PERTAHANKAN KELUARGA BESAR SALAH SATU SYIAR ISLAM.
Alhamdulillah kita bersyukur kepada Tuhan yang sentiasa melimpahkan rahmat dan nikmatnya. Di antara nikmat itu kita dapat meneruskan perjuangan keluarga besar yang telah diasaskan oleh Abuya. Pertemuan mingguan keluarga dikalangan anak-anak dan menantu-menantu dan cucu-cucu yang ada hubungan keluarga. Samada hubungan darah atau yang dikeluargakan seperti keluarga angkat. Kalau tidak dimudahkan Tuhan bukan mudah hendak selaraskan keluarga besar, sudut fikiran, kehidupan, cita-cita dan sebagainya. Apa yang Abuya cetuskan yang kita teruskan keluarga besar ini adalah satu sejarah keluarga besar Abuya dan kebangkitan Islam kali kedua ini.
Menyatu-padu dan memantapkan perpaduan adalah perintah Tuhan. Lebih-lebih lagi atas nama keluarga. Ini adalah supaya kita dapat cipta suatu kekuatan yang solid dan padu dalam memperjuangkan cita-cita besar. Apakah boleh diikut bersama? Bukan senang hendak satukan cita-cita, fikiran, perasaan, matlamat hidup. Ini sesuatu yang sukar dan sulit kalau bukan rahmat dan nikmat dari Tuhan. Inilah cita-cita kita bersama. Bukan mudah sebab itu ganjaran yang Tuhan janjikan sangat besar. Maksud firman Tuhan,
"Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar ugama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin. (Al-Hajj,22:32).
Firman Allah:
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.
(Ali Imran,3:103).
Berdasarkan ayat di atas menjadi kewajipan kita mempertahankan bara api perjuangan kebenaran dan meneruskan kelangsungannya. Kita berusaha, bekerja, berjuang bertungkus lumus menjaga bara api Islam adalah kerana Allah, kerana kita diminta oleh Tuhan sebagai hambanya menjadi kewajipan untuk taat dan berbakti kepada Allah, kerana merasakan tugasnya sebagai hamba tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mengabdikan diri kepada Allah, untuk menagih simpati, belas kasihan, keampunan dan kasih sayang Tuhan, untuk menyatakan kesyukurannya ke atas segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya, untuk mendapat keredaan Allah, yang beribadah atas dorongan rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang terpahat dihatinya dan untuk mendapatkan Tuhan itu sendiri maka inilah jalan yang lurus dan hak.
Justeru itu kalau ada orang yang mengajak kita kepada dunia yang semata-mata dunia, dan yang tidak ada nilai Akhiratnya, maka itu adalah satu penipuan yang amat nyata. Kalau ada pula orang yang mengajak kita kepada akhirat yakni semata-mata untuk mendapat syurga dengan mengejar fadhilat-fadhilat dan kelebihan-kelebihan amalan, maka itu juga dikhuatiri adalah satu penipuan yang akan merugikan kita.
Tapi kalau ada orang yang mengajak kita kepada Tuhan, yang mengajak kita mengenali Tuhan, yang mengajak kita untuk rasa bertuhan dan merasakan bahawa diri kita ini hamba, yang mengajar kita supaya takut dan cinta kepada Tuhan, maka inilah jalan kebenaran iaitu jalan yang ditunjukkan oleh para rasul.
Mari kita usahakan untuk mendapat cinta dan kasih sayang Tuhan. Tidak ada jalan lain untuk mendapat kasih sayang Tuhan melainkan dengan bertaubat, membersihkan hati, memperbaiki diri, mempertingkatkan iman dan ketaqwaan, menanam rasa bertuhan dan rasa kehambaan di hati, memupuk rasa takut, cinta, gerun, hebat dan rindu kepada Tuhan, menanamkan dan menajamkan sifat-sifat kehambaan seperti malu, hina, rasa berdosa, dhaif, lemah dan sebagainya di hadapan Tuhan dan mengabdikan diri keseluruhanya kepada Tuhan. Apalah maknanya kita mengejar pahala yang merupakan hadiah dari Tuhan kalau Tuhan tidak sayang kepada kita.