlaku di tangan mereka. Di zaman Khalifah Saidina Ali pernah cuba namun tidak berjaya, sahabat terkenal iaitu Abu Ayub Al-Ansari juga pergi membenarkan bersama para sahabat yang lain namun tidak berjaya. Namun pahala dan ganjaran tetap diberikan oleh Allah taala. Ia benar-benar terjadi setelah lebih 600 tahun kemudian di tangan Sultan Muhammad Al-Fateh.

Selagi belum berlaku sesiapa pun boleh mencuba, berijtihad mengikut pandangan yang dibenarkan dan dipandu Islam, tapi menolaknya jangan! Kerana ia bukan takkan berlaku, cuma belum berlaku. Sebagai contoh lagi, kita menyakini perkara mengenai Imam Mahdi, kedatangan Nabi Isa dan beberapa peristiwa akhir zaman. Tuhan telah mengkhabarkan kepada kita melalui lidah Rasul-Nya bahawa Allah telah ‘set’kan satu panduan yang jelas dan terang untuk umat yang datang sesudah wafatnya Nabi akhir zaman. Itulah kasih sayang Allah dan Rasul-Nya kepada umat Islam, yang untuk mereka tidak ada lagi nabi dan rasul. Maka diceritakanlah perkara-perkara yang bakal terjadi sama ada yang positif atau negatif.

Kedudukan keyakinan asas dengan keyakinan tambahan ada perbezaan. Bagi umat Islam yang menolak keyakinan asas seperti rukun iman dan rukun Islam boleh jatuh kafir. Bagi keyakinan tambahan apabila perkara tersebut belum berlaku lagi bila menolaknya tidak jatuh kafir. Tetapi apabila sudah berlaku menolaknya boleh jatuh kafir seperti keyakinan terhadap Imam Mahdi dan Nabi Isa. Kerana di masa itu hanya ada dua golongan sahaja, Islam bersama Imam Mahdi dan Nabi Isa, dan sudah tentulah dibarisan musuh bersama Dajjal laknatullah. Dan disinilah asas kekuatan tambahan itu mesti dibina melalui kekuatan yang utama iaitu keyakinan asas itu tadi, iaitu Tauhid dan Syariat yang selari dan Tasawuf yang tak terpisah daripada Akidah dan Syariat itu tadi. Jika Iman yang asas tidak kuat, malah lemah, maka mudah ditipu oleh mereka yang mengaku sebagai Rasul atau lantikan Tuhan kerana keyakinan asas itu terlalu lemah. Inilah yang dikatakan Ghurur, tertipu dalam beramal atau berjuang kerana kurangnya Ilmu Asas atau lemahnya Iman yang asas tadi.

Untuk menjadi orang Roh (mukmin) dengan menjadi seorang Islam tidak sama. Untuk menjadi orang mukmin, susah tetapi menjadi orang Islam senang. Orang mukmin rohnya hidup. Menjadi orang roh bukan sahaja meyakini Islam yang asas iaitu rukun Iman dan rukun Islam tetapi juga meyakini keyakinan tambahan. Orang Islam rohnya tidur. Oleh sebab itu dalam Al Quran tidak ada suatu ayat pun yang Tuhan memberitahu hendak bela, tolong, jamin memberi kemenangan, memberkati dan untuk memberi rezeki yang tidak terduga kepada orang Islam. Yang selalu Tuhan sebut ialah hendak memberi pertolongan, memberi bantuan, memberi rahmat, berkat dan kemenangan kepada orang mukmin (roh) dan bertaqwa. Di sinilah kadang-kadang kita terkeliru. Apabila menjadi orang Islam, kita sudah berpuas hati. Sudah rasa selamat dengan ibadah yang dikerjakan, mudah menjatuhkan hukum pada manusia lain kerana rasa diri lebih baik dari orang lain. Rasa kita sahaja yang baik, orang lain tidak. Ini salah sama sekali!

Menjadi seorang Islam itu soal lahir atau sikap lahir iaitu mengerjakan sembahyang, puasa, zakat, seterusnya haji bila cukup syarat. Bila itu dilaksanakan, seseorang itu tidak boleh dikatakan orang kafir. Malah lebih mudah dari itu iaitu siapa sahaja yang sudah mengucap dua kalimah syahadah, maka jadilah dia seorang muslim atau seorang Islam tetapi belum tentu dia mukmin atau orang roh. Keyakinan adalah amalan hati. Ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Bila fitrah manusia sudah suci ertinya kemampuan rohnya merasa, memandang, mengenal sesuatu, mengetahui yang lahir mahupun yang batin, khususnya mengetahui kewujudan Allah SWT. Disinilah perlunya panduan Guru Mursyid yang sudah pasti berlandaskan syariat Islam dan bukan rekaan akal dan nafsu demi keseronokan dan kepentingan diri sendiri.

Kelebihan rohani manusia yang telah suci. Kemampuannya melebihi daripada manusia lain iaitu mempunyai hati yang dapat mengenal Allah dengan sebenar-benarnya sehingga menjadi hamba Allah yang benar-benar takut pada Allah. Bila hati manusia sentiasa terhubung dengan Tuhannya maka fizikal manusia akan menerima kesannya. Bila hati sentiasa rasa takut maka sama ada dikhalayak ramai atau bersendirian, di depan atau di belakang sama sahaja. Tapi bila tidak menjadi orang rohani, manusia terputus dengan Tuhannya apa yang akan berlaku di depan lain di belakang lain.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?