PERLUNYA DUNIA KEPADA PEMIMPIN DAN PENYELAMAT UMMAT.
Manusia akan menjadi buas, liar, dan ganas; nafsulah yang menjadikan manusia berwatak atau berupa haiwan yang berakal. Maka dengan akal itulah kejahatannya lebih jahat dan ganas daripada haiwan yang ganas. Malah dunia hari ini menyaksikan haiwan liar dan ganas ini menjadi binatang terancam dan semakin pupus, manakala yang mengancamnya ialah manusia yang semakin ganas, liar dan tidak terkawal. Haiwan liar semakin pupus tetapi manusia liar dan ganas setiap hari lahir atas muka bumi ini. Nafsulah menjadikan manusia itu liar seliar-liarnya, ganas seganas-ganasnya, buas sebuas-buasnya. Maka bagaimana manusia itu akan menjadi jinak semula?
Rasulullah saw didatangkan membawa rahmat untuk sekalian alam. Datangnya baginda Rasul saw adalah untuk memanusiakan kembali manusia. Di kala bangsa arab ketika itu jahiliyah, membunuh anak perempuan sendiri, kaum wanita terhina dan dihina, bangsa dikastakan status diutamakan, Islam datang membawa rahmat dan berkat serta kemakmuran. Maka berubahlah bangsa arab yang disangka jelik akhlaknya menjadi sebaik-baik manusia pada ketika itu. Ini kerana faktor adanya seorang pemimpin yang membawa mereka keluar dari kemelut nafsu yang menjadi raja didalam diri manusia.
Fahamlah kita bahawa perlunya seorang pemimpin dalam memandu dan mendidik manusia. Berubahnya satu masyarakat jahiliyah kerana adanya seorang pemimpin yang Allah taala datangkan. Firman Allah taala dalam Al-Quran yang mengiktiraf para sahabat sebagai sebaik-baik manusia setelah beriman kepada Allah taala dan Rasulullah saw yang berbunyi:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik. (Ali Imran : 110)
Dari dalil di atas, menunjukkan bahawa begitulah manusia bila nafsunya diislamkan, atau dikembalikan kepada Tuhannya. Dia akan menjadi sebaik-baik manusia, dia akan melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan, malah kejahatan itu dicegah dan ditegah samada dengan kuasanya, jika dia berkuasa, dengan mulutnya, melalui nasihatnya atau dengan hatinya iaitu dengan doa. Tetapi jika nafsu menjadi raja, sekalipun dia ahli ilmu atau ulama, tidak mustahil akan menjadi penentang agama Allah atau penentang kebenaran. Dalilnya juga dari ayat quran tadi, bagaimana ahli kitab (ulama yahudi dan nasrani) yang telah menolak keimanan sedang dihati mereka mengakui kebenaran yang telah datang ketika itu.
Akhir zaman ini, Allah telah menjanjikan akan datangnya pemimpin yang bertaraf nabi dan rasul, namun dia bukanlah seorang nabi mahupun rasul. Dia seorang pemimpin bertaraf khalifah, namun diberikan kekuatan seorang nabi dan rasul kerana jahatnya dan rosaknya umat di akhir zaman. Maka perlulah Allah datangkan seorang rasul kerana kejahatan manusia di akhir zaman sangat menakutkan, hari demi hari manusia berdepan dengan kejahatan baru dan ganas. Setiap rumah melahirkan penjahat dan penjenayah, maka tiada kerosakan yang lebih dahsyat melainkan apa yang berlaku di akhir zaman ini.
Barulah dapat difaham betapa perlunya hadir bersama manusia pemimpin yang mampu memimpin. Pemimpin yang mampu menyuluh perjalanan roh dengan gelombang rasa hingga dapat mengawal hati manusia supaya berperasaan yang tepat terhadap Tuhan dan terhadap berbagai situasi yang dihadapi. Agar manusia tahu bila perlu bersabar, bila perlu bersyukur, bila perlu redha, bila perlu sedih, bila wajar bersimpati dan sebagainya. Pemimpin yang mampu memimpin juga adalah orang yang bukan setakat memberi ilmu, tetapi mampu pula mendidik hati manusia hingga subur mahmudah dan nipis atau padam mazmumah manusia. Atau mampu juga menjinakkan nafsu. Itulah pemimpin dari Tuhan. Pemimpin dari Tuhan umpama Quran bergerak atau Quran yang hidup. Sepertilah Rasul saw yang mendidik hati para sahabatnya.
