IMAM MAHDI MENGEMBALIKAN DUNIA KEPADA ISLAM.

Kedatangan Imam Mahdi akan mengembalikan semula dunia yang telah dipisahkan dari Allah dan Rasul. Kepimpinannya berjaya kembalikan semula perkara-perkara yang telah hilang dari umat Islam. Imam Mahdi akan menyatukan umat Islam yang telah dipecah-pecahkan dan dicaing-caing mengikut sempadan politik, geografi, fahaman, etnik, dan bangsa. Umat Islam berwibawa kembali dibawah pimpinan Imam mahdi. Mampu mengatasi musuh dalam semua hal, termasuk juga dalam hal hikmah ini, bantuan-bantuan ghaib seperti firasat, kasyaf, ilmu laduni, hatif, ilham, dan sebagainya.

Imam mahdi berjaya membawa manusia mendapatkan Allah taala, Taatkan Allah, mengikuti ajaran Rasulullah saw, cintakan Akhirat dan menggunakan seluruh nikmat untuk semuanya itu. Belum lagi dia bertindak orang akan senang hati, dengan tolak ansur, kasih sayang, dalam perjuangannya. Hasilnya manusia masuk Islam berbondong-bondong. Keadaan kita sekarang, diri kita tidak selamat kerana tiada bunga diri, tiada akhlak, Islam kita tidak memberikan kesan pada diri, jadi bagaimana mahu selamatkan manusia yang lain? Kepimpinan Imam Mahdi melahirkan manusia yang berakhlak, itulah maksud Islam itu selamat-menyelamatkan. 

Maksud firman Allah:
Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Ali-Imran,4:85).

Masih segar pengajian oleh guru mursyid kita, Abuya; menghuraikan pengertian Islam adalah agama keselamatan. Islam menurut bahasa, memiliki erti; selamat, kedamaian, sentosa, sedangkan dalam istilah syarie/syara' Islam berserah diri, tunduk patuh, dengan kesadaraan yang tinggi tanpa paksaan. Sedangkan Islam secara makna, maka akan menjadi sangat luas jika dikaitkan dengan beberapa pengertian di atas. Kedatangan Imam Mahdi adalah membawa keselamatan yang telah hilang dari umat Islam dan dunia.

Makna dalam ertikata selamat, maka Islam adalah jalan/cara hidup (way of life) satu-satunya yang paling selamat membawa manusia sampai tujuan akhirnya, iaitu kehidupan akhirat yang kekal abadi. Dalam konteks perjalanan, tujuan hanya dapat dicapai melalui jalan yang ditempuh. Sedangkan sebuah jalan, ia memiliki cara dan aturan. Akhirat adalah tujuan akhir dari perjalanan manusia, cara yang terbaik adalah cara Rasulullah, dan aturan yang digunakan adalah berdasarkan Al Quran dan Sunnah, dan Islam adalah bentuk dari gabungan antara aturan dan cara tersebut (Al Quran & Sunnah Rasulullah) yang membentuk jalan yang paling selamat untuk mencapai tujuan akhir dari perjalanan manusia.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebaikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)." Ali Imran: 200).


Usaha Lahiriah Dan Maknawiah.

Agama Islam yang menggabungkan usaha lahir dan batin. Taqwa adalah usaha bersifat maknawi. Disinilah Tuhan menetapkan kita berusaha untuk melahirkan sebab. Walaupun gigih sampai tak tidur malam, usaha lahir kita hanya bernilai 10%. Sedangkan usaha Taqwa itu kebanyakan umat Islam tak menganggap sebagai satu usaha. Namun disisi Tuhan taqwa adalah usaha bersifat maknawi, bersifat tersirat, yang bernilai 90% dan sangat besar nilainya disisi Allah taala.

Dalam menanti kedatangan pemimpin ummah yang dijanjikan, mestilah kita berusaha menggabungkan kedua-dua usaha ini iaitu usaha taqwa dan lahir. Kita usahakan sesuatu yang dituntut oleh Allah taala. Usaha taqwa itu ialah mengusahakan sifat-sifat mahmudah ke dalam diri kita, disamping itu membuat amal kebajikan dan kebaikan. Usaha lahir yang perlu dibuat ialah tidak memisahkan amalan taqwa daripada setiap kerja yang dilakukan. Dalam mengusahakan hal lahiriah, tirulah apa yang pernah baginda Rasul saw dan para sahabat lakukan. Baginda saw dan para sahabat tidak memisahkan usaha taqwa dan usaha lahiriah. Contohnya didalam bekerja, matlamat kerja mestilah untuk Islam atau tidak terpisah dengan Islam, seperti mengembangkan dakwah dalam perniagaan, pendidikan atau apa-apa bidang.

Inilah tujuan Allah datangkan khalifahnya, salinan Baginda Rasul saw khalifah Al-Mahdi. Untuk memajukan ekonomi umat Islam, tidak perlu didatangkan Imam Mahdi. Tapi kedatangannya bukan sahaja menyelamatkan iman malah menyelamatkan lahiriah atau fizikal umat Islam itu sendiri daripada kejahatan yang dicipta oleh manusia yang bertunjangkan nafsu dan syaitan.

Di saat ini bukan sahaja iman umat Islam terancam, malah segala aspek dalam kehidupan umat Islam sendiri sudah diganggu hingga tidak merasa aman dan tenteram. Ada umat Islam dibunuh begitu sahaja umpama haiwan di tepi jalan yang disembelih dan dibakar, ekonomi umat Islam dihancurkan, wibawa dan kehormatan umat Islam, terutama kaum perempuan sudah dirosakkan; hal ini sangat memerlukan kepada penyelamat ummah bertaraf khalifah untuk menyelamatkan keadaan. Kerana bersama Imam Mahdi itu Allah taala sudah janjikan keselamatan bukan sahaja untuk umat Islam malah untuk dunia seluruhnya, sepertilah kedatangan Rasulullah saw.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?