BERNIAGA DAN BERJUANG KAEDAH MURSYID.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَارَةٍ تُنجِيكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ
Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? As-Saf: 10

تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). As-Saf: 11

يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga " Adn ". Itulah kemenangan yang besar. As-Saf: 12

وَأُخْرَىٰ تُحِبُّونَهَا ۖ نَصْرٌ مِّنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ ۗ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ
Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. As-Saf: 13


Menurut Abuya; dalam Islam, berekonomi dan berniaga bukan semata-mata untuk mencari duit dan untung. Kalau duit dan untunglah matlamatnya pasti akan ada rebutan. Krisis dan pergaduhan pasti tidak dapat dielakkan. Ekonomi dan perniagaan Islam adalah berteraskan kasih sayang. 


Berniaga dengan Allah bermodalkan tiga perkara. Pertama, modalnya ialah beriman dengan Allah. Modal ke dua ialah beriman dengan Rasul S.A.W. Modal ke tiga pula ialah berjuang pada jalan Allah dengan harta dan jiwa raga. Sebagai balasannya, Tuhan berikan empat ganjaran. Dua di dunia dan dua lagi di akhirat.

Ganjaran di dunia.
1. Bantuan Allah di dunia
2. Kemenangan di dunia

Ganjaran di akhirat.
3. Keampunan daripada Allah
4. Dimasukkan ke dalam syurga-Nya.

Seperti juga ibadah-ibadah yang lain, matlamat berekonomi adalah untuk mendapatkan Tuhan dan untuk mendapatkan keredhaan Tuhan , bukan untuk mendapatkan duit dan keuntungan material. Kalau duit dan keuntungan material-lah yang menjadi matlamat dalam berekonomi, maka ia tidak boleh dan tidak layak dikatakan sebagai ibadah. Ia terkeluar dari syarat-syarat dan konsep ibadah. Ia tidak akan sampai kepada Tuhan. Tuhan juga tidak akan menerima usaha ekonomi atau perniagaan kita itu sebagai satu ibadah atau pengabdian diri kepada-Nya. Kerana ibadah itu adalah apa-apa kebaikan yang kita buat dengan diniatkan kerana Allah. Allah adalah matlamat ibadah.

Perniagaan dalam Islam, atau berekonomi menurut Islam, atau lebih mudah lagi kita sebut, berjuang menurut Islam adalah seperti ayat-ayat Quran di atas. Perniagaan atau perjuangan yang bermodalkan Allah dan Rasul, bukan duit atau selainnya. Malah, sebagai ganjarannya, diampunkan dosa, dan dimasukkan ke dalam syurga yang kekal abadi.

Jaminan dari Allah lagi, jika berniaga pada jalan Allah di dunia lagi diberikan ganjaran; pertolongan dari-Nya dan kemenangan yang cepat. Pertolongan dari Allah ini selain dibantu dalam urusan kehidupan harian, yang lebih utama lagi dibantu dan dimudahkan dalam urusan membaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah, kerana perniagaan yang sedang kita lakukan ini ialah beriman dengan Allah dan Rasul dan berjuang pada jalannya.

Bantuan atau pertolongan ini, diberikan kepada mereka yang memenuhi dan mencukupkan syaratnya. Rezki makan minum dan kehidupan dijamin oleh Allah sendiri bilamana hamba-Nya mahu beriman dan berjuang dengan-Nya. Ini adalah jaminan dari Allah.

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا
"dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya)" At-Talaq: 2


وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ
"Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya (tidak terduga). Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)." At-Talaq: 3

Allah adalah sebaik-baik penjamin bagi orang bertaqwa, dan orang yang bertaqwa itu adalah yang sangat menjaga hubungan dengan Allah malah cukup menjaga syariat-Nya pula. Cukup dari ayat-ayat di atas, yang selalu dikongsikan dan diingatkan Abuya kepada kita bahawa Allah-lah yang bagi makan minum kepada kita, walaupun ada hamba-hambaNya menderhakainya. Apatah lagi kepada orang bertaqwa, rezki untuk mereka datang dari sumber yang tak terduga.

