BAGAIMANA CARA MENAGIH JANJI ALLAH?

Sembahyang kita itu ada lahir dan ada yang batin. Lahirnya kita bersembahyang, sah sembahyang kita, dianggap sudah memenuhi tuntutan sembahyang. Batinnya, kita pun tahu, sejauhmana dalam sembahyang kita itu, kita sudah khusyuk. Sudah mendapat rasa-rasa dengan Tuhan. Sudah ada rasa bertuhan dan rasa kehambaan. Bila dikaji-kaji, dinilai-nilai, memang kita seperti belum bersembahyang. Atau sembahyang kita itu hanya fizikal atau lahir sahaja. Tiada batinnya. Tiada kelazatannya. Tiada hiburannya. Jauh sekali mahu rasa cemas, rasa takut, rasa bimbang dengan Tuhan dalam sembahyang. Jadi, dari situ kita boleh ukur, kita boleh agak, Tuhan takkan terima sembahyang sebegini. Sembahyang kita, sembahyang orang lalai. 

Firman Tuhan:

    فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّين  الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُون.

"Maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang -(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;" ( Al-Maun:4-5 ).

Gambaran mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya, ayat di atas Tuhan berikan balasan neraka. Sembahyang kita sembahyang bangkai, kerana lahir sahaja kita hidup bersembahyang tapi roh kita seperti mati, tak terhubung dengan Tuhan. Sembahyang seperti itu Tuhan lemparkan kembali ke muka kita, sebab teruknya, rosaknya, buruknya dalaman sembahyang itu. Justeru, selepas sembahyang, patut sangat kita rasakan yang sembahyang kita banyak cacat-celanya. Patut sangat kita rasakan yang kita hanya membuat dosa dalam kita bersembahyang. Hati kita sepatutnya menderita atas sembahyang yang baru kita kerjakan tadi. Walhal memang hati kita mengharapkan agar sembahyang kita itu dapatlah dipandang Tuhan hendaknya.

Maka, atas kerana ini semua, mohonlah kepada Tuhan, minta ampun padaNya dengan kata-kata seperti berikut: “Ampunkan aku wahai Tuhan atas sembahyang aku sebentar tadi. Aku tak berdaya. Aku tak mampu melawan perasaanku yang menghala ke dunia. Nafsuku yang sentiasa mengalihkan hatiku daripada mengingatiMu.. Daripada terhubung denganMu.. Jahatnya aku.. Zalimnya aku kepada Engkau, Tuhanku.”

Bukti seorang itu sudah benar-benar sembahyang, selepas sembahyang dia menjadi orang yang sangat bermanfaat kepada manusia. Sebab ada keterangan dalam hadis, “sebaik-baik manusia itu manusia yang banyak memberi manfaat kepada manusia lain.” Manusia itu boleh menjadi sebaik manusia atas kerana sembahyangnya yang sudah terhubung dengan Tuhan. Sembahyang seperti ini menghidupkan jiwa. Maka kesan daripada sembahyangnya, jadilah dia orang yang sangat mahu memberi khidmat, mahu menolong dan membela orang lain.

Kalau lepas sembahyang, gaduh dengan orang, buat jahat dengan orang, tak ada sifat membela dan mengasihi orang, maka sembahyangnya tidak menghidupkan jiwanya. Sembahyangnya tidak memberi apa-apa kesan pada dirinya. Tuhan suruh sembahyang bukan untuk Tuhan. Sebab kalau kuat sembahyang, hebat sembahyang bagaimanapun, kebesaran Tuhan tak akan bertambah. Tak juga berkurang jika dia tak sembahyang atau lemah sembahyangnya. Kebesaran Tuhan sudah tetap sempurna, tak terkesan dengan sembahyang hambaNya. Jadi, Tuhan buat sembahyang adalah untuk keperluan hambaNya. Agar hamba itu boleh hidup jiwanya dan jadi dia orang yang sangat berkasih sayang, bertolong bantu dan bermasyarakat dengan orang lain. Kalau ini tak boleh dilakukan, sembahyangnya seperti tidak sembahyang. Dia sembahyang tapi sembahyang tak memberi apa-apa kesan kepada dirinya.

