ABUYA BANGUNKAN JEMAAH YANG SELAMAT DAN MENYELAMAT.
Abuya telah membina perjuangan pada tahun 1968 bermula dari dirinya, keluarga dan jemaahnya. Apakah proses yang dilakukan oleh Abuya kepada mereka? Abuya lakukan proses yang didalamnya beliau menekankan dan mendidik keluarga dan para pengikutnya agar satu dengan yang lain dapat diikat oleh tali Allah, atau diikat oleh ahkamullah/ hukum-hukum Allah. Abuya sendiri telah tunjukkan kesungguhanya dengan melibatkan anak isterinya untuk berjuang.
Saya sendiri selaku anak sulung lelaki dibawa sama berjuang dan berdakwah. Ke mana tempat yang sesuai dibawa anaknya, saya dan Syeikh Nizam dibawa sama memboncing motosikal. Satu kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah satu ketika Abuya membawa kami dengan motosikalnya pada waktu malam dan telah terlanggar lubang di tepi tali air lalu kami terpelanting jatuh. Suasana malam yang gelapAabuya mencari kami dan dinaikkan semula ke atas motosikalnya. Saya membonceng di belakang dan Syeikh Nizam diletakkan di depan, duduk di dalam bakul motor.
Mereka yang telah Abuya proses semuanya bersungguh-sungguh berusaha untuk patuh kepada Allah, kepada Rasulnya dan mentaati pemimpinnya. Mereka nampak berakhlak baik, mulia, ada rasa bersama. Maka tercetuslah kerja sama diantara mereka. Sekarang berlaku satu proses yang tidak disangka sama sekali iaitu secara rohani atau disebut ERA GHAIB.
Semua jemaah rohani atau tarikat mengharungi perkara yang sama. Iaitu bila ketiadaan pengasas jemaah tarikat amalan dan jemaahnya terus berjalan seperti panduan yang telah diberikan. Kemuncak kemeriahan jemaah-jemaah tersebut tidak sama ketika adanya Syeikh mereka. Kelompok tersebut yang difirman oleh Tuhan:
تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّه.
Maksudnya: "..menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah." (Ali Imran: 110).
Ada sistem kehidupan secara Islam di dalamnya, ertinya ada dalam jemaah Abuya itu kebenaran dalam seluruh aspek kehidupan. Bermula dari sistem bani (keluarga) hinggalah seluruh sistem hidup Islam. Islam adalah satu cara hidup. (الإسلام دين الحياة). Senantiasa memberi khidmat kepada masyarakat, baik masyarakat di dalam Jemaah, maupun di luar Jemaah, baik kepada orang Islam ataupun kepada orang bukan Islam. Jemaah itu senantiasa mencari kedamaian dan keamanan. Ia benar-benar memberi rahmat kepada alam, seperti mana yang Rasulullah pernah sabdakan Al Jama'atu Rahmatun wa firqatu azab.
Jemaah yang Abuya bangunkan terbukti memberi rahmat, ertinya membawa kasih sayang. Dia membawa kegembiraan, dia membawa hiburan, dia membawa kemudahan, dia membawa kemuliaan, dia membawa keselamatan, dia membawa kedamaian, dia membawa penyelesaian, dia membawa kebahagiaan dan keharmonian. Dengan adanya jemaah itu membolehkan bertolong bantu satu sama lain.
Firman Tuhan:
ثُمَّ نُنَجِّي رُسُلَنَا وَالَّذِينَ آمَنُوا كَذَٰلِكَ حَقًّا عَلَيْنَا نُنجِ الْمُؤْمِنِينَ
Kemudian Kami selamatkan Rasul Kami dan orang-orang yang beriman. Demikianlah juga, sebagai kewajipan Kami, Kami selamatkan orang-orang yang beriman yang menurutmu).(Yunus,10:103).
