Perjuangan Semakin Laju Menuju Ummah.
Hidup dengan Islam kita akan dimuliakan Allah. Berjuang di atas landasan jadual Allah adalah satu kekuatan di akhir zaman. Pernah suatu ketika kita pernah diberi peluang perjuangkan model kehidupan Islam dalam jemaah tetapi kita melupakannya, maka Tuhan tarik kembali nikmat tersebut dari kita. Maksud firman Tuhan:
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Ibrahim:7).
Kebenaran itu adalah satu nikmat. Tidak ada orang yang tidak sukakan kebenaran. Kebenaran adalah kehendak bersama atau milik bersama. Kebenaran itu mahal sebenarnya. Kebenaran itu hebat. Kebenaran itu ajaib. Kebenaran itu adalah sesuatu yang indah, tenang, menyenangkan, bahagia dan harmoni.
Begitulah sifat atau watak kebenaran. Jadi kalau begitu tentu semua orang mengkehendakinya. Semua bangsa, etnik, agama, amat perlukannya sebab ia indah, senang , menyenangkan, tenang dan menenangkan. Jadi kebenaran yang hebat itu menjadi keperluan bersama manusia. Kebenaran yang dimaksudkan ialah:
• Kasih sayang
• Keadilan
• Perikemanusiaan yang amat tinggi
• Rasa bersama dan bekerjasama
• Kesatuan dan perpaduan
• Mengutamakan orang lain dan bertolak ansur
• Ilmu pengetahuan yang membawa kebaikan
• Merendah diri pada Tuhan dan sesama manusia
• Memikirkan kepentingan orang lain
• Sangat simpati dengan orang susah, orang yang mendapat kemalangan dan orang yang mendapat ujian.
Orang yang pernah dapat kebenaran dan tarbiah dari jemaah Islam dan kemudian tidak menghargainya, maka Allah tarik kembali hidayah yang penah diberikan itu kepadanya.
Lupakanlah mereka sebab mereka sudah tinggalkan kehidupan Islam yang terpimpin. Di hati mereka telah diselubungi halangan dan hijab kerana mencampur adukkan maksiat dan kebenaran. Malah yang tinggal bersamanya hanyalah fitnah yang membawa kepada keburukan. Walaupun mulut mereka perkatakan kebenaran, hakikatnya tiada lagi kebenaran yang tinggal, hanyalah kepentingan duniawi demi periuk nasi dan kelangsungan hidup.
Sebagai pejuang yang dididik dengan jiwa yang besar, tiada masalah bila ditinggalkan. Kita tidak mahu bicara tentang masa lalu. Suara Haramain mahu mengajak kita terus pecut dan mara ke depan kerana ada sesuatu yang sangat hebat sedang menanti. Mursyid kita telah sediakan sesuatu yang sangat hebat kepada kita sebenarnya, bila dilalukan ujian kepada kita rupanya dalam ujian ini ada sesuatu yang sangat bernilai dan berharga. Pakejnya bernilai dunia dan akhirat. Hal ini sangat dicemburui oleh mereka yang pernah bersama, namun ketahuilah bahawa mereka takkan merasainya. Kerana kata mursyid, ini disediakan kepada mereka yang dipersiapkannya.
Mari kita lihat fasa-fasa perjuangan yang pernah kita lalui. Hakikatnya kita tidak kembali ke belakang atau mundur malah makin laju memecut kerana saiz kita semakin besar. Jangan kita mengukur dengan cara mereka yang tinggalkan mursyid mengukur. Mereka mengukur dengan ukuran lahiriah, katanya bilangan mereka ramai dan mudah untuk berjuang.
Rasululllah saw tidak pernah mengajar kepada kita soal bilangan adalah ukuran kemenangan dan kebenaran. Malah kerana ramailah Islam tidak menang dan tidak kalah dalam perperangan Uhud. Kerana umat Islam bergantung dengan angka, bergantung dengan usaha sendiri, tidak bergantung dengan Allah, hakikatnya bergantung dengan selain Allah adalah syirik!
Sebenarnya bila kita diuji dari pelbagai sudut dan aspek dalam kehidupan mahupun perjuangan, ini menjadikan hati sepatutnya bergantung dan tidak putus dengan Allah taala. Biarlah di mulut berdiam kerana pesan Abuya, diam menjadikan hati berkata-kata dengan Pencipta kita.
