SELAWAT PERDANA MALAM CINTA ALLAH DAN RASUL DI PUTRAJAYA.

Majlis Selawat Perdana yang bertemakan Kesatuan, Perpaduan dan Persaudaraan telah diadakan di Putrajaya malam tadi (ketika artikel ini ditulis). Program itu turut diserikan dengan pelbagai aturcara seperti solat Maghrib dan Isyak berjemaah, zikir terapi, bacaan Al-Quran daripada finalis rancangan Imam Muda, tazkirah duet peserta Pencetus Ummah serta majlis ilmu bersama pendakwah terkenal. Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul di Dataran Masjid Putra disambut dengan begitu meriah sekali.

Seramai 500,000 pengunjung membanjiri dan memeriahkan majlis Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul di Dataran Masjid Putra. Kehadiran tersebut diluar jangkaan. Bukan mudah nak membawa setengah juta umat manusia dalam satu malam semata-mata untuk melepaskan rindu terhadap Nabi mereka. Inilah petanda kebangkitan Islam kedua tak lama lagi.

Firman Tuhan:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.
Al-Ahzab: 56


Kegairahan umat islam nampaknya bertambah dalam menyatakan dan memperjuangkan Islam. Umat Islam di Malaysia begitu sekali melahirkan syiar Islam melalui majlis Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul. Dan kalau trend ini berterusan berjalan nanti kita akan sampai ke satu era kehidupan yang mulia dan agung. Insya Allah di Malaysia akan menjadi Daulah Islamiah, dan sebagai tapak ummah Islamiah, sebuah masyarakat yang ahlinya tunduk patuh dalam menerima dan mempraktikkan Islam.

Namun satu hakikat mesti diakui, bahawa untuk mencapai hal itu tidaklah semudah yang kita rasakan dan gambarkan. Disamping penentangan dan musuh yang pasti tidak akan mengalah dengan kita, juga genggaman faham sekularisma yang kuat dalam sanubari umat Islam. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya di akhir zaman (termasuk zaman kita), umat Islam senantiasa berpecah dan berselisih. Kerananya perpaduan sangat sukar untuk ditegakkan. Bila perpaduan tidak ada, bagaimana ummah Islamiah dapat kuat dan tahan?

Apakah yang menjadi sebab perselisihan dan perpecahan yang berlaku di kalangan umat Islam?

Sebab utama terjadi perselisihan di kalangan umat Islam ialah kerana jiwa mereka telah diserang penyakit cinta dunia dan takut mati. Dengan penyakit itu umat Islam bukan saja telah berselisih sesama mereka, tapi kemiskinan dan kehinaan melanda di mana-mana! Musuh-musuh pun mudah mengkeronyok umat Islam sekehendak mereka. Ibarat hidangan makanan yang ada dihadapan mereka.

Kalau penyakit-penyakit jiwa umat Islam dapat diubati, kemudian diganti dengan jiwa yang cinta akhirat dan cinta ALLAH serta sanggup mati, saya kira itulah satu penyelesaian untuk masalah yang dihadapi umat Islam. Dan detik itu adalah detik awal dimulainya perpaduan dan kekuatan umat Islam, yang mencatat satu era baru bagi kehidupan mereka. Mudah-mudahan kita akan tergolong dalam golongan yang dimaksud oleh Rasulullah SAW dalam hadist baginda:

“Senantiasa ada satu golongan yang dapat melahirkan kebenaran, orang-orang yang menentang tidak akan memberi mudharat kepada mereka, hingga datanglah perintah ALLAH (hari kiamat). “

Usaha Malaysia mengadakan program "Malam Cinta Allah dan Rasul" adalah 
antara usaha menzahirkan kebenaran. Berdasarkan janji Allah melalui lidah Rasul SAW bahawa di akhir zaman ini akan berlaku sekali lagi kebangkitan Islam. Kita bersyukur Malaysia sedang mengisi kebangkitan tersebut. Bentuk pengisian yang dapat memberi kekuatan kepada umat Islam untuk menentang gejala gejala sosial yang merosakkan pegangan agama Islam.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?