TEKNIK MUJADDID DAN THOIFAH YANG MENJAGA BARA API.

“ Sentiasa akan ada satu toifah dari kalangan umatku yang sanggup menzahirkan kebenaran. Mereka tidak dapat dirosakkan (dikalahkan) oleh orang-orang yang menentangnya, hinggalah datang perintah Allah ( mati syahid atau tibanya hari kiamat)." Hadis Nabi S.A.W. 

Hadis di atas adalah salah satu hadis yang amat popular di kalangan jemaah tarekat atau pejuang-pejuang kebenaran. Malah Abuya juga selalu mengingatkan kita dengan hadis di atas. Kata Abuya, hadis di atas selaku kayu ukur kepada pejuang-pejuang kebenaran dalam menyuluh diri dan perjuangannya.

Kata Abuya, thoifah itu ialah kelompok kecil yang menjaga bara api, hinggalah tiba seorang pemimpin yang dijanjikan yang akan besarkan api nyalaan hingga menerangi ke seluruh dunia. Ciri-ciri thoifah kebenaran yang dijanjikan adalah seperti dalam hadis di atas. Abuya kata lagi, menzahirkan kebenaran itu selain melahirkan model hidup Islam, mereka sangat menjaga syariat dan berpegang teguh kepada prinsip.

Sekiranya syariat sudah diabaikan atau dicuaikan, kena koreksi semula apakah kita ini masih jemaah kebenaran atau tidak. Menurut Abuya, yang dijanjikan itu adalah pemimpinnya, ahli-ahli atau pengikutnya hanyalah diberi tawaran dan peluang. Kalau syariat telah terabai dan dicuaikan, apatah lagi syariat diambil ringan, ini bukanlah ciri-ciri kebenaran. Seringkali Abuya pesan dan ingatkan, boleh sahaja Tuhan datangkan satu kelompok yang baru akan menggantikan.

Firman Allah Taala yang maksudnya: 
“Wahai orang yang beriman, sesiapa di kalangan kamu yang menyimpang dari agamanya akan Allah datangkan satu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka mencintai-Nya.” (Al Maidah: 54)

Jelas dari ayat di atas, Allah sendiri mengingatkan kepada hamba-hambaNya bahawa akan digantikan siapa yang telah menyimpang dari Allah dan syariat-Nya dengan kaum atau bangsa yang mencintai dan dicintai Allah Taala, juga mereka cinta kepada syariat-Nya.

Mari kita imbau kembali pesanan, teguran, dan kata-kata mursyid kita, Abuya dalam pandangan dan nasihatnya menurut apa yang telah diperjuangkannya; supaya ia menjadi kayu pengukur kepada kita, apakah kita ini meneruskan perjuangannya atau kita meneruskan agenda kita dan melupakan perjuangan mursyid kita yang kita sayangi ini.

“ Tujuan saya (Abuya) memberi pandangan ini supaya kita saling menasihati kepada kebenaran. Supaya kebenaran tertegak dan yang palsu lenyap. Saya tidak bermaksud menghina dan jauh sekali mencari musuh. Kiranya Hujah saya ini diragui dan tidak kuat, saya pohon hujah balas yang lebih mantap, supaya kita dapat melihat kebenaran. Kerana itulah saya cubakan pentadbiran secara politik Islam di dalam keluarga saya terlebih dahulu. Kalau berkesan, pada saya sudah ada hujah dan dapat membuktikannya. Janganlah dihadapi pandangan saya ini dengan permusuhan melulu oleh sentimen fanatik kepada puak. Ilmu mesti dihadapi dengan ilmu. Jangan ilmu dihadapi dengan penghinaan, kemarahan dan dendam. Pemburu kebenaran tidak takut pada kebenaran. Walaupun dia terpukul dengan kebenaran itu. Sebab kebenaran tidak memecahkan akal dan hati insan. Kecuali yang tidak mahu menerima kebenaran lagi.” - Abuya Imam Asyaari Muhammad Attamimi.

Kata Abuya lagi, bagi pejuang kebenaran, selain soal ibadah asas (hubungan dengan Allah) dititik beratkan, hubungan dengan manusia juga perlu dijaga dan diambil berat. Menurut Abuya lagi dalam pesanannya ini, soal ukhuwah sangat perlu dijaga dan diambil kira. Mana boleh pejuang kebenaran atas nama Allah dan Rasul tidak berukhuwah, apatah lagi bila pejuang itu sendiri menganjurkan perpecahan! Ukhuwah ini adalah kekuatan sesebuah keluarga, jemaah atau persatuan atau negara, apatah lagi dalam jemaah kebenaran!

