UMAT ISLAM HILANG WIBAWA SETELAH TERKENA AL-WAHAN.
Dahulu umat Islam walaupun bukan Melayu tetapi orang Arab, bangsa Kurdish, bangsa Turki, sebahagian bangsa Eropah pernah menjadi empayar Islam. Mereka dihormati oleh bangsa-bangsa di dunia. Mereka menjadi guru dan ikutan kepada dunia. Sempat bangsa-bangsa di dunia menerima ilmu dari umat Islam. Inilah yang berlaku dahulu. Setelah nikmat yang besar itu diberi oleh Allah tidak dijaga dengan baik, setelah manusia cinta dunia lahirlah hidup nafsi-nafsi dan takut mati untuk perjuangkan Tuhan, Akhirat, Rasulullah SAW, syariat, dan akhlak mulia.
Akhirnya Tuhan hukum umat Islam maka jatuh satu empayar Islam yang besar kemudian dijajah oleh penjajah dari Barat. Ada yang dijajah oleh British, Belanda, Sepanyol, Amerika Syarikat, jerman, Itali, Portugis dan Perancis. Semua ini Allah izinkan kerana umat Islam sendiri telah lupakan Allah dan mengambil musuh-musuh Tuhan sebagai tempat rujukan dan kawan. Malah lebih mendukacitakan menjadikan musuh Tuhan sebagai pembela dalam kehidupan!
Maksud hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Hampir tiba masanya kamu akan diserbu oleh bangsa-bangsa lain (musuh-musuh kamu), sebagaimana orang-orang lapar mengadap hidangan di dalam jamuan”. Sahabat bertanya, “Apakah semua itu berlaku disebabkan oleh jumlah kami yang sedikit?”. Rasulullah S.A.W menjawab, “Bahkan ketika itu jumlah kamu amat ramai, tetapi ramainya kamu tidak lebih dari seumpama buih-buih di laut. Allah akan mencabut dari hati musuh-musuh kamu rasa gerun mereka terhadap dirimu, dan dimasukkan ke hatimu penyakit AL-WAHAN”. Seorang sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah al-wahan itu? “Jawab Rasulullah SAW “ialah cinta dunia dan takut menghadapi maut. ”
Hadis riwayat Abu Daud
Firman Allah :
وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنكُمْ شُهَدَاءَ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ
Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. (Ali Imran:3:140).
Tuhan itu Maha Adil. Allah sangat adil dalam bertindak termasuklah dalam soal percaturan dunia. Allah pernah izinkan Namrud dan Firaun berkuasa, Allah jualah mengangkat para rasul dan auliya sebagai wakil-Nya. Allah jadikan sesuatu berlaku itu bersebab supaya manusia berfikir dan bertaqwa.
Allah gilirkan percaturan dunia dari tangan orang zalim kepada orang soleh dan begitulah seterusnya. Bila generasi soleh sudah tiada lagi Allah serahkan urusan dunia kepada orang kafir kerana umat Islam tidak bersedia menjadi penyelamat dan berkhidmat untuk dunia. Untuk apa dunia diserahkan kepada umat Islam jika umat Islam belum bersedia membela dan memakmurkan kehidupan mereka sendiri. Malah umat Islam sesamanya berlaku zalim antara satu sama lain.
Bila nafsu menjadi matlamat umat Islam takkan mungkin boleh berkhidmat kepada dunia. Jadi untuk apa dunia mahu diserahkan kepada umat Islam jika ia hanya makin merosakkan? Allah masih kekalkan Amerika berkuasa dengan sekutunya kerana manusia masih perlukan khidmat mereka dan umat Islam tidak pun bersungguh-sungguh membangunkan sistem Islam itu sendiri. Namun Allah sudah janjikan kepada umat Islam akhir zaman, dunia sekali lagi alan bernaung dibawah empayar Islam namun bukan pada peribadi umat Islam yang ada sekarang. Dunia akan diserahkan kepada umat Islam yang telah buang dunia dari hati-hati mereka dan Allah yang memenuhi segenap ruang hati mereka. Sepertimana dunia dimeriahkan oleh para sahabat dan tabiin serta tabiut tabiin pada kebangkitan Islam pertama, dunia sekali lagi akan bernaung dibawah umat Islam yang berperibadi sahabat ini pada kebangkitan Islam ke dua. Insya Allah. Dunia sedang ke arah itu.