Dasar Islam selamat dan menyelamatkan maka dasar itulah yang dijadikan dasar dalam perjuangan Abuya. Ertinya jemaah yang Abuya bangunkan selamat menyelamatkan. Mengapa dia selamat dan menyelamatkan? Kerana jemaah itu ada peranan. Dia bertanggungjawab, dia senantiasa ada khidmat pada masyarakat. Kerana jemaah Abuya ada peranannyalah maka dia dikatakan membawa rahmat, kerana ada peranan inilah maka jemaah Abuya dikatakan membawa kasih sayang. Kerana ada peranan inilah jemaah Abuya membawa kebahagiaan, keharmonian, keselamatan dan bermacam-macam kebaikan yang bermanfaat bagi masyarakat.
Inilah rahmat dan nikmat berjemaah. Mari kita lihat dan contohi apa yang berlaku pada jemaah Rasulullah dan para sahabat. Tidak dapat dinafikan sebelum kewafatan baginda SAW dan ketika itulah zaman keemasan bagi Islam. Itulah sebaik-baik kurun dan zaman; ketika jasad baginda masih bersama sahabatnya. Tetapi berlaku satu era dan ketika dimana jasad baginda SAW Allah Taala mengambilnya semula dan keadaan takkan mungkin akan lebih baik daripada sebelumnya. Tapi bukan bermakna ia langsung tak bermakna.
Keadilan yang Allah berikan setelah jasad baginda SAW diambil ialah bilamana jemaah ataupun rahmat dan nikmat bersama Rasulullah itu dapat diteruskan. Ertinya kasih sayang, keharmonian, perpaduan, keamanan sesama umat Islam dapat diteruskan dan ditegakkan. Malah di zaman sahabatlah Islam berkembang hingga ke seluruh pelusuk dunia. Inilah rahmat, kasih sayang dan keadilan Tuhan kepada agamanya.
Ertinya, kalau sesebuah jemaah tarikat yang terhubung atau menyambung perjuangan Nabi Muhammad SAW mestilah mempunyai ciri yang sama, iaitu membawa rahmat kepada semua. Semua manusia terasa berkat dan nikmatnya walaupun setelah ketiadaan pemimpinnya. Kalau ini tidak berlaku malah setelah ketiadaan pemimpin jemaah keadaan menjadi sebaliknya, maka ia perlu dinilai semua. Apakah ia jemaah kebenaran atau kebatilan. Kerana jemaah kebenaran itu berlaku kasih sayang, keharmonian, perpaduan, keamanan sepertimana semasa keberadaan pemimpinnya. Walaupun setelah tiadanya rahmat dan nikmat tetap berterusan.
Kalau ia tidak berlaku, maknanya boleh sahaja Tuhan buatkan rahmat dan nikmat itu berpindah atau berlaku ditangan orang lain; mereka yang dididik oleh pemimpin tersebut dan masih kuat berpegang dengan prinsip jemaah iaitu Al-Quran dan As-Sunnah dan juga kuat dengan syariat Islam. Ini bukan sesuatu yang boleh dibuat-buat dan dilakonkan. Ini adalah perjuangan yang telah menjadi sebahagian dirinya, sebahagian darah yang mengalir dalam jasadnya.
Jika masih ada perpaduan, kasih sayang, keamanan, dan keharmonian yang berjalan terus maka ia boleh dikatakan jemaah. Tetapi jika semua ini tidak berlaku malah sebaliknya terjadi, perpecahan, penzaliman, penipuan, melanggar syariat dan prinsip Islam maka ia bukanlah lagi sebuah jemaah walaupun nampak masih menghidupkan sistem jemaah. Kerana ia bukan membawa keberkatan malah sebaliknya. Jika begitu mari kita nilai semula apakah yang dikatakan Abuya jemaah yang membawa rahmat dan berkat kepada seluruh alam ini. Jika suami isteri nak dipisah-pisahkan, keluarga dicerai beraikan malah menjadi dasar melarikan anak dan isteri yang tak sehaluan ini bukanlah keamanan, ini bukanlah perpaduan, keharmonian, kasih sayang yang Abuya perjuangkan. Hidup dalam neraka sebelum neraka sedangkan jemaah kebenaran itu ada syurga sebelum syurga.