Faktor kefahaman dan keselarasan juga sangat diutamakan. Asas keselarasan ini adalah Quran dan Sunnah, yang merangkumi Hadis juga. Jika sudah tidak ada keselarasan dan kefahaman mengikut Quran dan Hadis serta Sunnah, bukanlah kebenaran lagi diperjuangkan. Kerana Quran dan Hadis (Sunnah) adalah garis panduan kepada jemaah kebenaran, lebih-lebih lagi jemaah kebenaran yang dijanjikan. 

Fikiran mesti satu, hasil menerima ilmu dari sumber yang satu iaitu Al-Quran dan Hadis, yang diberi minda oleh pemimpin untuk menjadi pegangan bersama demi perpaduan. Fikiran yang bercelaru dan bersimpang-siur, tidak memberi hasil apa-apa melainkan akan menimbulkan perbalahan dan perselisihan faham. Dalam negeri atau negara, kalau keadaan ini berlaku, ia bukan membawa pembangunan sistem Islam tetapi membawa kepada kucar-kacir dan kecelaruan, yang akhirnya akan mengelirukan rakyat dan susah bagi orang lain untuk menirunya.

Orang yang fanatik dengan Allah dan Rasul, barulah dapat melaksanakan hukum dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Apabila berjaya membangunkan hukum Allah dan Sunnah Rasulullah, barulah nampak syiar Islam. Lahirnya syiar itu adalah daripada sifat taqwa. Firman Allah Taala:
 ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

“Barang siapa yang membesarkan syiar Allah, sesungguhnya itu datang dari hati yang bertaqwa. (Al Haj: 32)

Orang yang sayang dan cintakan Allah dan Rasul, sanggup meniru cara hidup Rasul sekalipun orang bukan Islam benci atau kawan lari. Tetapi kalau hati tidak kasih, walaupun ada kuasa memerintah negara dan bebas menegakkan hukum Tuhan dan Sunnah Nabi, namun manusia tetap enggan melakukannya. Seperti orang ada lori, tahu pandu lori tetapi kalau hati tidak suka naik lori, tetap dia tidak naik juga.

Identiti Islam atau syiar Islam itu sangat penting dalam perjuangan. Ia menjadi lambang yang punya daya untuk menarik manusia kepada cara hidup Islam. Ia juga menjadi benteng kepada musuh dari sikap pura-pura dan menyusahkan mereka untuk menyeludup masuk ke dalam jemaah dan bertindak bagaikan gunting dalam lipatan. Ia membezakan parti Islam dengan parti sekular. Ia menjadi tekanan dan saingan pada cara hidup Barat. Dan berbagai-bagai lagi hikmahnya.

Tanpa identiti yang membezakan cara hidup pejuang Islam dengan orang yang tidak memperjuangkan Islam, menjadikan parti politik itu tidak ada kelebihan berbanding parti-parti yang tidak memperjuangkan Islam. Kalau cakap saja yang berbeza tetapi cara hidup sama saja dengan mereka, bahkan meniru pula cara hidup musuh, samalah dengan tin kosong yang orang tidak pandang dan yang tidak berharga. Berbunyi tetapi tidak berisi. Lagi kuat bunyi, lagi kurang isi. Hanya akan jadi mainan dan bahan perli orang. Sungguh, cara ini bersalahan sekali dengan kehendak Islam.

Menurut Abuya, terhadap individu atau kumpulan yang tidak sefahaman, seperjuangan atau lain gaya perjuangan, dituduh dan mudah dijatuhkan hukuman fasik, zalim, kafir, murtad dan lain-lain. Hukuman semberono dan melulu ini dibuat menggunakan ayat AI-Quran dan Hadis tanpa takut dan malu dengan Allah, bahkan sanggup menjual nama Allah dan Rasul juga.

