SABAR DALAM BERJUANG.
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;" Al-Baqarah : 45
Sejarah menyaksikan, sesuatu perjuangan atau kemenangan yang mahu diberikan samada kepada pejuang kebenaran, orang Islam, mahupun orang kafir dan zalim; mereka perlu bersabar demi mencapai apa yang ingin dihajati.
Sejarah kebangkitan Islam sendiri yang bermula dengan Nabi Muhammad S.A.W. juga mengajar kepada kita kemenangan yang diberi ditempuhi dengan penuh kesabaran. Bahkan banyak perkara besar yang berlaku selepas kewafatan baginda S.A.W. Para sahabat yang berjuang bersama Rasulullah juga tidak gopoh dan sangat bersabar dalam berjuang bersama Nabi S.A.W. Bukan semua yang baginda sampaikan dapat ditempuhi oleh kesemua mereka. Ada yang berlaku puluhan tahun selepas kewafatan baginda, bahkan ada juga yang berlaku ratusan tahun selepas ucapan Nabi S.A.W.
Dalam berjuang, kemenangan yang ingin diperolehi juga jangan terburu-buru mendapatkannya. Seorang pejuang kebenaran sangat berdisplin dan sabar dalam tindakannya. Kita kiaskan seperti menanam buah durian kampung. Orang yang menanam buah durian kampung bukan dia yang akan makan hasilnya. Generasi anaknya juga tidak dapat menikmatinya. Dari generasi cucu dan seterusnyalah yang menikmati hasil tanaman durian kampung ini. Itulah pengorbanan yang dilalui oleh penanam durian kampung, lebih-lebih lagilah pejuang kebenaran kenalah sabar dan tidak boleh terburu-buru.
Kita belajar dari sejarah Turki. Siapa tidak kenal Mustafa Kamal Attarturk. Pada 23 Mac 1924 empayar Usmaniah jatuh ditangannya dan Turki berubah kepada sebuah negara republik. Dalam masa beberapa tahun sahaja Turki ditangannya berubah menjadi negara sekular!
Tahukah kita berapa lama yang yahudi persiapkan untuk melahirkan Kamal Attarturk ini? Mereka memakan masa ratusan tahun bagi melahirkan satu zuriat yang cukup rosak Islamnya dalam rancangan merosakkan Islam di Turki. 200 tahun bukanlah satu tempoh yang sekejap. Namun bagi yang bercita-cita dan berjiwa besar samada untuk kebenaran atau kebatilan, mereka sangat bersabar dalam perjuangannya! Kalau yahudi pun boleh bersabar ratusan tahun untuk rancangan jahat mereka, mengapa kita umat Islam yang nak perjuangkan kebenaran tidak boleh sabar pula?
Kita berjuang bukan untuk generasi kita sahaja. Kita diajar untuk persiapkan generasi ke generasi seterusnya. Islam yang nak diperjuangkan bukan untuk kita sahaja, ia akan berterusan ke peringkat anak cucu kita. Kalau kita hanya fikir hasil perjuangan untuk kita sahaja, jelaslah kita pejuang yang ada kepentingan!
Belajarlah dari sejarah yang sudah terbukti dan sememangnya terbukti dalam perjuangan kebenaran ini. Para Rasul, para sahabat, dan pejuang kebenaran sebelum kita sangatlah sabar dalam perjuangannya. Berkat kesabaran merekalah Islam sampai kepada kita. Namun mengapa kita pula tidak boleh sabar agar perjuangan Islam ini boleh berterusan ke generasi dan keturunan seterusnya?
Pejuang yang ikhlas sangat jujur dengan hatinya, sangat sabar dalam perjuangannya. Kita contohilah para sahabat seperti Abu Ayub Al-Ansori dan Sayyidina Ali dalam perjuangan mereka membuka Turki. Kejayaan dan kemenangan lahir tidak berlaku di tangan mereka. Ia berlaku tujuh ratus tahun selepasnya di tangan Muhammad Al-Fateh. Namun mereka berjaya teruskan perjuangan kebenaran hingga ke generasi anak cucu mereka. Islam sudah semestinya menang dan terus menang. Ia akan terjadi di tangan pejuang kebenaran yang berjuang dengan kesabaran.