PERBEZAAN PERANAN KHULAFAUR RASYIDIN DAN UMMUL MUKMININ.
يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُم بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ
"Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu." Surah Shad: 26
Kepimpinan dalam Islam, Allah telah tunjukkan modelnya dalam sembahyang berjemaah. Imam adalah seorang lelaki yang memimpin dan mengendalikan sembahyang berjemaah, para makmum lelaki di belakang Imam, dan diikuti barisan makmum dikalangan kanak kanak. Para makmum perempuan adalah di belakang sekali.
Para makmum Allah perintahkan wajib mentaati imam, sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Quran yang mafhumnya: "taatlah kepada Allah Rasul dan pemimpin dikalangan kamu."
Begitulah cantiknya susunan sembahyang berjemaah yang telah dipandu oleh Allah dan Rasulullah S.A.W. Ini diperjelaskan lagi oleh Allah dalam surah di dalam Quran yang mafhumnya, "orang lelaki adalah pemimpin ke atas orang perempuan".
Firman Tuhan lagi:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا
Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar." An-Nisa: 34
Pemimpin akan dipertanggungjawabkan samada di dunia dan di akhirat. Sebagaimana yang diingatkan oleh Rasul S.A.W.,yang maksudnya: "setiap kamu adalah pemimpin dan akan di pertanggungjawabkan di bawah pimpinannya."
Sudah banyak contoh yang memaparkan bagaimana seseorang itu menyertai perjuangan Islam hanya mempunyai 'aspirasi dan agenda terselindung' yang mahu dicapainya. Oleh itu, individu-individu berkenaan pantang bertembung dan berdepan dengan apa juga masalah, mereka akan menunjukkan warna dan rentak sebenar apa yang diperjuangkan. Padahal, sepatutnya sesuatu masalah itu wajar diselesaikan secara kolektif dan roh ukhwah Islamiah yang lebih harmoni.
Demi mencapai aspirasi dalam sesuatu perjuangan, maka segala cara akan diaktifkan termasuklah cara dan jalan tidak bertepatan dengan panduan Islam. Apabila sesuatu perjuangan yang dibawa beralaskan ketamakan untuk memiliki sesuatu, iaitu kuasa maka segala prasarana dan helah akan menjadi wahana penting demi kelancarannya. Maka sudah menjadi tugasan iblis dan syaitan untuk menghasut serta menyalakan api dan semarak kebencian di kalangan manusia.
Peranan Ummul Mukminin.
Siti Aisyah hidup selama hampir lima puluh tahun setelah kewafatan Rasulullah S.A.W. Sepuluh tahun hidup beliau sebagai isteri Rasululluah. Sebahagian besar waktu itu diluangkan dengan mempelajari dua sumber penting petunjuk Allah, iaitu Al-Quran dan sunnah Rasulullah. Tiga orang daripada isteri-isteri Rasulullah yang menghafaz Al-Quran, dan salah seorang daripadanya adalah Aisyah R.A., selain Ummu Salamah dan Hafsah. Seperti Hafsah, Aisyah juga mempunyai salinan Al-Quran yang ditulis setelah kewafatan Rasulullah.
Berkenaan dengan hadis baginda Rasulullah, Aisyah merupakan salah seorang daripada empat orang sahabat, termasuk Abu Hurairah, Abdullah bin Umar dan Anas bin Malik, yang meriwayatkan lebih dua ribu hadis. Kebanyakan hadis-hadis ini berkaitan amalan-amalan peribadi Rasulullah yang hanya mampu diketahui oleh Aisyah R.A. Satu aspek penting berkenaan hadis yang diriwayatkan Aisyah ialah, hadis-hadis tersebut disampaikan dalam bentuk tulisan oleh, antara lainnya, anak saudara beliau, Urwah bin Zubair Al-Awwam yang merupakan salah seorang ulama’ terkenal di kalangan tabi’in.
Ramai di kalangan sahabat Rasulullah dan pengikut-pengikut mereka yang menimba dari ilmu pengetahuan Aisyah R.A. Abu Musa ’Ashari pernah berkata: "Sekiranya kami di kalangan sahabat Rasulullah menghadapi kemusykilan, maka akan kami bawa kepada Saidatina Aisyah R.A."
