SOLAT BERJEMAAH MELAHIRKAN BANGSA BERDISIPLIN.

Sembahyang atau solat adalah perkara pertama yang Tuhan akan tanya di Akhirat kelak. Allah Taala tidak akan tanya ibadah yang lain atau perkara lain melainkan sembahyang. Setelah selesai berkaitan solat barulah ibadah yang lain akan ditanya. Menurut buah fikiran Abuya yang merujuk kepada Al-Quran dan Al-Hadis, sembahyang ialah titik tolak segalanya. Kehidupan manusia bermula dari solatnya. Maka dari situlah bermulanya kehidupan manusia, samada baik atau buruk ianya bermula dari sembahyang.

Sebaik-baik sembahyang ialah sembahyang atau solat yang khusyuk. Sebaik-baik sembahyang juga ialah dilakukan secara berjemaah. Solat berjemaah melatih dan mendidik manusia untuk berdisiplin. Jika disiplin dalam solat dapat ditegakkan maka kehidupan selepas solat akan terdisiplin. Jika sembahyang pun caca marba maka itulah gambaran hidup seseorang hamba. Jika disiplin berjemaah dalam solat dapat diteruskan, dijaga, dan diperjuangkan, akan lahirlah satu masyarakat atau bangsa yang berwibawa, dihormati, disegani, disanjungi dan digeruni. Akan lahirlah masyarakat bayangan sahabat dan salafussoleh. Masyarakat yang berdisiplin dan mengikut syariat Tuhan.


Di dalam sembahyang jemaah, imam adalah gambaran seorang pemimpin. Sesiapa yang mahu menjadi imam mesti cukup syaratnya. Seorang imam mestilah terbaik dari sudut bacaan samada hafazan mahupun tajwidnya. Imam mestilah tahu hukum hakam dan syarat sah dan batal sembahyang. Bacaannya dan lafaznya mestilah jelas. Jika cukup syaratnya layaklah dia menjadi imam dalam sembahyang. Imam mestilah terbaik dari makmum atau pengikutnya. Jika ada kekurangan, dia terbaik dari kalangan mereka. Yang paling penting seorang imam mestilah di kalangan lelaki. Melainkan jikalau sembahyang sesama perempuan maka imam dilantik dari mereka. Inilah gambaran imam, dalam kehidupan imam adalah gambaran seorang pemimpin. Sebelum solat imam wajib pastikan saf makmum lurus. Imam tak boleh pentingkan diri tanpa fikirkan keadaan saf makmumnya. Pemimpin tak boleh terlepas pandang soal kehidupan pengikutnya. Salah dan silap makmum sepanjang solat imamlah yang menanggung dosa mereka. Begitu jugalah dengan pemimpin manusia. Maha Suci Tuhan yang menciptakan semua ini. Dalam keluarga seorang ayah adalah ketua keluarganya. Jika ayah meninggal dunia anak lelaki sulungnya akan menggalas tanggujawabnya. Ini ialah bebanan dan amanah bukan satu yang nak direbutkan. Andaikata anak lelaki yang paling bongsu tetaplah syariat menetapkan dia ketua keluarga setelah ketiadaan ayahnya. Seorang ayah atau anak lelaki di dalam keluarga adalah wali bagi mereka. Dia adalah pelindung keluarganya.

