PEJUANG KEBENARAN MEMBAWA RAHMAT DAN PENCETUS PERPADUAN UMMAH.
Perpaduan atas nama Tuhan, bukan setakat hubungan fizikal tetapi adalah hubungan ruhiah atau maknawiah. Orang ruh (Orang beriman) sangat menitik beratkan persoalan hati. Sebab itu perpaduan itu disebut satu rahmat dari Allah. Rasulullah SAW bapa kepada semua orang ruh (orang mukmin), Khatimul Anbia war Rasul ( خاتم الأنبياء والرسل ). Penutup sekelian para nabi dan para Rasul. Nabi yang membawa rahmat, merupakan satu nikmat bagi manusia, bahkan satu rahmat pada seluruh makhluk dan alam (رحمة للعالمين).
Berbagai-bagai kebaikan boleh tumbuh hasil dari perpaduan. Masyarakat bersatu-padu, bertolong bantu, bela membela, berkasih sayang, bertolak ansur dan bertimbang rasa. Masyarakat menjadi kukuh dan kuat. Apa sahaja yang hendak dibuat atau dilaksanakan menjadi mudah kerana semua pihak bersetuju dan memberi kerjasama. Keselamatan masyarakat terjamin kerana tidak ramai yang berani menggugat masyarakat yang bersatu-padu. Kalaupun ada, ianya mudah diselesaikan. Atas nama Tuhan semua manusia boleh menerima. Tidak mengira bangsa, agama dan sebagainya. Semua bangsa dan agama boleh menerima perpaduan adalah satu keperluan. Lebih-lebih lagilah dalam Islam sangat memperjuangkannya.
Firman Tuhan:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
(Al-Anbiya:107).
Maksud firman Tuhan lagi,"Maka Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam).
( Ali Imran:103 ).
Maksud firman Tuhan:
Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. ( Al-Anfal:63 ).
Pejuang kebenaran membawa bersamanya model perpaduan. Dia ialah penganjur perpaduan sesama manusia. Kerja pejuang kebenaran mengeluarkan manusia dari kegelapan dengan membawa cahaya. Abuya membangunkan jemaah untuk perjuangkan kebenaran. Jika kita penerus jemaah tersebut, sudah tentu kita meneruskan kebenaran yang Abuya perjuangkan selama ini. Contoh kebenaran yang diperjuangkan selain memberikan Tuhan, memperjuangkan perpaduan. Cara paling berkesan ialah memberikan Tuhan. Natijahnya yang boleh dilihat ialah perpaduan.
Kita imbas kembali bagaimana hati-hati kita diikat oleh Abuya. Hakikatnya Allah jualah yang melakukannya tapi mesti ada syariatnya. Abuya perjuangkan Allah. Itu tema Abuya. Bagaimana Abuya mengutip kembali pengikutnya selepas perjuangannya dihancurkan. Abuya tidak menjanjikan dunia kepada pengikutnya. Apa yang Abuya buat ialah kenalkan semula Tuhan kepada manusia. Allah Cinta Agung. Tema ini sangat popular ketika awal kita dikutip semula. Kita dikenalkan kepada Tuhan yang kita tahu Dia Tuhan kita tapi lupa peranan-Nya. Maka Abuya kenalkan kita semula. Abuya buatkan hati kita nak cintakan Tuhan. Berebut nak dapatkan Allah Cinta Agung itu. Kita kerap dan selalu nasyidkan. Ya! Abuya ikatkan hati kita dengan Tuhan.
Setelah hati diikat dengan Tuhan manusia sanggup buat apa sahaja. Sanggup susah demi Tuhan. Sanggup berkorban demi Cinta Agungnya itu. Abuya tidak janjikan harta benda dunia. Abuya juga tidak janjikan Daulah Islamiah untuk kita kerana ia pasti berlaku di tangan mereka yang Allah izinkan. Bukan daulah yang Abuya buru tapi Cinta Allah yang Allah tagih. Daulah dan lain-lain itu kata Abuya akan jadi bila sudah cukup syarat-syarat dan orangnya. Bila hati dah diikat dengan cintakan Allah akan lahirlah perpaduan dan kasih sayang. Perpaduan tak dinilai dengan bilangan dan kekuatan lahiriah. Jika hati sudah cintakan Allah lahirlah perpaduan. Inilah panduan yang Abuya tinggalkan untuk kita.
Rasulullah model pencetus perpaduan. Baginda SAW mempersaudarakan antara Muhajirin dari Mekah dengan Ansor dari Madinah. Maksud firman Tuhan,
"Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar."
(At-Taubah:100).
Perpaduan sebenarnya bukan perkara fizikal atau material. Perpaduan atau perpecahan bukan berpunca dari masalah lahir atau luaran seperti ekonomi, politik, pendidikan, adat resam, kebudayaan, bahasa, warna kulit dan sebagainya. Perpecahan juga bukan mesti berlaku di antara kaum, bangsa, golongan atau parti yang berlainan. Ia boleh berlaku di kalangan atau di dalam satu bani, kabilah, satu kaum, bangsa, golongan atau parti yang sama.
Berikan Tuhan merupakan dasar yang paling utama dalam kita membina perpaduan dalam Islam. Tanpa berteraskan iman pasti pembinaan perpaduan akan kehilangan ruhnya. Apalah ertinya perpaduan yang kehilangan ruhnya? Tapi bagaimanakah caranya kita berikan Tuhan yang menghasilkan perpaduan?
Didik masyarakat dengan kesedaran untuk pelihara dari azab Neraka. Didik mereka cinta dan takutkan Allah. Latih mereka memperbanyakkan solat, zikir, baca Quran supaya mereka menjadi insan yang sabar, pemurah, kasih sayang, bertolong bantu, maaf memaafkan. Generasi salafus soleh, pendekatan mereka sangat melatih diri mereka dengan sabar dan solat. Tanamkan pada mereka bahawa Tuhan adalah Pelindung, Penjaga, Pengawal dan Penyelamat.
Ancaman kepada pencetus perpecahan. Maksud firman Tuhan,
"Dan (di antara orang-orang munafik) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:" Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata ". Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta. (At-Taubah:107).
Apa saja kebaikan yang ada dikaitkan dengan Tuhan ada nilaian dalam Islam. Kebaikan yang tidak ada hubungan dengan Allah hanyalah sia sia sahaja. Tidak ada ruhnya kerana Islam ada lahir, ada batin. Ada jasad, ada ruh. Ada rangka, ada nyawa. Islam itu ada kulit, ada isi. Batin Islam atau ruh Islam, atau nyawa Islam atau intipati Islam itulah yang dikatakan ruhul amal, yakni ruh dalam kita bekerja, ruh dalam kita bertindak, dalam kita melaksanakan sesuatu, dalam sebarang usaha ikhtiar kita, dalam kita beribadah, dalam kita berbuat apa sahaja, dalam apa bidang sekalipun- dalam ibadah, dalam dakwah, dalam ekonomi, dalam politik, pembangunan, pertanian, kesihatan, dan lain-lain.
Islam adalah agama rahmat-kasih sayang untuk seluruh manusia bahkan kepada haiwan. Ruh dalam kita berjuang dan berjihad, yang ada dikaitkan dengan Allah. Natijah dari manusia mendapat Tuhan yang boleh dilihat ialah perpaduan. Kerana tujuan kita berjuang ialah untuk mendaulatkan Allah iaitu melaksanakan syariat Tuhan di muka bumi ini.