Jadi, mana boleh kita katakan dalam berjuang kita perlukan selain Allah untuk menolong kita. Contoh, ada orang kata duit adalah keperluan zaman sekarang. Jadi duit adalah senjata dan keperluan dalam perjuangan, selari dengan peredaran zaman. Ini tidak betul! Seolah-olah kita kata Allah tak boleh tolong tanpa duit, atau bantuan Allah itu mesti dengan duit. Apakah duit boleh menghidupkan dan mematikan atau Allah yang menghidupkan dan mematikan?

Alasan duit sebagai keperluan hingga melanggar syariat, ini sangatlah tertolak dari segi hukum syarak. Kita beri alasan, ada bangsa atau negara jika nak berurusan dengan mereka duit adalah yang utama. Mana pergi dan hilangnya tauhid kita?! Hingga ada yang sanggup menjual nama Allah dan Rasul dalam menghalalkan matlamatnya, bahkan terluncur di mulut mengatakan Rasul pun melakukan rasuah dalam berjuang. Ini sudah melampau!

Kita ulang balik kata-kata Abuya; "Asas ekonomi dalam Islam bukan wang atau duit atau aset, bahan mentah atau kekayaan semula jadi. Asas ekonomi dalam Islam adalah tenaga manusia. Ini kerana sebab yang hendak menggerakkan ekonomi itu adalah manusia." 

Ada hadis yang maksudnya:
"Orang yang berekonomi mengikut syariat itu satu jihad seperti berjihad fisabilillah."
Dalam berjuang dan berniaga, Islam menyuruh dan menuntut umatnya untuk menjaga halal dan haram. Ini adalah syariat. Manakala dalam perniagaan dan jual beli pula peniaga dapat membantu dengan menyedekahkan barangan yang tidak habis dijual kepada golongan fakir miskin dan ini merupakan khidmat yang besar.

Ini semua adalah kehendak syariat Islam. Memang manusia diutuskan ke dunia ini untuk berkhidmat. Iaitu khidmat kepada Tuhan dan khidmat kepada manusia. Dengan Tuhan peniaga berkhidmat melalui ibadah manakala dengan manusia peniaga berkhidmat sebahagian besarnya melalui ekonomi.

Kalau dalam berjuang telah melanggar syariat Allah, apatah lagi menghalalkannya maka tidak ada bantuan Allah dalam urusan perjuangan atau perniagaan yang dilakukan. Keluarlah duit sebanyak mana pun tetapi semua urusan disusah-susahkan oleh Allah. Tuhan tidak akan biarkan orang yang mengatakan berjuang di jalan Allah melanggar syariat sesuka hatinya. Sebab itu orang Islam yang mahu berjuang tetapi syariat diabaikan, tiada bantuan padanya. Lainlah orang kafir, yang memang matlamatnya bukan Tuhan jadi Tuhan akan berilah apa yang diusahakannya samada caranya halal atau tidak, kerana di akhirat ada tempat khas dan balasan yang pedih bagi mereka.

Sepanjang perjuangan Abuya, tidak pernah beliau melanggar syariat dalam berjuang apatah lagi meminta kita melanggar syariat. Jadi tidak ada alasan yang menghalalkan cara demi tercapainya matlamat dan cita-cita perjuangan.

Perlu diingatkan semula, orang yang bertaqwa itu diberi jalan keluar dari masalahnya. Malah keperluan dan makan minumnya pun Allah yang tanggung, kerana dia telah menyerahkan hidup matinya untuk Allah dan perjuangkan syariatnya. Jika ada yang mengatakan terpaksa melanggar syariat dalam berjuang, maka dia bukan orang bertaqwa dan sangat jauhlah dari syarat dan tawaran Ikhwan dan Asoib itu. Kerana Ikhwan dan Asoib itu sangat berpegang kepada prinsip. Prinsip mereka adalah apa yang disyariatkan oleh Allah.

Ikhwan dan Asoib bukan bodoh-bodoh, kutip tepi jalan. Mereka adalah pilihan atas pilihan. Dalam ramai-ramai yang punya pegangan ilmu agama, Ikhwan dan Asoib ini adalah yang mengamalkannya bukan sekadar menghafal dan punya ilmu sahaja. Jadi, kalau syariat Allah masih tidak difahami malah diambil ringan, bukanlah Ikhwan dan Asoib-lah jawabnya. Kalau begitu, jauh lagilah nak berlakunya bantuan dan kemenangan dari Allah jika Allah dan syariatnya pun diambil ringan sewenang-wenangnya.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?