ZAMAN IMAM MAHDI ADALAH ZAMAN TEKNOLOGI ROH MENUTUP JASAD.
Pada hari ini, huru hara, perperangan di mana-mana. Apa yang digambarkan oleh Rasulullah saw telah menjadi kenyataan. Umat Islam berperang sesama sendiri, musuh Islam dijadikan kawan, ulama-ulama diperangi. Perperangan yang tidak terhenti, seperti ribut yang tidak bermusim, bahkan berpanjangan. Ianya berlaku antara kerajaan dengan rakyatnya dan rakyat sesama sendiri. Perperangan antara kerajaan Syiria dan rakyatnya, begitu juga krisis dan kemelut sedang bergolak di Iraq, di Mesir di Mali, Somalia, bahkan semua negara negara Arab tidak terkecuali. Terkini sedang melarat ke Arab Saudi. Penanda dari Kerajaan Ajaib tentang kedatangan pemimpin penyelamat itu, dia sudah sangat hampir. Jelas semua orang sedang merindukan penyelamat.
Hanya pemimpin yang Tuhan datangkan sahaja yang mampu menangani kemelut yang sedang berlaku di dunia hari ini.
Zaman Imam Mahdi as, akan mempunyai 'Teknologi Roh Menutup Jasad', bukan seperti teknologi macam sekarang. Sebelum ini pernah Bonda Ummu berkata tentang hal ini, hal RSA punyai 'Teknologi Roh Menutup Jasad'. Bagi yang berlurus hati akan terima sahaja tanpa banyak soal dan akan direzkikan pengalaman mengenainya.
Ia adalah teknologi yang Allah berikan hanya kepada orang yang bertaqwa. Mengimbau kembali perjuangan Abuya di awal 70an, Abuya kerap kuliahkan hadis-hadis tentang akhir zaman. Ketika itu belum ada iPad atau kemudahan alat-alat IT seperti sekarang. Hanya pen dan pensil serta kertas. Itupun bukan seperti pen dan kertas sekarang. Bagi membantu hafalan maka ditulis di manila kad dan ditampal pada dinding-dinding. Maka penuhlah di dinding rumah Abuya dengan carta dan hadis-hadis akhir zaman.
Mengenai Teknologi Roh Menutup Jasad ini, Abuya kata ia ibarat burung di dalam sangkar. Sabda Nabi saw:
”الدنيا شجن المؤمنين“
“Dunia itu penjara bagi orang mukmin”
Ertinya, ia ibarat seekor burung yang dikurung di dalam sangkar. Sangkar yang dimaksudkan ini ialah jasad. Badan yang roh diletakkan di dalamnya. Bilamana roh berada di dalam jasad, maka ia terikat dengat peraturan dan disiplin yang telah disyariatkan. Namun bagi orang yang bertaqwa, bila roh telah mencapai makam yang lebih tinggi, diibaratkan seperti burung yang mampu terbangkan sangkarnya. Jadi tak hairanlah bilamana mendengar kisah-kisah orang soleh, mereka boleh berada di beberapa tempat pada masa yang sama. Kerana roh mereka sudah menguasai jasad.
Abuya pernah sampaikan kepada kita, perkara yang tidak logik akan terjadi dan berlaku dengan nyata. Ketika zaman Imam Mahdi, ia adalah kemuncak teknologi roh dan material. Di zaman itu, kita diberi subsidi iman dan subsidi melawan hawa nafsu kerana berkat beliau.
Ketika itu pergerakan dan perjalanan perjuangan kita dibantu dengan karomah Imam Mahdi. Pada masa itu, berjalan atau bergerak bukan dengan cara sekarang. Ia berlaku dengan faktor bersandar kepada karomah. Dengan berkat amalan yang diberikan Sayyidi kepada kita, akan berlaku pengulangan sejarah, seperti berjalan di atas air, bukan dengan kaki sendiri sahaja bahkan dengan berkuda. Akan berlaku pengulangan sejarah yang terjadi kepada tentera Muhammad Al-Fateh, yang mampu mengangkat kapal hanya dengan tangan dan kaki sahaja. Ini semua terjadi bilamana roh manusia mencapai makam yang istimewa di sisi Allah.
Bahkan, kata baginda saw, tentera Imam Mahdi makanannya adalah zikir!
Sekarang ini kita hanya bersandar dengan usaha lahir, yang sangat terhad. Sabda Nabi lagi, bumi akan dilipat-lipatkan untuk kemudahan Imam Mahdi dan orang-orangnya. Perjalanan yang jauh menjadi dekat, kerana At-Thoyulardhi (الطي الأرض) yang bermakna bumi dilipatkan. Jasad kita ketika ini terikat dengan bumi, tak dapat melawan graviti. Ini kerana roh masih diperingkat muslim awam, iman cukup makan. Namun kepada mereka yang dikurniakan roh yang hebat ini, bukan sahaja tidak terikat dengan tempat, malah masa juga boleh dilaluinya, samada ke depan atau masa silam.
Pernah berlaku kepada Imam Syafie, menunjukkan betapa beliau bukan orang biasa-biasa. Dia telah menyelamatkan ibunya yang ketika itu ibunya belum pun berkahwin bahkan masih remaja. Ini telah tercatat dalam sejarah. Berlaku juga kepada sahabat dan para salafussoleh akan hal-hal yang luar biasa ini.
"Teknologi ini sangat berkait dengan insaniah manusia."
Bila nafsu, ego, dan maksiat menguasai, maka roh tak mampu mengusai teknologi ini. Hati-hati yang telah disucikan dan dibersihkan, akan membentuk roh yang cukup kuat. Apa yang Tuhan berikan ini adalah satu keperluan bagi orang bertaqwa. Seperti yang berlaku kepada para sahabat, bila iman sudah utuh, fizikal disiksa dengan sebegitu dahsyat tapi tidak memberi kesan kepada hati mereka. Bahkan semakin kuat keyakinan mereka.
Roh yang telah disucikan, ia tidak terikat dengan dunia. Maka berlakulah Khawarikul Adah kepada mereka. Bantuan Allah yang berlaku adalah diluar lojik akal. Akan berulanglah sejarah Saidina Omar dan Sariah yang berhubung dari jarak jauh. Seorang di Madinah dan seorang lagi di Palestin, namun tetap boleh berkomunikasi satu sama lain. Akan berlakulah seperti yang terjadi ketika para sahabat membuka Mesir, dengan takbir tiga kali sahaja Mesir menyerah diri kepada Islam! Begitulah dalam hal-hal lain, apa yang diperlukan akan dibantu secara luar biasa atau Khawarikul Adah.
Inilah teknologi para wali. Ini adalah penjelasan dalam tingkatan paling rendah dari Teknonogi Roh Menutup Jasad ini. Moga bertambah lagi khazanah ilmu kita supaya makin kuat lagi berjuang demi kebangkitan Islam ke dua ini.