ROH TIDAK BERJANTINA.
Ketika Tuhan himpunkan seluruh roh manusia, dari manusia pertama diciptakan (Nabi Adam) hinggalah manusia yang terakhir, baik lelaki mahupun perempuan, budak mahupun dewasa, dilonggokkan setempat. Tuhan kumpulkan para roh ini sebelum ianya dimasukkan ke jasadnya, maka Tuhan bertanyakan kepada roh-roh tersebut. Firman Allah dalam Al Quran :
وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَنِي آدَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ ۖ قَالُوا بَلَىٰ ۛ شَهِدْنَا ۛ أَن تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَٰذَا غَافِلِينَ
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini". (Al-A'raf: 172)
Begitulah kisah manusia sebelum rohnya dimasukkan ke dalam jasad mereka. Roh-roh yang dihimpukan ini tidak dibataskan mengikut jantina atau usia. Tuhan ciptakan roh itu umurnya sama. Bezanya ialah umurnya di dalam jasad yang sementara yang hidup di atas muka bumi ini. Roh yang berada diatas muka bumi inilah yang terikat dengan syariat dari Tuhan.
Kisah seorang wanita Syria yang balik dari haramain, kemudian bermimpi bertemu Rasulullah. Dalam mimpinya, dia menghulurkan tangan kanannya untuk bersalam dengan baginda. Tetapi yang mengejutkannya baginda tidak menghulurkan tangan kanan, bahkan menghulurkan tangan kiri untuk bersalam dengannya. Tanya wanita itu, mengapa baginda tidak menggunakan tangan kanannya? Kata baginda saw, “Tangan kananku kini di Syam”. Jelaslah disini, roh itu tidak terikat dengan jantina.
Kata Abuya, “Roh sudah kenal sebelum bertemu. Bila bertemu seperti kawan yang sudah lama berpisah”. Begitulah hebatnya roh yang telah disucikan, ia tidak terikat dengan ruang dan masa. Begitulah cara-cara para wali berhubung sesama mereka. Fizikal lahir tidak dapat menghalang selagi ikatan roh ini tidak diungkai. Begitu jugalah hubungan seorang murid dengan mursyidnya, selagi ia berlaku hubungan roh sesamanya, ia tidak dapat dihalang walaupun oleh tanah. Namun bila keyakinan sudah terungkai, terputuslah hubungan keduanya ini. Ini sangat berkait rapat dengan persoalan roh manusia.
Bila kita mempunyai mursyid yang sama, cita-cita kita yang sama, matlamat hidup yang sama iaitu untuk perjuangkan Islam. Bila diikat dengan keyakinan yang sama. Sama-sama berjuang. mudah berkongsi perasaan dan masalah serta bertukar pandangan. Bila berjauhan dan sesekali bertemu, tentulah banyak perkara yang hendak dikongsikan. Perkara tersebut banyak berlaku antara saya dengan Syeikh Nizam. Sekaligus saya hendak menyatakan pendirian dan pandangannya sama dengan saya tentang Wasilah. Lebih-lebih lagi Abuya pernah menyatakan kepada kami peranan Bonda Wasilah sebelum ghaibnya.
Mari kita lihat lagi betapa roh itu berperanan mengikut kemampuannya. Berlakulah peristiwa dialog Abuya dan anak-anaknya yang masih kecil. Kata Abuya kepada salah seorang anaknya yang masih budak: “Kalau Abuya berjumpa abang kamu ni (Syeikh Fakhrur) berjam-jam, jangan kamu cemburu. Banyak perkara yang nak Abuya bincangkan tentang hal-hal jemaah dengan dia. Kalau Abuya jumpa kamu, paling lama pun sejam. Nanti Abuya tengok muka kamu, kamu pun tengok muka Abuya.”
Disini apa yang Abuya mahu sampaikan ialah, betapa roh itu berperingkat. Roh yang matang bila bertemu, lama mana pun tak mengapa. Walaupun mulut tidak berbicara tetapi roh satu sama lain terhubung. Nak berlama-lama pun seronok. Berlainan dengan roh yang belum matang, bila bertemu dengan roh yang tak sama tahapnya, ia tak boleh tahan lama. Lahirnya akan gelisah. Kerana roh yang lemah tidak mampu menangkap hasrat roh yang matang. Roh yang matang juga melahirkan peribadi yang kuat jiwa juangnya. Begitulah tamsilannya.