Hukuman atau menghukum jadi seperti mainan bibir, untuk tujuan menghina dan memalukan orang lain serta menarik orang kepada dirinya sendiri. Penuh bangga kerana merasa diri sudah selamat. Sedangkan seorang hamba Allah sepatutnya amat menderita bilamana terpaksa menjatuhkan hukuman. Takut kalau-kalau tersilap hingga hukuman itu kembali menimpa muka sendiri dan Allah akan tempelak di Akhirat nanti. Sayidina Abu Bakar As Siddiq R.A., kalau dirasakan cakapnya sudah menyakiti hati orang Islam, lantas dia minta qisas atau mengadu pada Rasulullah S.A.W. supaya dia segera dihukum. Begitulah iman orang mukmin yang memperjuangkan hukum-hukum Allah; sangat takut dengan Allah. Kerana itu, mereka berhati-hati dalam menghukum.

Sikap mudah menuduh-nuduh dan menghina-hina dengan tidak menggunakan hujah yang benar dan terhormat, akan membuatkan orang benci dan lari dari kita. Hingga terjadilah perpecahan yang dahsyat hasil perjuangan kita itu. Dalam sebuah masjid, ada dua imam yang mengimami sembahyang dalam satu masa. Walhal perjuangan Islam bermaksud meramaikan dan menyatu padukan ahli jemaah di bawah satu imam dalam satu masjid. 

Inikah kebenaran? Lagi banyak berjuang, lagi umat Islam berpecah. Lagi banyak berjuang, lagi umat Islam berkrisis. Kalau begitu, apa bukti Islam yang diperjuangkan itu agama selamat, membawa keamanan sejagat dan keharmonian masyarakat? Ia hanya akan menambahkan masalah. Bahkan ia adalah punca masalah ini. Harapan sekarang hanya tertumpu kepada mursyid dan ajarannya yang penuh dengan hikmah dan kasih sayang.

Terhadap serangan musuh, orang yang katanya memperjuangkan Islam itu memberi respon penuh emosi, bukan dengan penuh bijaksana, matang dan strategik. Seperti orang melatah diusik, melompat-lompatlah ia dengan penuh aksi, geram, melulu dan tidak sabar hingga menyusahkan diri sendiri. Bila musuh tuduh perkara yang tidak sepatutnya, maka dengan geram dan gelisah, dibuatlah serangan balas yang kadang-kadang tersalah cakap, terlebih hukum, terlajak sikap hingga menampakkan kelemahan dan kekurangan dirinya. Yang cuba disorokkan selama ini akhirnya dia sendiri yang membukanya, bukan orang lain yang mengorek atau membukanya. Bila hati tidak dipandu, terserlah keburukan yang disorok selama ini.

Kata Abuya lagi, cara dan strategi perjuangan kebenaran tidak sama dengan perjuangan musuh. Dalam perang senjata, kita boleh terus menyerang tetapi berdisiplin dan tidak menzalim. Tetapi dalam perjuangan kebenaran, menarik simpati orang yang yakin cara itulah perjuangan, tentu tidak boleh gopoh dan main kasar. Kita kena berlembut, kalau boleh biar lebih lembut gigi dari lidah. Supaya orang tertarik dan tertawan dengan kita. Kita disuruh berakhlak. Itulah strategi namanya. Dan ia pula memang diperintah oleh Islam. Kerana ia adalah buah ibadah dan buah perjuangan. Apalah erti ibadah jika hasil dan natijahnya lebam orang dibuatnya.

Tetapi amatlah sayang jika pejuang kebenaran ini berkasar dengan orang. Mudah menyerang, mudah mengata-ngata, menuduh dan melempar tohmah tanpa usul periksa. Ini semua meramaikan musuh, bukan meramaikan kawan. Orang lari, bukan orang mendekati. Kuliah dan pengisian mereka panas, hanya berslogan, berpropaganda, menghasut dan membangkitkan perasaan marah. Lalu tercetuslah perasaan gelisah, tegang, benci-membenci, rasa permusuhan, dendam, dengki, buruk sangka, kata-mengata dan lain-lain lagi.

Punah segala kasih sayang, harmoni, kedamaian, bertolak ansur, maaf-bermaafan, perikemanusiaan, hormat-menghormati dan lain-lain sifat mulia dari umat Islam. Sedangkan Islam membawa segala kebaikan ini dan kerana inilah ia kelihatan indah, cantik dan dapat menawan hati manusia. Kalau itu semua tidak ada, di mana keindahan dan kecantikan Islam itu?

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?