PARA MUNAFIK ADALAH PENGIKUT DAJJAL.

Dari Abdullah bin Amru R.A., katanya Rasulullah S.A.W. bersabda:
أربع من كن فيه كان منافقا خالصا ومن كانت فيه خلة منهن كانت فيه خلة من نفاق حتى يدعها إذا حدث كذب وإذا عاهد غدر وإذا وعد أخلف وإذا خاصم فجر
"Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka dia merupakan orang munafik. Sesiapa yang bersifat dengan salah satu daripadanya bererti dia bersifat kemunafikan, sehinggalah dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila membuat persetujuan dia mengkhianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila berlaku pertikaian dia melampaui batas" - Hadis Sahih Riwayat Muslim

Dalam Hadis lain pula, Nabi S.A.W. bersabda;
آية المنافق ثلاث ، إذا حدث كذب ، وإذا وعد أخلف ، وإذا اؤتمن خان
"Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianatinya" - Hadis Sahih Riwayat Muslim

Tanda-tanda munafik seperti yang disebutkan oleh Nabi junjungan kita S.A.W. ini, telah menjadi kebiasaan dan tabiat kebanyakan manusia ketika ini. Dalam sedar atau tidak, mereka-mereka yang mengaku sebagai pejuang kebenaran atau pendakwah telah pun memakai pakaian munafik ini.

Berikut adalah ciri-ciri atau sifat-sifat munafik yang disebut di dalam Hadis oleh Rasulullah S.A.W.:
1. Bercakap bohong
2. Tidak menepati janji
3. Bertengkar dan bertikaian melampaui batas
4. Khianat bila diberi amanah/tanggungjawab


Di akhir zaman, para munafik ini juga dikatakan sebagai pengikut dajjal atau dajjal-dajjal kecil. Biasa juga kita dengar kata orang dulu-dulu, bila ada orang buat jahat dilabel sebagai dajjal, ataupun bila ada yang nak buat khianat/jahat terus dikatakan, "Nak pedajal orang la tu!"

Kenapa munafik dikatakan pengikut dajjal? Mari kita lihat apa erti perkataan 'DAJJAL'. Dajjal adalah berasal dari perkataan bahasa arab yang bererti 'Pembohong/penipu'. (دجّل - يدجّل- دجّال) Dajjala-yudajjilu-dajjal, bagi yang belajar bahasa arab, tanda syaddah atau sabdu bermakna perbuatan itu berulang-ulang atau sentiasa; menunjukkan bahawa kuatnya atau beratnya erti kalimah yang dimasukkan syaddah atau sabdu itu. Jadi erti dajjal itu ialah sentiasa pembohong.

Ertinya, Dajjal itu sifat asasnya atau dia adalah pembohong atau penipu. Bohong atau tipu itu bukanlah sekadar pada percakapan tetapi pada perbuatannya juga adalah kebohongan. Kata lain buat lain, depan lain belakang lain; inilah ciri-ciri dajjal selain yang disebutkan dalam Hadis oleh Nabi S.A.W. mengenai munafik ini. Dalam hati lain tapi di mulut lain.

Nabi juga berkata pada sahabat, dajjal itu di kalangan ummat baginda S.A.W. Ini bererti dajjal akan lahir di akhir zaman atau di kalangan ummat baginda yang terkemudian. Dajjal itu diizinkan oleh Allah Taala untuk berlaku kerosakan di tangannya, begitu jugalah kepada pengikut-pengikutnya. Lebih-lebih kepada orang-orang kuat dajjal yang sedang dipersiapkan, mereka juga Tuhan izinkan berlaku kerosakan pada tangan-tangan mereka.

Sihir atau fitnah dajjal itu antara yang terbesar ialah menghitamkan yang putih dan memutihkan yang hitam, atau ertikata lain, kebenaran itu dikatakan batil dan kebatilan itu dikatakan kebaikan. Inilah yang banyak merosakkan kebanyakan fikiran ummat Islam bilamana tidak ada pegangan atau tidak kuat dengan prinsip maka mudahlah ditipu dan terkena fitnah dajjal ini.

Sikap-sikap munafik pengikut dajjal ini, sepertilah yang disabdakan Nabi S.A.W., bila berkata indah-indah belaka. Kata-kata ibarat syurga, namun dalam perlaksanaan semuanya dusta belaka! Mudah membohongi manusia, mudah tebar dan tabur janji merata tapi bila berbuat sebaliknya. Kata-kata yang digunakan hanya untuk mengikat dan mengambil hati manusia, hingga ada yang sanggup menjual nama Allah dan Rasul, sanggup menjual agama hanya untuk dirinya sahaja.