Pemimpin yang begitu sifatnya, diri pemimpin itulah modal utamanya. Yang terjamin dirinya bertaqwa dan mampu mendidik manusia lain agar bertaqwa. Modal utama pada dirinya itu bermaksud kalau dinisbahkan kepada perkara lahir, hanya yang berduit sahaja yang boleh memberi duit kepada orang lain. Mustahil orang yang tidak berduit, orang lain boleh mendapat duit daripadanya. Iaitu orang bertaqwa sahaja yang boleh mendapat duit daripadanya. Iaitu orang bertaqwa sahaja yang boleh mendidik orang lain menjadi bertaqwa. Orang berilmu sahaja yang berupaya memberi orang lain ilmu. Orang yang mampu mendidik diri dan menundukkan nafsu sendiri, barulah dapat mendidik dan mendudukkan nafsu orang lain.
Pemimpin (yang layak) itu sekurang-kurangnya ada padanya lima watak dan lima ciri-ciri kepimpinan.
LIMA WATAK KEPIMPINAN.
1. Berwatak ayah - yang sangat bertanggungjawab kerana takutkan Tuhan.
2. Berwatak ibu - sentiasa bersedia mendengar rintihan dan pengaduan serta tempat bermanja.
3. Berwatak kawan - sangat setia dan bela membela.
4. Berwatak guru - memberi ilmu, tunjuk ajar, panduan dan mendidik.
5. Berwatak pemimpin - mengatur, menyusun, mentadbir, membuat keputusan, sekali sekala membuat arahan.
Lima Ciri Kepimpinan.
1. Berilmu.
2. Bersifat adil pada diri dan dalam kepimpinan.
3. Sangat sabar dalam memimpin dan mendidik.
4. Kasih sayang kepada semua makhluk Tuhan.
5. Pemurahnya pada masa dan tempat yang diperlukan.
Pemimpin bertaraf ummah ertinya kepimpinannya lambang perpaduan sejagat. Kepimpinannya juga mampu membawa kasih sayang sejagat. Menjadi penyelamat kepada ummah sejagat. Juga pembela dan penghibur sejagat. Bukan sahaja manusia boleh bernaung tetapi makhluk Tuhan yang lain juga boleh terhibur dan terbela. Sebab itu dia berjuang sangat membawa manusia kepada Tuhan. Apabila manusia mendapat Tuhan ertinya dalam hidup mendapat segala-segalanya. Hidup bahagia dan sentiasa terhibur dengan Tuhan dalam apa situasi sekalipun.
Maka fahamlah kita mengapa perlunya pemimpin dan penyelamat untuk Allah datangkan kepada kita. Maka kita sebagai umat Islam di akhir zaman telah Allah janjikan dengan kehadiran pemimpin bertaraf khalifah dan dibantu seorang pemimpin yang menyediakan tapak perjuangannya. Merekalah Imam Mahdi dan pembantunya Pemuda Bani Tamim. Sabda Nabi Muhammad saw, “Akan keluar dari sulbi ini (Sayyidina Ali) seorang pemuda yang akan memenuhi bumi ini dengan keadilan. Maka apabila kamu meyakini demikian itu, hendaklah kamu bersama Pemuda dari Bani Tamim itu. Sesungguhnya dia datang dari sebelah Timur dan Dialah pemegang Panji Panji Al Mahdi." (Riwayat Ahmad)
Allah telah menjanjikan kita akan datangnya penyelamat yang menyelamatkan iman manusia. Untuk membawa kemajuan dan kemodenan, yahudi pun boleh buat malah barat yang diketuai yahudi sangat kedepan dalam kemajuan dunia. Tapi untuk keselamatan iman manusia hanya pemimpin dari Tuhan sahaja boleh melakukannya. Maka perlulah kita bersiap sedia dengan kehadiran pemimpin dan penyelamat ini.