CIRI-CIRI PERJUANGAN KEBENARAN YANG DIBAWA ABUYA.

Akan sampai masa dan ketikanya, kesemua toifah kebenaran, jemaah kebenaran, atau tariqat yang benar akan bergabung dan disatukan di bawah panji-panji Islam. Ketika itu Imam Mahdi akan menjadi payungnya diperingkat sejagat. Di mana pun para pejuang kebenaran akhir zaman berada, apapun nama jemaah tariqat kebenaran, mereka akan bergabung bawah satu payung kepimpinan.

Hadis menyatakan bahawa kebangkitan semula Islam akan bermula dari sebelah Timur. Abuya telah memberikan ilmu, mendidik, dan memimpin kita bagi membuktikan kebenaran itu. Kini setelah 43 tahun berjuang, Abuya telah mematangkan roh kita dalam meneruskan perjuangan untuk bersama Imam Ummah atau pemimpin yang dijanjikan iaitu Imam Mahdi. Perjuangan Islam yang telah Abuya asaskan kini telah melebar dan meluas pengaruhnya hingga ke seluruh dunia. Perjuangan ini mempunyai masa depan kerana ianya dipimpin oleh Imam Mahdi.

Sesungguhnya, prestasi ini menjanjikan era yang lebih gemilang untuk Islam masa akan datang. Ertinya kita terus memandang kehadapan bukan berangan-angan untuk kembali ke belakang di era jemaah kecil sebelum ini.

Marilah kita bersyukur kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya kerana kita masih direzekikan bersama dengan perjuangan Abuya. Tuhanlah yang telah menjayakan mujahadah dan istiqamah ini.  Marilah kita berusaha untuk mempertahankan nikmat ini supaya berkekalan. Di saat hampir setengah abad umur perjuangan Abuya ini, mari kita renungkan lagi; apakah perjalanan perjuangan kita menepati laluan yang ditunjukkan oleh Al-Quran? Langkah-langkah perjuangan kebenaran itu ada tahap-tahap dan ciri-cirinya, iaitu:

1. Ujian untuk orang mukmin.

Firman Allah dalam Quran, 

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَىْءٍ مِّنَ ٱلْخَوْفِ وَٱلْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِ ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّٰبِرِينَ

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah: 155).

Nampaknya perjuangan bersama Abuya memang teruk diuji. Sejak awal-awal lagi hinggalah ke usia hampir setengah abad ini, masya-Allah! Ujian makin besar nampaknya. Sengaja Allah biarkan musuh-musuh lahir menyakitkan kita, menuduh, memfitnah, menekan, memboikot, menyesatkan, mengharamkan, menarik hak-hak asasi, menutup pintu-pintu rezeki, dan entah apa lagi nanti yang sedang dirancang dan sedang dilaksanakan. Alhamdulillah, Allah buatkan kita selamat dari ujian-ujian tersebut. Pada kebangkitan pertama, Rasulullah dan para Sahabat menerima ujian yang lagi hebat. Tetapi mereka selamat dengan izin Allah.

2. Rahmat dan pertolongan Allah.

Banyak sekali janji-janji manis yang Allah untukkan kepada pejuang-pejuang agama-Nya selepas mereka selamat dari ujian. Firman Allah dalam surah Al-Baqara ayat 157:

أُو۟لَٰٓئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَٰتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُهْتَدُونَ

"Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya."

Demi keadilan Allah, di dunia lagi Allah sudah perlihatkan bahawa sebesar mana ujian, sebesar itu jua-lah pertolongan-Nya pada kita. Sejak dahulu hinggalah sekarang, bantuan Allah tidak terhenti dan makin luar biasa. Di antaranya, Allah datangkan tenaga-tenaga manusia dengan pelbagai kebolehan, pakar atau mahir dalam semua bidang berkaitan atau yang diperlukan dan berkebolehan. Begitu juga bantuan dalam bentuk wang ringgit dari para dermawan. Tanpa diduga, ada orang-orang yang bersimpati dengan perjuangan Islam dan lain-lain bentuk bantuan, semangat, nasihat, kemudahan bergerak, pengaruh dan sebagainya. Ada bantuan lain juga, wujud banyak gerakan atau kelompok mereka yang berjuang dengan cara sendiri, sebagai mengambil saham untuk jayakan kebangkitan Islam di akhir zaman ini. Jadi tak perlu semua perkara itu kita lakukan, cukuplah kita sebagai pencetus dan menyalakan percikan api untuk membakar semangat juang mereka yang ingin terlibat dalam usaha ini.


3. Bilangan pejuang kebenaran tidak ramai.

Banyak hikmahnya Allah menjadikan bilangan orang yang memperjuangkan kebenaran ini kecil saja. Tidak ramai bilangan mereka. Firman Allah:

 وَقَلِيلٌ مِّنْ عِبَادِىَ ٱلشَّكُورُ
"Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur." (Saba :13).

Memang sudah menjadi sunnahtullah begitu! Kita lihatlah kaum Muslimin di perang Badar cuma 313 orang. Tentera Thalut pun 313 orang. Tentera Muhammad Al-Fateh 5,000 orang saja. Sebab Allah hendak tunjukkan kuasa-Nya; "Bilangan yang kecil boleh mengalahkan bilangan besar dengan izin Allah. Sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar." (Al-Baqarah:249).