Bila dah terlepas kata macam-macam, maka mudah untuk berbuat janji palsu. Mula-mula tipu sedikit, lama kelamaan dah seronok dengan tipu dan teruslah berbohong. Bila dah selalu berbohong maka mudah pula berjanji. Lebih seronok berjanji dan memungkiri bilamana ada yang sanggup pula ditipunya. Maka semakin gelaplah hatinya dan semakin dekatlah ke lembah jahannam!

Sikap munafik lagi bilamana diberi amanah atau tanggungjawab, mudah tidak menjaganya bahkan khianati pula. Biasa kita lihat orang yang berpolitik, tidak kiralah samada dalam kumpulan yang batil maupun yang perjuangkan Islam, ciri-ciri munafik ini seolah-olah syarat dan sebati dengannya. Dalam ertikata lain, kalau tidak berbohong dalam politik tak dianggap politik. Begitulah seterusnya. Sebelum pilihanraya, bermacam-macam kata-kata manis dan janji ditebarkan dan ditaburkan, tersebar semuanya di seluruh pelusuk dunia. Namun semuanya adalah dusta bila sudah tercapai hajatnya. Kata-katanya adalah bohong, janji-janjinya adalah palsu, dalam kerja yang diamanahkannya dia khianati.

Munafik pengikut dajjal ini, bila berlaku pertikaian disebabkan kefahaman yang berbeza, mudah dan sangat suka dengan perbalahan. Maka aib-aib lawannya dibuka dan disebarkan. Tidak cukup dengan itu, ditabur fitnah pula. Malah, sanggup berlaku zalim bila kuasa di tangannya, dan inilah yang berlaku kini dan dunia menyaksikannya! Penipuan, pembohongan, sikap tidak telus, perbalahan, pertikaian, penzaliman, fitnah melampau, pengkhianatan, dan lebih dahsyat lagi demi mengekalkan kuasa sanggup pula melakukan perkara yang melanggar batas syariat dan menyekutukan Allah Taala.

Sebagai contoh lagi, yang berlaku seperti ini; bila bertemu empat mata, katanya rahsia berdua. Tapi realiti ialah dah heboh satu dunia, bahkan depan cakap lain belakang cakap lain. Jumpa sebagai syarat untuk beritahu dunia bahawa sama-sama sepakat dalam bekerja, sedangkan dalam perbincangan cakap lain orang tak tahu, dalam perlaksanaan lain pula yang dibuat! Segala maklumat yang dikongsikan dengan munafik-munafik ini, diputarbelitkan dan dimanipulasikan demi kepentingan mereka.

Tipu atau bohong ini pula, bukan sekadar dalam perbuatan dan percakapan. Malah, jika kebenaran sudah diketahuinya namun deme kepentingan diri sanggup menipu atau membohongi diri pula. Ertinya, sanggup bersekongkol dengan kebatilan kerana terikat dengan kepentingan dirinya pula. Orang seperti ini juga sedar atau tidak bila dajjal yang sebenar tiba, imannya tidak selamat!

Oleh kerana itulah kata Abuya, jika nak ditakdirkan kedatangan pemimpin penyelamat itu panjang lagi masanya maka selamatkanlah dan peliharalah serta jaga iman diri dan keluarga. Apa yang sudah dibangunkan, kekalkan dan jagalah ia, kalau ada kemampuan dikembangkan. Kerana skop ummat Islam tanpa pemimpin penyelamat tidak cukup besar dan kuat, kerana Nabi sudah sebut, hanyalah sebagai thoifah yang menjaga bara api. Yang akan menyalakan dan membesarkannya adalah pemimpin yang dijanjikan sahaja.

Islam itu sudah pasti menang dan tidak akan kalah-kalah lagi! Namun siapakah orangnya itu semua masih dalam pemilihan dan tawaran, hanya pemimpinnya sahaja yang dijanjikan. Jika tidak memenuhi syarat, apatah lagi sikap-sikap munafik masih dikekalkan maka jauh lagilah nak berlakunya kebangkitan ini. Kalau nak berlaku juga, bukanlah orangnya jika masih dengan sikap dan perangai yang sama!

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?