WASILAH BUKAN KHALIFAH.

Nabi SAW bersabda: Kamu sekelian adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan tentang kepimpinannya. Seorang penguasa adalah pemimpin, seorang suami adalah pemimpin ke atas anggota keluarganya. Kamu sekelian adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab atas kepimpinannya. (Riwayat Bukhari)

Dalam Islam, setiap orang adalah pemimpin. Sebelum memimpin keluarga atau masyarakat, mereka perlu menjadi pemimpin kepada diri sendiri. Dalam diri kita ada unsur-unsur yang membuktikan bahawa kita adalah pemimpin untuk diri kita sendiri. Dalam berkeluarga pula, suami adalah pemimpin bagi isterinya manakala ayah pemimpin bagi keluarganya dan begitulah seterusnya. Tanggungjawab ini akan ditanya di akhirat kelak.

Mari kita lihat satu disiplin dan syariat Tuhan yang sangat cantik dan indah yang berlaku dalam sembahyang. Dalam Islam, kehidupan bermula dari sembahyang. Di alam barzakh nanti pertama dan utama yang akan ditanya ialah tentang sembahyang. Kalau sembahyang gagal maka yang lain tidak akan diterima!

Dalam sembahyang berjemaah telah disusun dengan cantik kedudukan imam dan makmum, peranan imam dan makmum, dan siapa yang layak jadi imam kepada jemaah sembahyangnya. Begitu cantik sekali susunan, peranan, dan kelayakan yang telah disyariatkan ini. Jadi, kalau ada yang ingin merubahnya akan nampak pincang, hodoh, dan sudah tentu melanggar syariat pula.

Peranan imam sudah pasti diberikan kepada kaum lelaki. Imam pula dipilih daripada lelaki yang cukup syaratnya, seperti jelas bacaannya dan tidak cacat anggota lahirnya. Kedudukan imam sudah tentu lebih ke depan berbanding makmum. Malah kedudukan makmum juga sangat tersusun dan cantik.

Mari kita lihat susunan imam dan makmum ini. Kedudukan paling depan ialah imam, di belakangnya makmum lelaki dewasa, seterusnya di belakang lelaki dewasa kanak-kanak lelaki kemudian di belakang saf kanak-kanak lelaki adalah kanak-kanak perempuan, dan di belakang sekali ialah saf kaum wanita.

Jika lelaki dewasa tiada untuk dijadikan imam, budak lelaki boleh menggantikan peranan imam dalam sembahyang itu. Wanita tetaplah tidak boleh menjadi imam kepada kaum lelaki sekalipun baik bacaannya dan sedap suaranya. Wanita boleh menjadi imam hanya kepada kaum mereka sahaja. Malah jika mahu melaungkan azan sekalipun wanita tidak sama dengan lelaki. Wanita tidak boleh azan dengan suara yang kuat, dan azannya itu hanya dikalangan mereka sahaja dan ini pun jarang dilakukan. Biasanya mereka hanya melakukan bacaan qamat sahaja sebelum bersembahyang.

Bayangkan kalau perempuan menjadi imam kepada lelaki dalam sembahyang, sangat aneh pemandangan dan bertentangan pula dengan syariat Tuhan!

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa." Al-Furqan : 74

Dalam ayat di atas juga, Allah mengajar kepada kita selain mendoakan anak dan isteri (pengikut kita) malah kita diajar untuk berdoa dijadikan kita sebagai pemimpin bagi orang bertaqwa. Ertinya, dalam kelompok orang bertaqwa sekalipun pemimpinnya adalah lelaki! Orang bertaqwa ini sangat faham akan syariat Allah Taala.

Setelah kita faham peranan imam dalam sembahyang, bila dibawa kepada kehidupan harian jelaslah peranan pemimpin, kedudukannya, dan kelayakannya. Malah kita pun diajar cara menegur kesalahan pemimpin dalam sembahyang tadi. Kalau imam terlupa rukun sembahyang atau tertambah rukun, tidak boleh menegur dengan melulu bahkan ada cara menegurnya. Jika tidak kena caranya tidak sah pula sembahyang makmum tadi.

Cara makmum lelaki menegur kesilapan imam ialah menyebut perkataan "Subhanallah" dengan suara yang boleh didengari imam.

Manakala makmum wanita boleh menegur imam yang terlupa walaupun terdapat makmum lelaki tetapi mereka pun dalam keadaan lupa, dengan cara menepuk tangan iaitu dengan mengangkat telapak tangan kanan ke atas belakang tangan kiri (ketika berdiri) atau menepuk peha (ketika duduk) dengan kadar imam mendengar tepukan tersebut. Makmum wanita haram menegur imamnya yang salah bacaan dengan suaranya! Ini akan mengakibatkan solatnya terbatal. Sekiranya tepukan tersebut terlalu kuat, juga akan membatalkan solat wanita tadi.
Begitu cantik sekali ajaran Islam ini. Jika ada yang merubahnya sesuka hati hukumnya berdosa malah hasilnya merosakkan semua!

PERANAN WASILAH.

Perkataan wasilah bererti penghubung, perantara, atau orang tengah. Dalam doa selepas azan yang kita selalu baca, Nabi Muhammad S.A.W. adalah wasilah kita dengan Tuhan. Dalam bertarekat, guru mursyid adalah wasilah kita kepada Allah dan Rasulnya. Ini adalah pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ulama-ulama Ahli Sunnah telah pun menjelaskan hal ini dalam kitab-kitab mereka antaranya seperti Imam Nasaie, Ibnu Majah, Imam Tarmizi dan Imam Hambali.

