PESANAN MURSYID UNTUK MENUJU ERA UMMAH.
Kita diminta dan dituntut didalam Islam supaya mencari keberkatan. Banyak keberkatan yang yang boleh dikutip dan diambil daripada sekeliling kita. Keberkatan ibu bapa, guru, orang soleh, berkat ilmu bermanfaat, keberkatan membaca Al-Quran, dan lain-lain lagi. Keberkatan itu bermaksud kebaikan yang bertambah-tambah. Setiap yang memberi berkat, natijahnya juga memberi kebaikan, faedah dan manfaat terutamanya kepada iman manusia.
Kali ini penulis ingin berkongsi pesanan Mursyid kita, Abuya Attamimi setelah 15 tahun yang lalu pesanan ini jugalah yang beliau selalu ingatkan samada didalam kuliah atau ekspedisi bersamanya. Sebelum itu, Abuya mengingatkan bahawa sesuatu yang akan berlaku selepas ini membawa keuntungan besar kepada Islam, membawa kemenangan untuk Islam. Barangsiapa yang berjuang bersama Islam pasti akan merasa berkatnya serta nikmatnya. Pesanan ini membawa erti selepas ini perjuangan Abuya berada ditahap atau level yang baru.
Sebelum itu, penulis ingin menyampaikan bahawa pesanan yang disampaikan ini tidak lain tidak bukan mengajak kita bersiap sedia untuk terus memecut dan melangkah jauh ke hadapan. Ini kerana skop perjuangan bukan lagi ditakuk yang lama. Sebagai contoh yang boleh penulis berikan, perjuangan Abuya yang bermula di rumah putih di Keramat setelah suluknya berkembang, dan perkembangan ini meliputi setiap aspek kehidupan dan perjuangan. Dan setiap perkembangan ini tidak menuju ke belakang malah semakin berkembang.
Pada tahun 1998, bermulalah era baru dalam perjuangan Abuya. Bergerak dalam bidang ekonomi Abuya memulakan perjuangannya, membina semula namun dalam bentuk yang berbeza. Maka Abuya memulakan satu model perniagaan Islam untuk dicontohi mereka yang punya kemahuan dan kekuatan yang ingin membela Islam dengan cara yang sama. Abuya tidak kembali ke era yang lama, era Arqam. Fesyen berpakaian juga berubah namun mengikut syariat Islam dan mengikut keadaan semasa.
Kini, setelah 15 tahun Abuya mengingatkan kembali pesanannya supaya bersiap untuk sesuatu yang lebih besar dari yang sebelumnya. Kerana perjuangan Abuya bukan lagi diperingkat jemaah atau syarikat perniagaan, tapi diperingkat yang jauh lebih besar, diperingkat ummah. Memang ada mereka yang ingin berada atau menetap ditakuk lama, kerana selesa atau minat dengan cara, kaedah, kemudahan, atau apa-apa yang menyebabkannya tidak bersedia berada ditahap yang baru. Ia bukan masalah tapi ia menjadikan mereka tertinggal di belakang.
Pesanan Abuya yang utama dan terutama ialah menjaga hubungan dengan Allah Taala, iaitu melalui sembahyang atau solat. Dari sembahyang inilah bermula segala urusan dunia lebih-lebih lagi urusan akhirat. Dari sembahyang inilah menentukan layak atau tidak sesuatu kaum layak atau tidak menerima bantuan daripada Allah. Sesuatu perjuangan Islam hendak dibantu dilihat daripada sembahyang ahlinya. Bukan ketua yang menilai tetapi Allah yang menilai. Kita hanya diberikan panduan namun berusahalah mencapainya. Hasil sembahyang dapat dilihat dalam kehidupan, kerja harian, hubungan sesama manusia dan perjuangannya. Sembahyang adalah yang utama dan terpenting. Bagaimana Allah nak bantu jika sembahyang dijadikan perkara kedua, ketiga, atau teruk lagi langsung tidak diambil berat.
Pesanan-pesanan ini ialah menjaga:
1. Ibadah. (Sembahyang).
2. Kasih sayang.
3. Pemurah.
4. Taubat.
5. Tebus dosa.
6. Tawasul.
7. Sedekah.
8. Doa.
Setelah Habluminallah (solat) diusahakan dan dijaga, kita dituntut Abuya mengusahakan Habluminannas iaitu menjaga hubungan sesama manusia. Kata Abuya, sehebat manapun kita berjuang namun jika hubungan dengan ibu ayah tidak selesai, dihujungnya tidak akan selamat. Selama hayat dikandung badan, berusahalah mengeratkan kasih sayang sesama ibu dan ayah kita selagi mereka masih bernyawa. Anak derhaka tiada tempat dalam pandangan Allah taala. Selain itu kenalah menjaga ukhuwah dan persaudaran sesama umat Islam, sekalipun mereka tidak menyenangkan.