Bukti lagi seorang itu sudah benar-benar sembahyang, lepas sembahyang dia jadi orang baru, yang dia tidak akan sekali-kali membiarkan diri dia berada dalam kemurkaan Tuhan. Mengapa tidak? Sedangkan Tuhan sudah berjanji dalam Al-Quran, “sesungguhnya sembahyang itu mencegah diri kamu daripada berbuat keji dan mungkar.” Kalau dengan sembahyangnya tak dapat mencegah dia dari buat keji dan mungkar, maka dia seperti tidak bersembahyang. Dia sembahyang tapi masih minum arak. Dia sembahyang tapi masih berzina. Dia sembahyang tapi masih berjudi. Dia sembahyang tapi masih mencuri. Dia sembahyang tapi ramai terzalim dengan tindakan dan perbuatannya. Maka sembahyangnya hanya sekadar memenuhi tuntutan wajib sembahyang. Hakikatnya dia belum bersembahyang. 

Tuhan gambarkan orang yang sembahyang dia dengan khusyuk. Dalam Al-Quran telah Allah gambarkan;


    قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُون. الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ 

Maksudnya:
 
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,
Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.

( Al-Mukminun 23:1-2 )


Sedangkan jika sembahyang dia dengan khusyuk, maka sembahyangnya dapat menghubungkan diri dia dengan Tuhan. Dia akan jadi manusia yang sangat cinta dan takutkan Tuhan. Justeru tidaklah dia sanggup meletakkan diri dia dalam kemurkaan Tuhan. Kerana di mana sahaja dia pergi, rasa cinta dan takut Tuhan itu membendung dia daripada melakukan keji dan mungkar yang dimurkai Tuhan. Rasa cinta dan takut Tuhan itu dia bawa kemana mana. Ketika sendirian atau ramai, ketika dalam terang atau dalam gelam perasaan bersama Tuhan terus di bawa bersama.

Berjayalah atau menanglah orang yang khusuk dalam sembahyangnya.
Menceritakan tentang kemenangan, janganlah kita melihat kemenangan itu pada satu-satu sudut sahaja. Kemenangan itu perlu dilihat secara global. Kemenangan itu mula-mula sekali perlu diketahui, ada kemenangan di dunia dan ada kemenangan di akhirat. Maksudnya di sini, ia boleh kita perolehi di dunia, yang mana ini bersifat sementara dan boleh juga kita mendapatnya di akhirat, ini bersifat hakiki. Boleh kita dapat salah satu, dan boleh juga kita dapat kedua-duanya.

Mari kita ceritakan dahulu tentang kemenangan di dunia. Kemenangan di dunia ini terbahagi kepada dua, ada kemenangan berbentuk lahiriah dan ada kemenangan berbentuk batiniah atau rohaniah. Yang lahiriah itu lebih berbentuk material seperti mendapat kuasa atau kerajaan, menang perang ataupun mendapat harta. Yang rohaniah pula adalah seperti meningkat iman, boleh khusyuk dalam sembahyang, rasa berdosa, rasa bertuhan dan tenang dengan masalah dunia.

Kemenangan lahiriah tiada jaminan Tuhan. Kemenangan lahiriah adalah nikmat Tuhan yang belum tentu berserta rahmatNya. Kemenangan lahiriah boleh jadi Tuhan beri atas rahmatNya dan boleh jadi juga berlaku secara istidraj atau kemurkaanNya. Manakala kemenangan rohaniah sudah pasti berlaku atas rahmat dan kasih sayang Tuhan. Ia disebut juga sebagai al jannatul ‘ajilah atau syurga yang disegerakan. Kemenangan rohaniah ada jaminan selamat dari Tuhan. Kalau tidak di dunia, di akhirat selamat. Itu sebabnya dalam hendak mengusahakan kemenangan, eloklah diusahakan kemenangan rohaniah terlebih dahulu. Ataupun setidak-tidaknya, dua-dua itu hendaklah berjalan seiringan.

Kemenangan di akhirat pula, adalah anugerah Allah atas kemenangan rohaniah yang kita dapati di dunia. Lazimnya, orang yang mendapat kemenangan rohaniah di dunia, sudah Allah sediakan kemenangan di Akhirat. Kemenangan di akhirat ini boleh diberi contoh, seperti mendapat keampunan Tuhan, dilepaskan daripada azab neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Kemenangan di akhirat adalah kemenangan hakiki. Kemenangan yang selalunya diperkatakan Tuhan dalam Al-Quran banyak menjurus kepada kemenangan di Akhirat. Kemenangan di Akhirat inilah yang sepatutnya menjadi cita-cita setiap hamba Tuhan di muka bumi ini.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?