BILA NAFSU DISEMBAH, ISLAM DILIHAT GANAS DAN TAK INDAH.
Firman Tuhan :
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepadaKu." Az- Zariat : 56
Setelah memahami bahwa tujuan manusia diciptakan adalah menyembah Allah, perlu kita pelajari bagaimana cara-cara manusia menyembah Allah. Dengan manusia menyembah Allah secara lengkap dan tepat, terbinalah kemajuan lahir dan batin manusia yang tidak terpisah. Dan Islam akan terlihat cantik dan indah.
Sebaliknya, orang yang beribadah tapi tidak tepat maka akan tergelincir untuk menyembah nafsunya sendiri. Yang terbina bukan akhlak mulia dan kemajuan tapi mazmumah dan kerosakan.
"Kita beribadah dengan tujuan menyembah Allah yang memang patut disembah. Jangan pula kita beribadah itu untuk menyembah nafsu kita dengan cara membina mazmumah." - ABUYA ASHAARI MUHAMMAD
Orang-orang yang beribadah menyembah nafsu itu, di dunia ini mungkin Allah izinkan berjaya, namun balasan jahannam Allah janjikan pada mereka.
وَمَن يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَىٰ وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّىٰ وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيرًا
"Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali."
Cara menyembah Allah ada 3 bahagian, iaitu:
1.) Ibadah yang asas : mempelajari, memahami, meyakini rukun iman, serta mempelajari, memahami dan melaksanakan rukun Islam.
2.) Ibadah fadhailul amal : Amalan-amalan yang utama seperti puasa Sunat, solat tahajud, sunat rawatib, membaca ayat-ayat tasbih, tahmid, tahlil, membaca solawat, dan lain-lain
3.) Ibadah yang umum, yang lebih luas, seluas dunia, yaitu ibadah yang mubah jadi ibadah asalkan menempuh lima syarat ibadah.
Lima syarat ibadah adalah seperti berikut:
1. Niat mesti betul
2. Perkara yang kita buat dibenarkan syariat
3. Pelaksanaan sesuai dengan syariat
4. Natijah (hasil) digunakan sesuai syariat
5. Jangan tertinggal ibadah yang asas.
Kalau ketiga tiga jenis ibadah dilaksanakan dengan tepat, cukup syarat rukunnya lahir dan batin, dapat membuahkan dua perkara besar: budi pekerti yang baik (khusnul khulq) dan kemajuan dunia yang indah dan cantik.
Buah ibadah ini adalah keperluan manusia. Sebab itulah Allah menilai ibadah manusia bukan atas dasar banyak tetapi sejauh mana memberi hasil, dapat membuahkan akhlak dan kemajuan. Sepatutnya makin banyak beribadah, makin halus akhlaknya dan makin banyak kemajuan yang dicetuskan untuk manusia. Itu yang disebut amal taqwa, amal soleh. Tetapi kalau ibadah banyak tapi membuahkan akhlak buruk, pasti dihukum di neraka.
Pernah Rasulullah SAW berkumpul bersama dengan para sahabat, kemudian Rasulullah berkata, saya memiliki seorang jiran wanita, dia berpuasa siang harinya dan di malam harinya solat tahajjud, tetetapi dia ahli neraka. Sahabat bertanya, bagaimana wanita itu ya Rasulullah, jawab baginda Rasulullah SAW, wanita itu selalu menyakiti jiran-jiran dengan lidahnya. (Tidak ada kebaikan lagi baginya) dia adalah ahli neraka. Kenapa? Sebab ibadah tidak berbuah. Jadi orang yang menyakiti orang lain, ibadahnya tidak melahirkan akhlak.
Sementara itu satu hari Rasulullah SAW bercerita di depan sahabat, tidak lama lagi akan datang seseorang di majlis ini, dia ahli syurga. Kalau Rasulullah SAW berkata, dia itu ahli surga, maka itu pasti ahli syurga. Jadi sahabat menunggu siapa yang akan datang. Tidak lama kemudian datang seseorang. Sahabat ramai yang tidak kenal padanya. Setelah kuliah, sahabat ada yang ingin memerhatikan, apa amalannya sampai Rasulullah sebut dia ahli syurga. Sahabat itu mengikuti sampai ke rumahnya dan meminta izin untuk bermalam. Sahabat ingin melihat apa amalannya sehingga Rasulullah sebut ahli syurga. Jadi setelah diikuti sepanjang malam, tidak ada yang istimewa, shalat sunat tidak dibuat, tahajud pun tidak dibuat. Setelah subuh sahabat bertanya, waktu kuliah semalam Rasulullah berkata, sebelum saudara datang, sebentar lagi akan datang seorang ahli syurga. Saya ingin tanya apa amalan saudara, sampai dapat dikatakan ahli syurga. Jawab orang itu, saya bukan saja tidak ada hasad dengki (iri hati) dengan orang, niat untuk hasad pun tidak ada. Jadi ibadah yang sedikit tapi berbuah.
Kalau begitu, sepatutnya semakin banyak umat Islam beribadah, maka semakin baik akhlaknya dan semakin banyaklah kemajuan umat Islam. Akhirnya umat Islam dapat berdikari tanpa bersandar nasib dengan tamadun orang kafir. Dan menjadi rujukan dan kesayangan manusia kerana akhlaknya mulia.
Justru itulah kalau kita fahami jika umat Islam benar-benar menyembah Allah, maka ajaran Islam akan terlihat cantik, di samping kita mendapat kemajan di dunia, juga mendapat kemajuan di akhirat. Kemajuan yang dicapai tidak menimbulkan krisis sesama sendiri.
Tetapi kalau umat Islam menyembah nafsu, menyuburkan mazmumah, maka tidak akan mendapat kemajuan walaupun diusahakan, sebaliknya akan berkrisis sesama sendiri, maka Islam dilihat ganas dan tidak indah.