Bilangan sedikit membuatkan kita mudah untuk muhasabah, menilai dimana cacat cela yang mahu dibaiki. Apalah ertinya bilangan yang ramai namun tidak boleh pertahankan syariat Allah taala, tidak mampu pertahankan prinsip perjuangan, tidak boleh merapatkan ukhuwah dan silaturrahim. Pejuang takkan tertipu dengan angka dan hal lahiriah.
Pernah Abuya ditanya, apakah Abuya tidak mahu kembali ke zaman Arqam, zaman kegemilangannya dan kemuncaknya mempunyai bilangan ahli seramai 10,000 di Malaysia dan seluruh dunia. Kata Abuya, keretapi jika mahu laju dan pecut kena kurangkan bebanannya. Arqam itu tempat Abuya melatih duta-duta kecil untuk diserap ke dalam masyarakat. 10,000 ahli inilah mencorak masyarakat Malaysia yang ada sekarang dengan berkat Abuya, dengan minda Abuya.
Jadi tak perlu kita kembali ke belakang. Ibarat budak sekolah rendah akan masuk ke sekolah menengah dan seterusnya ke kolej atau universiti atau terus bekerja. Mana ada dari kolej semakin mundur dan masuk tadika semula. Begitulah gambaran perjuangan Abuya kini. Bagi Abuya yang lepas itu satu fasa pendidikan yang perlu dilalui untuk mara ke depan. Rugilah mereka yang masih nak duduk di dalam tadika sahaja dan rasa seolah-olah sudah menguasai dunia. Pejuang kebenaran kata Abuya tidak syok sendiri. Dia cerdik dan diberi kefahaman serta dipandu dalam berjuang.
Kita pernah berada di era peralihan atau vacum setalah Arqam diharamkan kerajaan. Di saat itu masing-masing membawa diri dengan ilmu atau didikan yang diperolehi. Ikutlah sejauh mana mereka menghayati atau mengambil manfaat sebelumnya. Begitu juga saat ini, kita berada di saat peralihan antara Abuya dan Sayyidi. Era selepas ini bukan lagi era jemaah tapi bertaraf daulah dan seterusnya empayar.
Perjuangan bukan semakin mengecil tapi membesar. Yang rasa kecil atau berpecah itu tandanya sudah terputus panduan dengan mursyid. Sedangkan kita semua akan disatukan dibawah naungan dan pimpinan Imam Mahdi, ertinya bukan lagi kecil tahap selepas ini. Memerlukan jiwa yang kuat dan luarbiasa serta tahan uji. Kini terbuktilah pada mereka yang Abuya uji bahawa layak atau tidak untuk bersama. Kita bukan nak jual ubat, jual cili sos, jual tasbih atau minyak atar. Sudah Abuya katakan buat kicap atau sos ini assignment zaman tadika. Kini nak dapatkan PHD assignment lagi besar. Assignment kali ini untuk melihat samada layak atau tidak untuk ke era ummah.
Biarlah munafik mengulangi sejarah munafik di zaman Rasulullah, persendakan sahabat dan janji Allah. Permain-mainkan janji dan tawaran Allah. Tapi nampaknya Allah permainkan mereka. Mereka bertanya bila Rom dan Parsi akan jatuh ke tangan Islam dengan nada sinis, Allah menjawab ianya berlaku di zaman Khalifah Umar Al-Khattab. Rasulullah saw tidak berbohong, sebaliknya musuh tertipu dengan janji Allah. Pengajaran besar buat pejuang yang berangan-angan mengejar daulah yang bersifat dunia. Rugilah siapa yang berjuang kerana nakkan dunia, nakkan harta atau pangkat dan kuasa. Dunia ibarat bayang-bayang. Dikejar takkan dapat, tapi bila berpaling daripadanya dia akan mengikuti kita.
Kini perjuangan semakin laju menuju era ummah, menuju era empayar. Abuya pernah berpesan, beliau bukan sahaja persiapkan jentera di dalam malah di luar juga dipersiapkan. Jangan terkejut kalau kerajaan yang sedia ada menyahut dan menyambut hasrat Abuya. Mereka punyai kuasa, sudah tentu kesannya tidak sama jika mereka berbuat dan bekerja untuk Abuya. Tak percaya? Lihatlah sekililing, lihatlah suasana Malaysia kini, lihatlah istana-istana sultan, semua tidak dapat lari dari kebangkitan Islam. Tidak dapat diubah lagi Malaysia akan jadi tapak empayar Islam ke dua.