Kata Abuya, antara hikmahnya ialah, kebenaran itu mahal nilainya. Ia bernilai keselamatan dunia dan akhirat, keselamatan yang sentiasa berkekalan. Barang yang mahal tak semua mampu memilikinya. Selain itu musuhnya banyak dan ramai, ibaratkan berlian pasti ada pencuri yang berminat. Sudah dapat milikinya kena jaga pula. Nak menjaganya satu hal, tak dijaga dengan baik mudahlah tercicir atau dicuri, lebih takut lagi ianya digadaikan untuk perkara bernilai dunia yang sementara. Sebab itulah tidak ramai yang bersamanya.

Antara hikmahnya lagi, setiap anggotanya adalah pilihan Tuhan. Allah memilih mereka berdasarkan tawaran yang diberikan, tawaran terbuka. Sesiapa boleh mencuba, namun berjaya hingga ke hujung tidak ramai. Ada yang mati di perjalanan, jika cukup syarat diterima seolah-olah dialah orangnya. Ada yang kecundang di tengah jalan, terkeluar atau mengeluarkan diri dengan pelbagai sebab; tak tahan mujahadah, ujian dunia, dan lebih bimbang keluar menentang atau menentang secara tidak sedar. Sekali lagi diingatkan, tawaran terbuka dan tempatnya terhad. Siapa melayakkan diri maka dialah pilihan atas pilihan. Tawaran boleh ditarik semula.

4. Terlepas dari tipu daya musuh-musuh.

Inilah keistimewaan khusus untuk para pejuang kebenaran, yakni musuh tidak dapat menipu dan permainkan mereka. Mereka menyangka mereka memperdaya, hakikatnya mereka dipermainkan. Sesuailah dengan dalil Al-Quran, Firman Allah taala:

وَمَكَرُوا۟ وَمَكَرَ ٱللَّهُ ۖ وَٱللَّهُ خَيْرُ ٱلْمَٰكِرِينَ

"Dan mereka (Musuh Allah) itupun merancangkan tipu daya, dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya." (Ali-Imran: 54).

Para musuh menyangka mereka berjaya memusnahkan perjuangan Abuya, dengan mencaing-caing jemaah Abuya dan keluarga Abuya, merosakkan imej Abuya, keluarganya, dan jemaahnya, dan 1001 lagi rancangan jahat mereka. Hakikatnya Allah jua-lah yang menipu mereka.

Mari kita lihat penipuan yang Allah lakukan kepada mereka yang kononnya rasa berjaya memusnahkan perjuangan ini. Lihatlah! Setelah apa yang kalian rancangkan Islam semakin laju, Abuya yang cuba dilupakan kini terpaksa kalian 'hidupkan' semula demi meneruskan rancangan jahat yang asalnya ingin menghilangkan Abuya dari hati-hati dan ingatan manusia.

Lihatlah! Jika dulu kalian mengunakan Abuya sebagai kambing hitam untuk dipersalahkan, kini tiada siapa lagi yang boleh digunakan namun Islam cara Abuya terus berjalan tak terhalang. Jika cuba dihalang bukan para pejuang yang melawan tetapi dunia yang kalian hadapi. Rancangan kalian makan diri sendiri. Cubaan untuk menghina keluarga Abuya juga tidak berjaya, malah setelah beberapa tahun dipisahkan dengan 'jemaah' ciptaan itu nampaknya Allah taala memuliakan sesiapa yang ingin Dia muliakan. Teruslah harum nama Abuya, kerana rancangan jahat kalian sendiri. Musuh-musuh menjilat ludah yang dilemparkan, hukuman Allah taala buat mereka dan simpati mereka.

Semua pun tahu, kalian wahai para musuh kebenaran sedang merasa rugi atas apa yang berlaku, namun kalian masih mencuba. Teruskan usaha kalian kerana Abuya dan perjuangan sudah di era baru. Selamat tinggal mereka yang bermusuh dengan kebenaran. Nikmat yang akan diberi lebih besar menanti, sesuailah dengan ujian yang dilalui. Boleh sahaja Allah taala buat dan lakukan, dulunya dihina dan dibuang, dizalimi dan diseksa jiwa dan raga, kini Allah muliakan, diberikan tempat dalam masyarakat, diberi kepercayaan, diberikan nikmat yang besar.

Maha Suci Tuhan yang melakukan semua ini. Dahsyat sungguh tipu daya yang Allah lakukan. Musuh ingat mereka sudah berjaya. Akhirnya Allah taala gunakan mulut-mulut mereka untuk perjuangkan kebenaran, Allah gunakan tangan kaki mereka, tenaga mereka, keringat mereka untuk kebangkitan Islam! Sedangkan mereka tidaklah mengetahui akan tipu daya Tuhan ini, terima kasih wahai Tuhan yang Maha Baik atas segalanya. Semakin mereka berbuat semakin bertambah dosa tapi pada masa sama Islam semakin berkembang dan gemilang. Mereka yang jujur dan ikhlas kerana Allah, akan dibalas jasa dan perjuangan mereka. Sesungguhnya Allah sangat mengetahui keadaan hamba-hambaNya.

Puji dan syukur ke hadrat Allah SWT atas rahmat dan nikmat-Nya yang mengizinkan kita dapat meneruskan perjuangan kebenaran yang Abuya asaskan ini. Perjuangan Islam terus mara kehadapan.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?