KETUA BANI (KELUARGA) WAJIB MEMBERIKAN TUHAN DAN BERKASIH SAYANG.

Dunia hari ini telah jadi neraka sebelum neraka. Kehidupan di rumah juga sudah macam dalam neraka. Slogan "rumahku syurgaku" hanya tinggal slogan. Pergi ke pejabat juga atau tempat kerja bagaikan dalam neraka juga. Masing-masing hendak mencari sistem yang lain kerana inginkan hidup aman dan harmoni. Semua ini bermula di rumah. Sebagai ketua keluarga, tanggungjawab ini Tuhan pikulkan pada kita namun kita kecil-kecilkan sahaja. Setiap ketua bani (keluarga besar) mesti faham bahawa kita sedang berjuang melalui bani/keluarga ini, hendak membaiki mana yang sudah rosak. Kalau kita tidak faham, yang dunia sudah jadi neraka ini kita tidak boleh betulkannya semula. Kalau kita tidak faham dunia sudah jadi neraka maka jika hendak disyurgakan semula, tentu kita tidak mampu. Perlu ada ilmu dan minda serta panduan untuk memahaminya.

Rasulullah SAW adalah manusia yang mempunyai kekuatan peribadi yang hebat. Dia seorang pemimpin yang bertanggungjawab kepada rakyatnya dan berkasih sayang dengan mereka. Seorang yang amat pengasih kepada umatnya, seorang suami contoh, berkasih sayang kepada orang tua dan anak-anak, suri tauladan dalam semua aspek kehidupan. Maksud hadis Nabi SAW, "Tiap bayi dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah-murni). Ayah dan ibunya lah kelak yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi (penyembah api dan berhala). (HR. Bukhari)

Firman Allah:

 وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُ بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ وَكَانَ عِندَ رَبِّهِ مَرْضِيًّا

Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya! (Maryam,19:55).

Di dalam Islam, pembinaan insan sangat dititik beratkan. Melihat kepada keadaan yang wujud disekolah ketika ini, sukar bagi kita untuk membayangkan bagaimana pendidikan boleh dilaksanakan di sekolah. Kalau pelajaran ialah proses mengumpul ilmu di mana ada guru yang mengajar dan ada murid yang belajar dan matlamatnya khusus supaya murid menjadi pandai dan berilmu pengetahuan, maka ini mudah dicapai dan sesuai dilaksanakan disekolah.

Di dalam tamadun barat, pembentukan akhlak yang berasaskan keimanan sepertimana yang kita faham sebenarnya tidak wujud. Kalaupun ada sifat baik yang diutarakan, ianya hanyalah berasaskan tradisi, 'civility', etika atau takutkan hukuman undang-undang atau takutkan disaman di mahkamah. Dasar pendidikan Islam yang bertujuan untuk membentuk manusia yang beriman, yang bertaqwa, yang berakhlak dan yang terbina insan mereka supaya dapat menjadi seorang hamba Allah yang tulin. Akhlak ibarat bunga diri manusia. Semua manusia suka pada bunga.

Disiplin dan kaunseling di sekolah bolehlah dianggap sebagai usaha yang paling hampir kepada pendidikan. Namun demikian, kedua-dua guru disiplin dan guru kaunseling hanya mengendalikan kes-kes murid yang sudah rosak. Mereka sebenarnya bukan mendidik tetapi membaik pulih. Pendidikan bukan baik pulih tetapi pembentukan akhlak dan peribadi yang bermula dari awal dan dilakukan secara berterusan. Sabda Nabi SAW, yang bermaksud: "Muliakanlah anak-anak kamu dan didiklah mereka dengan akhlak yang baik ".

Rasulullah SAW mengingatkan kita tentang didikan solat anak-anak, yang bermaksud: "Perintahkanlah anak-anak kamu untuk sembahyang pada usia tujuh tahun; dan pukullah mereka kerana meninggalkannya pada usia sepuluh tahun; dan pisahkanlah di antara mereka (anak-anak kamu) di dalam tempat tidur. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita bukan sahaja gagal menjadikan rumahtangga sebagai syurga, menyejukan kepanasan neraka rumahtangga pun tidak mampu.
Usaha ibu bapa kurang efektif kerana tidak kenal secara mendalam anak sendiri bermasalah yang dikendalikan sama ada watak mereka, sifat mereka, apa yang mereka suka, apa yang mereka benci dan sebagainya. Kalau anak yang bermasalah tidak dikenali betul-betul sifat dan wataknya, tindakan disiplin dan kaunseling mungkin tidak tepat. Ini boleh menjadikan keadaan bertambah buruk. Anak yang kuat emosi contohnya, kalau dilayan dengan ugutan dan kekerasan, akan rosak dan patah jiwanya. Kalau dimanjakan akan rosak juga. 

Anak yang kuat jiwa yang menyimpan marah dan benci dalam hatinya, kalau dihukum dan disakitkan tanpa diberikan kasih sayang akan berdendam sampai bila-bila. Sekarang kebanyakan anak-anak tidak terdidik. Di rumah ibu ayah hanya mengharapkan pendidikan berlaku disekolah. Di sekolah pula guru-guru bersangka ibu ayah telah memberikan didikan dirumah.

Akhirnya, yang mendidik anak-anak ialah suasana dan persekitaran yang sudah nyata rosak. Agen-agen yang merosakkan suasana dan persekitaran ini lebih banyak dan lebih ramai dari pihak -pihak dan para penguasa yang mengawalnya. Bermacam-macam bentuk pengaruh liar, separuh lucah dan melalaikan termasuk media elektronik. Itu belum lagi internet di mana yang terkandung di dalamnya seperti laut yang tidak bertepi dengan unsur ganas dan unsur seks yang berbagai-bagai bentuk dan versi mengikut selera dan cita rasa siapa sahaja yang meminatinya. 

Berdasarkan keadaan tersebut tugas ketua bani atau ketua keluarga semakin berat dan mencabar. Dalam hal ini, ketua keluarga atau bani mestilah terlebih dahulu selesaikan perkara asas seperti sembahyang dan yang berkaitan. Bila yang asas dijaga dan diambil berat maka hal yang lain Allah yang akan memudahkan.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?