DUIT MEREKA ADALAH AGAMA MEREKA.

Sabda Nabi S.A.W.:
دينهم دنانيرهم، وقبلتهم نساؤهم
"Agama mereka adalah duit mereka."

Firman Allah pula:

إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنزَلَ اللَّهُ مِنَ الْكِتَابِ وَيَشْتَرُونَ بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا أُولَٰئِكَ مَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ إِلَّا النَّارَ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

"Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan Ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya." Al-Baqarah: 174

Telah terjadi di akhir zaman, orang yang belajar jurusan agama pun tidak boleh lari daripada keadaan yang disebutkan Nabi tadi, iaitu duit/wang adalah agama mereka, sekalipun mereka itu adalah para ulama atau ahli agama.

Lahir dari latar belakang pendidikan agama, kelulusan Universiti Azhar yang terkemuka pun bukan syarat untuk tidak menjadikan wang sebagai agama. Kerap mengunjungi Baitullah, menziarahi Makam Nabi, itu pun bukan jaminan untuk tidak menjadikan duit sebagai pegangan dan cara hidup. Sabda Nabi Muhammad S.A.W. tentang ulama jahat di akhir zaman:

يأتي زمان على أمتي ، أمراؤهم يكونون على الجور ، وعلماؤهم على الطمع...
"Akan tiba zaman kepada umatku, pemimpin (penguasa) berlaku zalim, dan ulama-ulama mereka yang tamak (cinta dunia)..."

Pernah terjadi suatu kisah di Mekah yang patut dijadikan pengajaran untuk semua, Tuhan bongkarkan apa yang disorokkan. Biasa kita dengar pesanan dari orang tua, bila kita berada di Haramain, kejahatan kita akan dibongkar. Inilah salah satu contoh yang terjadi, membuktikan bahawa duit telah menjadi agama sekalipun kepada lepasan universiti terkemuka.

Ada seorang mutawwif bernama Murad (bukan nama sebenar), lepasan Universiti Al-Azhar yang bermukim di Mekah. Dia dilibatkan dengan aktiviti umrah dan haji ini kerana diberi kepercayaan oleh pengurus jemaah umrah di sana, Pak Shurohbil (bukan nama sebenar) dengan harapan mudah-mudahan dapatlah membimbing jemaah yang datang dengan baik kerana dia adalah lepasan universiti Islam terkemuka. Namun apa yang mengejutkan Pak Shurohbil, Murad dilaporkan menyalahgunakan kepercayaan yang diberi padanya.

Apa yang berlaku ialah, si Murad ini mengagihkan sampul kosong/envelop kepada jemaah umrah yang diuruskannya. Kemudian dia meminta setiap mereka memasukkan duit ke dalamnya lalu berkata, "Ini adalah perkhidmatan doa di depan Kaabah. Saya akan mendoakan apa sahaja yang dihajati oleh tuan-tuan". Mereka diminta untuk tidak menulis nama-nama mereka di atas sampul itu dengan tujuan agar ikhlas.

Perbuatan si Murad ini rupa-rupanyanya telah lama dilakukannya dan akhirnya dia dikeluarkan Pak Shurohbil kerana laporan negatif dari setiap syarikat dan jemaah umrah yang diuruskannya. Cerita mengenai Murad dan sampul kosong ini adalah salah satu cerita yang agak popular dikalangan mutawwif sekarang ini, kerana sikapnya yang tidak melambangkan akhlak orang Islam, sanggup menjual agama demi kepentingan diri. Inilah contoh orang yang duit telah jadi agamanya.

Orang yang menjadikan duit sebagai pegangan, dia sanggup khianati keluarganya, gurunya, kawan-kawannya, malah agama dan perjuangannya.

Bila duit telah menjadi agama, diri telah menjadi tuan atau dalam ertikata yang lain, dirinya bertuhankan nafsunya. Bila nafsu sudah menguasai diri, ilmu yang menggunung bukanlah menjamin keselamatan iman.

Orang yang menjadikan nafsu sebagai sandarannya, bila bertembung antara perjuangan atau agama dan isterinya, dia akan pilih isterinya lebih dari perjuangannya sekalipun nyawanya dan perjuangannya tergadai. Ini jugalah yang terjadi di Mekah pada jemaah umrah di sana. Peristiwa ini telah diceritakan oleh Pak Rizal (bukan nama sebenar) seorang mutawwif dari Indonesia yang juga bermukim di Mekah, tentang sikap seorang dari rombongan umrah yang datang ke sana.

Johar (juga bukan nama sebenar) adalah ahli rombongan umrah yang datang ke Mekah bersama kawan-kawannya. Sikapnya yang agak gopoh dan mementingkan diri sangat membuatkan kawan-kawannya tidak selesa dengan si Johar ini, menurut cerita Pak Rizal. Nak ditakdirkan untuk terserlahnya sikap Johar yang mementingkan diri ini, rombongan isterinya tiba agak lewat. Setibanya isterinya di Mekah, belum sempat pun berjumpa si isteri, Johar telah pun mengarahkan Pak Rizal sediakan bilik khas untuk dia dan isterinya. Sedangkan bukan Johar sahaja yang isterinya tiba di sana, kawan-kawan lain pun ada juga yang isteri mereka tiba di sana.

Cerita dan kisah di atas sangat boleh dijadikan iktibar, betapa jelik dan buruknya sikap mementingkan diri ini. Sanggup menjual agama demi duit, demi kepentingan diri terhadap isteri pun membuatkan diri terlupa yang dia berada di Tanah Haram untuk beribadah, membesarkan Allah bukannya isteri! Inilah contoh sebenar yang berlaku di Tanah Haram, yang boleh dijadikan iktibar buat semua. Benarlah kata Nabi Muhammad S.A.W., di akhir zaman, duit adalah agama mereka dan kiblat mereka adalah wanita!

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?