Urwah ibn az-Zubair menegaskan bahawa Aisyah bukan sahaja arif dalam bidang fiqh, bahkan juga dalam bidang tibb (perubatan) dan syair. Ramai di kalangan sahabat baginda Rasulullah turut merujuk kepada Aisyah berkenaan masalah pewarisan harta yang memerlukan kemahiran tinggi dalam bidang matematik. Para ulama menganggap Saidatina Aisyah sebagai salah seorang ahli fuqaha Islam terawal di samping Sayyidina Umar Al-Khattab, Sayyidina Ali dan Abdullah bin Abbas. Kata baginda tentang dalamnya pengetahuan Aisyah dalam Islam; "Pelajarilah sebahagian daripada agamamu dari Al-Humaira". Al-Humaira, atau ‘si merah jambu’ adalah nama panggilan Rasulullah kepada Saidatina Aisyah R.A.
Saidatina Aisyah R.A. bukan sahaja memiliki ketinggian ilmu pengetahuan, bahkan turut memainkan peranan penting dalam proses pendidikan dan pembentukan masyarakat ketika itu. Sebagai seorang guru, beliau memiliki lisan yang jelas dan menarik hati serta kelancaran bertutur kata beliau digambarkan dengan begitu tinggi oleh Ahnaf: "Aku pernah mendengar ucapan dari Abu Bakar dan Umar, dari Usman dan Ali, serta para khulafa’ hingga ke hari ini, tetapi belum pernah aku mendengar ucapan yang lebih indah dan lebih menarik hati dari mulut seorang pun melainkan Aisyah R.A."
Manusia dari segenap pelusuk tanah Arab telah pergi menemui Aisyah untuk mempelajari ilmu yang dimilikinya. Dikatakan lebih ramai bilangan wanita daripada lelaki yang datang untuk menimba ilmu daripada beliau. Di samping menjelaskan kemusykilan orang ramai, beliau turut mengambil anak-anak kecil, ada di kalangan mereka yatim piatu, untuk dibesarkan dan dilatih di bawah bimbingannya sendiri. Di samping itu juga terdapat saudara-saudara beliau yang mendapat bimbingan yang sama. Dengan demikian, rumah Saidatina Aisyah r.a. dijadikan sekolah dan sebuah institusi pengajian.
Ada di kalangan anak-anak didikan Aisyah yang cemerlang di bawah pimpinan beliau. Sudah disebut sebelum ini tentang anak saudara lelaki beliau iaitu Urwah ibn az-Zubair sebagai salah seorang perawi hadith terkemuka. Di antara pelajar wanita didikan Aisyah ialah Umrah binti Abdur Rahman. Umrah dianggap oleh para ulama’ sebagai seorang perawi hadith yang thiqah dan dikatakan bertindak sebagai setiausaha Aisyah r.a dalam menerima dan menjawab surat-surat yang diterima Aisyah. Peranan Aisyah dalam menggerakkan proses pendidikan terutamanya bagi kaum wanita seharusnya dijadikan contoh ikutan.
Kesimpulannya, khalifah dalam Islam adalah sebagai pemimpin umum dan menguatkuasakan peraturan Allah dalam pentadbirannya. Sementara Siti Aisyah, isteri Rasulullah menjadi tempat rujuk para sahabat untuk mendapatkan pesanan dan panduan Rasulullah S.A.W. Siti Aisyah adalah guru atau pendidik dan hanya memimpin dikalangan kaum wanita. Bukanlah dia yang mentadbir, menyusun perjuangan sahabat, mengatur Baitul Mal (kewangan), mengatur, apatah lagi mengetuai para sahabat. Dia sepertilah para sahabat wanita yang lainnya, cuma dia menjadi tempat rujuk para sahabat sahaja. Dalam hal urusan perjuangan, dia pun taat dan patuh pada khalifah yang mentadbir. Belum pernah kita dengar dalam sejarah Siti Aisyah memberi arahan kepada sahabat apatah lagi mengatur hidup mereka dan melantik mereka dalam kerja perjuangan.