Berlaku juga bila roh yang sudah terhubung dengan mursyid, sama hubungan itu kuat atau lemah dia tetap akan dipandu. Bezanya ialah sejauh mana kekuatan yang rohnya terima daripada mursyidnya. Ibarat sejauh mana kekuatan sesebuah telefon yang mampu menarik kekuatan gelombangnya.
Berlaku juga bilamana roh yang terkait dengan mursyid itu, dalam hal berperasaan sedikit sebanyak akan dipandu. Contoh, dalam kes berdepan dengan Tuan Zul. Sebelum Abuya membongkar siapa dia, hati sudah merasa ada yang tidak kena. Bila Abuya bongkar, ianya membenarkan rasa hati yang sebelumnya. Berlaku juga kepada beberapa orang lain terhadap perkara yang sama, iaitu kepada Syeikh Nizam ketika di Kuantan, Syeikh Nasrul dan Syeikh Inam ketika berada di Sungai Penchala, terhadap kes Tuan Zul ini. Masing-masing mursyid bekalkan perasaan yang sama, kerana terhubungnya roh dengan mursyid.
Perlu sangat kita ketahui lagi tentang roh ini, ia berbeza dengan nafsu. Roh itu kehendaknya ialah kebaikan, sedangkan nafsu mengajak kepada kejahatan. Bagaimana boleh tersesatnya fikiran Cikgu Hasyim Jaafar tentang perkara ini?! Apa niatnya mengatakan dan menuduh di tv, bahawa kata Bonda Ummu yang Rasulullah datang pegang betisnya? Ini kata-kata jahat! Roh itu bukan macam nafsu! Dia tidak berkehendak terhadap maksiat, lebih-lebih lagi berkaitan dengan roh Rasulullah. Sudahlah menuduh melulu, sedangkan wasilah tidak berkata begitu. Sebenarnya Cikgu Hasyim bukan menghina Bonda Wasilah, bahkan dia menghina Nabi! Boleh rosak iman Cikgu Hasyim kalau dia tidak bertaubat! Syaitan takkan menyerupai Rasulullah! Jahilnya! Sesatnya dan jahatnya fikiran yang dah rosak oleh yahudi dan sekular ini. Perlu kita ambil perhatian.
Roh tidak terikat dengan syariat lahir. Bila roh berada di dalam jasad lahir, barulah dia dibebankan dengan hukum, samada wajib, harus, sunat, makruh, atau haram. Selama ia berada di dalam jasad, selama itulah ia terikat dengan peraturan ini. Namun bila roh yang telah tepisah dengan jasad, ia tidak lagi terikat dengan syariat Tuhan ini. Seperti kisah di atas, seorang wanita yang bersalaman dengan baginda Nabi, ia tidak terikat dengan syariat dan tidak dijatuhkan hukum. Yang bersalaman itu adalah rohnya. Begitulah dalam hal Bonda Wasilah berhubung dengan Rasulullah. Dia bukan berhubung dengan jasad, tetapi dengan roh. Lebih-lebih lagi roh baginda datang adalah untuk memenangkan Islam. Ini satu berita gembira! Ini bukan kesesatan. Toriq ibnu Ziyad nak tawan Sepanyol, roh baginda datang memberi kekuatan. Habis kapal-kapalnya dibakar. Kalau ada yang mengatakan wasilah sesat kerana bertemu Rasulullah, Toriq bin Ziyad lagi sesat! Dia membakar kapal-kapalnya, sedangkan itu adalah harta atau aset Islam. Itu melibatkan nyawa dan nasib Islam di ketika itu, lagi besar!
Berdasarkan beberapa contoh di atas sedikit sebanyak kita boleh memahami bagaimana roh berperanan. Betapalah roh para Rasul, para Nabi, para wali dan sebagainya yang sudah tentu sangat aktif berhubung dengan umatnya atau pengikutnya. Bila kawasasan yang alat pemancarnya kuat, telefon yang canggih sudah tentu kuat menarik gelombang, maka sudah tentu suaranya jelas. Begitu jugalah dengan roh ini, bila roh mursyidnya yang kuat dan diterima oleh roh muridnya yang kuat, maka sudah tentu perhubungan dua hala lancar antara mursyid dan murid tersebut. Begitulah contoh kekuatan roh Bonda Ummu hinggakan boleh terhubung dengan Rasulullah.