JANGAN MUDAH MENDAKWA TAHU SEGALANYA TENTANG KHAZANAH ALLAH.
قُل لَّا أَقُولُ لَكُمْ عِندِي خَزَائِنُ اللَّهِ وَلَا أَعْلَمُ الْغَيْبَ وَلَا أَقُولُ لَكُمْ إِنِّي مَلَكٌ إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰ إِلَيَّ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الْأَعْمَىٰ وَالْبَصِيرُ أَفَلَا تَتَفَكَّرُونَ
"Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku". Bertanyalah (kepada mereka): "Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?" Surah Al-An'am: 50
Dalam Islam, menurut pegangan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah; antara persoalan asas ialah percaya kepada kewujudan yang ghaib. Di awal surah Al-Baqarah, Allah menyebutkan antara ciri orang bertaqwa ialah: “Orang-orang yang beriman dengan yang ghaib” (ayat 3).
Namun perkara ghaib yang disuruh supaya kita percaya dan kita imani bukanlah yang berdasarkan khayalan kita atau mana-mana orang, akan tetapi berdasarkan wahyu Allah (Al-Quran dan as-Sunnah). Hakikat perkara ghaib ialah perkara yang wujud dan ada tetapi tidak dapat disingkap oleh pancaindera zahir manusia. Semua persoalan "Rukun Iman" yang enam adalah berkaitan dengan perkara perkara ghaib.
(1) Beriman kepada ALLAH S.W.T.
(2) Beriman kepada para Malaikat (alam ghaib)
(3) Beriman kepada Kitab-kitab
(4) Beriman kepada Rasul-rasul
(5) Beriman kepada Hari Kiamat
(6) Beriman kepada Qada dan Qadar
(3) Beriman kepada Kitab-kitab
(4) Beriman kepada Rasul-rasul
(5) Beriman kepada Hari Kiamat
(6) Beriman kepada Qada dan Qadar
Perkara ghaib bukanlah perkara yang tidak ada. Ia ada, cuma kita yang tidak dapat menanggapinya dengan mata, telinga atau deria-deria kita yang lain. Walaupun tidak nampak dan tidak didengari, namun tidak dapat kita nafikannya kerana yang mengkhabarkan keberadaannya ialah Allah, Tuhan yang menjadikan kita dan sekelian makhluk.
Oleh itu, percaya kepada yang ghaib dalam pengertian; percaya kepada perkara-perkara tidak nampak yang diberitakan kewujudannya oleh Allah dan Rasul-Nya dalam Quran atau Sunnah- adalah bukti keyakinan kita kepada Allah dan Rasul. Dalam pengertian lain, antara kandungan iman kita kepada Allah dan Rasul ialah percaya kepada segala yang dikhabarkan oleh Allah dan Rasulnya termasuklah dalam perkara-perkara ghaibiyyat yang merangkumi;
1. Kewujudan makhluk-makhluk ghaib iaitu malaikat, jin, iblis, syaitan dan ruh manusia.
2. Kewujudan alam-alam ghaib iaitu alam barzakh dan alam akhirat
3. Peristiwa-peristiwa di akhirat; syurga, neraka, mahsyar, titian/sirat, al-haudh dan sebagainya.
4. Sifat-sifat Allah dan perbuatan-perbuatanNya.
Para sahabat diajar dan dididik oleh baginda Nabi S.A.W., daripada sejahiliah manusia menjadi seajaib-ajaib iman manusia yang ada di atas muka bumi selepas para Nabi dan Rasul. Nabi Muhammad S.A.W. mengikat hati mereka dengan iman, yang ianya adalah satu hal yang sangat ajaib.
Namun Nabi S.A.W. tidaklah semudah itu untuk mengaku tahu segala-galanya, walaupun baginda diberitahu. Nabi memberi pengharapan dengan soal-soal Iman, hal yang berkaitan dengan hati. Nabi tidak mengikat hati para sahabat dengan perkara bersifat akal, yang menjadi riadhah akal semata.
Ada manusia yang mudah terpengaruh dengan hal-hal ghaib, tapi bukan untuk tujuan Tuhannya. Dia menggunakan perkara ini untuk kepentingan diri dan nafsu mereka. Ayat Quran yang dikongsikan di atas, jelas menunjukkan bahawa Tuhan sendiri mengajarkan kepada Nabi S.A.W. untuk tidak mudah mendakwa tahu segala-galanya tentang hal ghaib ini.
Kita dengan semudah-mudahnya mendakwa tahu hal-hal atau perkara yang ghaib, menjual nama Allah dan Rasul demi kepentingan diri. Sedangkan Nabi pun tidak begitu, malah dalam mentadbir dan mengurus kehidupan para sahabat, kata baginda S.A.W.: "Aku menghukum dengan yang zahir (yang nampak oleh mata dan didengari oleh telinga)"
Yang berlaku kini, orang yang menceritakan Nabi dirinya tak terpuji. Menjual nama Nabi supaya orang tidak lari darinya, supaya kedudukan dan jawatan yang disandang tidak tergugat. Inilah yang diucapkan oleh Abuya dan Sayyidi seperti dalam berzanji.
Demi mengelakkan orang lari atau kekal memberi, dikatakan ini datang dari Nabi. Demi menunjukkan kuasa, bayar sana sini kemudian kata ini akibat atau hasil atau kesan tak ikut pesan Nabi. Mengugut dan menakutkan orang pun dengan nama Nabi. Mencatur kehidupan orang sesuka hati atas nama Nabi. Sedangkan itu semua dari diri sendiri, tapi kata datang dari Nabi.
Sejarah telah menunjukkan, orang seperti ini kuasanya atau pengaruhnya tidak lama. Bila sudah menjual nama Nabinya, ertinya semakin dekatlah kehancurannya. Kerana dalam perbuatannya sebenarnya sedang memakan dirinya semula. Pembelaan untuk orang yang teranaiya akan tiba.