Bila dikatakan wasilah, ia bererti orang tengah atau perantara atau penghubung. Wasilah bukan bererti pemimpin. Mari kita lihat peranan Siti Aisyah selaku Ummul Mukminin ketika sebelum dan selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W.

Siti Aisyah menjadi rujukan ilmu kepada para sahabat termasuk khulafaur rasyidin sebelum dan selepas kewafatan Nabi S.A.W. Beliau memiliki kecerdikan dan kecerdasan yang luar biasa sehingga mampu menyimpan khazanah ilmu Rasulullah S.A.W. lebih dari orang lain. Ini diakui anak saudaranya Sayyidina Urwah bin Zubair Al-Awwam R.A. Kata Urwah, "Aku tidak pernah melihat seorang yang mahir dalam ilmu feqah, ilmu perubatan, dan syair melainkan pada Aisyah".

Namun sehebat itu sekalipun yang dianugerahkan kepadanya, Siti Aisyah tidak mentadbir kehidupan para sahabat, tidak mencatur dan mengarah hal ehwal kepimpinan dan pentadbiran, samada perlantikan para pemimpin, urusan pengadilan, ketenteraan, kewangan, dan lain-lain yang melibatkan umum (lelaki dan wanita). Urusan kepimpinan dan pentadbiran itu dilakukan oleh baginda S.A.W. dan khulafaur rasyidin. Sedangkan Siti Aisyah hanyalah RUJUKAN ILMU atau GURU bukan PEMIMPIN atau KHALIFAH.

Malah, dalam kehidupan madu-madunya dan keluarga Nabi S.A.W. sendiri pun Siti Aisyah dicatur bukan dia mencatur. Dia ditadbir bukan mentadbir. Namun dia dijadikan rujukan ilmu kerana banyak masanya dengan Nabi S.A.W. dan kerana banyak dia menghafal hadis Nabi dan faham kehendak dan hasrat Nabi S.A.W. Tapi bukan dia yang putuskan sesuatu keputusan atau menjatuhkan sebarang hukuman.

Begitulah erti dan kefahaman yang benar tentang WASILAH dalam Islam. WASILAH BUKAN PEMIMPIN!

Dalam jemaah Abuya, kita direzkikan mempunyai kesamaan dengan jemaah Rasulullah, iaitu Abuya sebagai pemimpin mempuyai isteri yang mampu menyimpan khazanah ilmu Abuya sepertimana Siti Aisyah menyimpan ilmu Rasulullah S.A.W. Oleh itu saya sangatlah bersetuju jika dia menjadi wasilah kepada Abuya, yakni sebagai penyimpan khazanah ilmu Abuya. Sementalahan pula Abuya memang telah mendidik dan melatihnya sekian lama untuk memainkan peranan wasilah itu. Sekali lagi perlu diingat Abuya mahukan dia sebagai WASILAH bukan sebagai KHALIFAH.

Kalaulah Siti Aisyah sendiri pun faham kedudukan dan peranannya, mengapa ada orang yang ingin melakukan semua urusan? Dialah yang nak mentadbir, dialah memimpin, dialah mencatur, dialah segalanya! Islam tidak mengajar begitu. Islam memuliakan wanita dan peranannya. Kerana memuliakan wanitalah tidak ditempatkan wanita untuk memimpin. Bukan itu tujuan wanita diciptakan.

Marilah kita belajar dari sejarah. Kita tidak akan rugi sedikit pun malah sesaat pun tak rugi jika kita sabar dengan setiap apa yang disyariatkan Allah kepada kita. Tuhan tidak menzalimi hamba-Nya namun kitalah selaku hamba yang menzalimi satu sama lain.
Sejarah mengajar kepada kita bahawa jika ada perempuan yang mahu menjadi pemimpin, sekalipun dalam Islam hasilnya adalah kerosakan. Kita rujuk sejarah Islam di Andalusia, Sepanyol.

Kisah seorang wanita dilantik menjadi panglima ketika melawan tentera kristian. Mereka memenangi perperangan namun apa yang berlaku panglima wanita itu jatuh hati dengan tawanannya iaitu panglima kristian yang tampan. Dia mengajak lelaki itu masuk Islam agar boleh berkahwin dengannya kerana keinginannya yang kuat kepada lelaki itu. Namun ianya ditolak, dan kerana perasaannya tidak boleh dikawal lagi, wanita itu yang murtad dan berkahwin dengan ketua tentera kristian itu. Inilah kekalahan yang besar dan sangat memalukan, malah merugikan Islam! Belajarlah dari sejarah. Jangan sampai ia berulang lagi!

Islam memuliakan peranan dan kedudukan wanita itu sesuai dengan syariat dan tempatnya. Janganlah dirosakkan syariat Tuhan yang indah ini, nanti hasilnya hanya merugikan Islam sahaja dan tidak mendatangkan keuntungan pada sesiapa pun.

Namun jika ada yang berdegil tunggulah hukuman dari Tuhan dan akibat yang akan ditanggung mereka yang melanggar syariat Allah sesuka hati ini. Islam pasti menang tetapi di tangan mereka yang tegas dengan syariat Tuhannya!

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?