Selepas imam, makmum adalah gambaran kepada rakyat atau masyarakatnya. Jika imam sudah baik dan betul belum tentu makmumnya begitu. Ada juga makmum yang nakal seperti budak-budak atau kanak-kanak yang berjemaah bersamanya. Sebab itulah seorang imam mesti berwibawa, supaya makmum tahu kenapa dan apa tujuan mereka bersembahyang. Sembahyang ialah menghadap raja segala raja, menghadap Allah Taala. Mana mungkin kita berkelakuan biadap dihadapan Tuhan kita. Inilah peranan imam mengingatkan tujuan kita solat. Sebagai makmum, mesti ada ilmu dan panduan untuk solat berjemaah. Tak boleh makmum melebihi imam dalam kedudukannya. Tempat makmum ialah di belakang imam. Makmum juga tak boleh mendahului imam dalam solat. Setiap pergerakan makmun didahului imam. Jika makmum bergerak lebih awal maka solat jemaahnya dikira tidak sah. Maka terbatallah solat berjemaahnya bersama imam. Dengan ertikata yang lain dia telah meninggalkan solat berjemaah samada secara sedar atau tidak. Itulah gambarannya. Jika imam melakukan kesalahan makmum tidak boleh menegur sewenangnya. Bagi makmum lelaki lain cara menegur imam berbanding makmum perempuan. Jika imam terus melakukan kesalahan makmum lelaki akan menegur dengan sebutan "Subhanallah!" Jika imam masih tidak sedar sunat diulangi sebanyak tiga kali dan tidak lebih dari itu. Jika imam tidak sedar kesalahannya makmum boleg terus mengikut imam atau mufarakah sahaja, sembahyang sendiri. Namun bukan semudah itu untuk mufarakah kata Abuya. Menurut imam-imam muktabar atau ulama besar, makmum yang menegur imam sebutannya sekadar untuk pendengaran imam bukan dilaungkan sekuat hatinya. Malah dia mesti berniat sebutan itu sebagai zikir dan bukan teguran semata, jika tidak solatnya juga dikira tidak sah kerana melakukan perbuatan diluat solat iaitu bercakap. Bagi makmum wanita, mereka dilarang menegur imam yang salah dengan sebutan tetapi sekadar menepuk tangan atau pehanya. Mengikut kedudukan sembahyang mereka ketika itu. Jika makmum wanita menegur kesalahan imam dengan ucapan subhanallah maka terbatallah solatnya. Begitulah indahnya ajaran Islam. Dalam menegur kesalahan pemimpin pun diajar bagaimana dan caranya. Bukan boleh sembarangan lebih-lebih lagi mengikut hawa nafsu walaupun dalam teguran atau nasihat.

Disinilah mengapa sembahyang dikatakan permulaan kehidupan seseorang hamba. Jika dia mengikut disiplin yang Allah tetapkan dia ialah hamba yang Soleh, hamba yang baik dan taat pada Tuhannya. Tujuan syariat adalah untuk disiplinkan hidup manusia. Sepatutnya sembahyang melahirkan peribadi yang berakhlak mulia. Jika buah dari ibadah solat itu melahirkan peribadi berakhlak mulia ertinya dia berjaya dalam sembahyangnya. Tapi selepas solat akhlak macam orang tak sembahyang, malah lebih teruk tandanya ibadah dia Allah tidak terima. Menurut Abuya, sembahyang akan melahirkan peribadi seperti berikut:

1. Peribadi yang kuat keyakinannya (iman).
2. Peribadi yang mulia akhlaknya.
3. Peribadi yang berdisiplin hidupnya.
4. Peribadi yang jiwanya bersih dari mazmumah.
5. Peribadi yang bersih lahirnya dari maksiat dan kemungkaran kecuali terlalu sedikit.
6. Peribadi yang kuat syariatnya.
7. Peribadi kuat dan berpegang teguh dengan prinsip.

Jadi kita nilailah semula sembahyang kita. Dari sembahyang kita itulah gambaran perjuangan kita. Pengikut yang baik atau anak yang soleh, pemimpin yang bertanggungjawab, ini semua hasil ibadah dan solat kita. Jika syarat-syarat solat jemaah tidak cukup dan tidak dipenuhi maka tertolaklah sembahyang jemaah kita. Dengan ertikata yang lain tidak sah solat jemaah kita. Syarat imamnya, susunan makmumnya, pergerakan dalam solat, bacaannya dan lain-lain lagi. Lebih teruk lagi di barat sudah ada solat berjemaah yang berimamkan wanita. Ini awal-awal lagi sudah tertolak sembahyangnya kerana bertentangan dengan syariat Tuhan. Jika dilakukan juga hanya mengundang kemurkaan Allah Taala. Jangan semudahnya mengambil ringan hukum hakam Allah. Inilah syariat Allah kepada hamba-hambaNya. Tiada diskriminasi dan inilah sebaik-baik panduan yang Allah berikan kepada hamba-Nya.

Marilah kita muhasabah dan baiki sembahyang kita, lebih-lebih lagi sembahyang jemaah kita. Sembahyang seorang pun Allah beri ganjaran betapalah secara berjemaah. Cukupkan ilmu tentang solat supaya kita dapat fahami dan boleh menghayati sembahyang kita. Setelah difahami dan dihayati barulah datang khusyuk dalam solat. Akhirnya lahirlah natijah atau buah yang istimewa. Lahirlah masyarakat yang bersatu padu dan aman makmur. Akan lahirlah 'baldatun toyyibatun wa Rabbun ghafur', negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah SWT.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?