Pemurah sangat dituntut oleh Islam, kita tidak akan papa kedana jika pemurah dan banyakkan sedekah. Dikhabarkan dari asar-asar sahabat (kata-kata sahabat), baginda Rasul saw jika bersedekah seolah-olah tidak takut miskin dan seolah-olah hartanya tidak akan habis. Begitu sekali kita diberikan contoh. Allah taala berjanji sekiranya mengikut syarat-Nya, Allah akan berikan 10 untuk 1 yang kita keluarkan dari poket kita. Ertinya, Allah berikan 10 kali ganda bayaran daripada apa yang kita berikan.
Pemurah tidak semestinya dengan harta, ia boleh dilakukan dengan menyumbangkan tenaga, buah fikiran, dan memberikan masa untuk Allah, untuk agama-Nya, untuk amal-amal kebaikan. Manakala sedekah pula bukanlah 'sedekah' yang biasa diberikan kepada orang miskin atau pengemis. Erti sedekah yang berasal daripada kalimah arab (صدق - صدقة) adalah benar. Lawan benar ialah dusta. Ertinya bersedekah ialah melakukan satu perkara yang benar, iaitu yang Allah suka dengan mengeluarkan sesuatu yang ada pada kita atau berikan sesuatu yang manusia lain suka, dan ini termasuk dalam perkara kebenaran.
Selaku hamba, kita tidak akan terlepas daripada salah dan silap, dosa dan noda. Oleh kerana itu kita diminta bertaubat selalu. Sedangkan baginda Rasul yang maksum itu bertaubat sekurangnya 70 kali sehari. Dan taubat itu dijanjikan supaya tidak mengulangi lagi perbuatan salahnya itu. Setelah taubat di-iringi perbuatan kebajikan untuk menebus semula kesalahan yang dilakukan, itulah yang dikatakan menebus dosa. Bukan bermakna setelah dibuat amal baik dengan niat taubat dan menebus kesalahan itu dosa kita diangkat, tapi itulah cara mendapatlan pandangan daripada Allah taala. Sesuailah dengan pesanan Nabi Muhammad saw, iringilah kejahatan dengan kebaikan, iaitu setelah ditaubatkan ditebus pula untuk mengambil perhatian Tuhan pada kita. Mudah-mudah Allah taala ampunkan dosa kita.
Tawasul adalah satu kewajipan bagi mereka yang bertarikat, kerana tawasul membuang perasaan 'kerana aku' atau 'sebab aku' untuk setiap pekerjaan yang dilakukan. Sedangkan Nabi Adam pun bertawasul kepada Nabi Muhammad saw, tiada kesalahan bersandar dengan orang soleh lebih-lebih lagi jika mereka kekasih Allah atau mereka yang diberi pengiktirafan oleh Allah taala. Mereka yang bertawasul ialah mereka yang memiliki hati dan jiwa yang halus, yang lembut. Kerana orang yang sombong tidak akan bersandar pada manusia lain, sedangkan merasa diri mampu melakukan sesuatu ialah syirik. Dia telah bertuhankan dirinya tanpa sedar.
Akhir sekali ialah doa. Doa ialah senjata mukmin, sebab hanya orang mukmin yang yakin dengan power doa ini. Orang Islam biasa ramai yang tidak yakin dengan kuasa doa, malah merasa rugi dengan doa terutamanya kaum wahabi yang kurang berdoa malah membidaahkan doa. Orang yang tidak berdoa hakikatnya sombong dan tidak yakin dengan Allah taala. Sedangkan kuasa doa itu boleh merubah apa yang telah ditakdirkan, inilah janji Allah kepada para hamba-Nya.
Inilah pesanan yang diingatkan kepada kita oleh Abuya, supaya bersiap untuk maju ke era ummah. Supaya tidak ketinggalan untuk bersama pemimpin ummah ke dua. Mereka yang terus ditahap lama biarkan saja, kita yang perlukan Islam dan Islam tidak perlukan sesiapa kerana Allah yang menjaganya. Selepas ini, setiap tarekat kebenaran akan disatukan oleh pemimpin ummah iaitu Imam Mahdi, ertinya kita akan bersatu namun bukan bermakna kini kita berpecah, tidak! Sekarang kita sedang bersiap sedia untuk menuju ke zaman kegemilangan Islam kedua.