PEMIMPIN SUK (JAHAT) TUTUR KATANYA MENARIK HATI.

Firman Tuhan :
وَمِنَ النَّاسِ مَن يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلْبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ
"Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati, dan Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu)". Al-Baqarah : 204


وَإِذَا تَوَلَّىٰ سَعَىٰ فِي الْأَرْضِ لِيُفْسِدَ فِيهَا وَيُهْلِكَ الْحَرْثَ وَالنَّسْلَ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْفَسَادَ
"Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan". Al-Baqarah : 205

Pemimpin Suk (yang jahat) antara ciri-cirinya ialah kata-kata yang cantik dan manis namun penuh dusta. Lihatlah dunia pada hari ini, Quran sendiri menjadi bukti dan saksi betapa kata-kata yang indah, cantik, dan tersusun mampu mengaburkan pandangan manusia. Namun, hanya hati-hati yang keras, kosong dan kotor sahaja akan tertipu dan termakan dengan kata-kata dusta ini.

Kata-kata yang penuh dengan kebohongan ini tidak perlu tunggu lama untuk kita melihat hasilnya. Telah terjadi di seluruh dunia, orang yang pandai berkata-kata tidak tahan lama. Apatah lagi yang berbohong dan berdusta atas nama Tuhan, lagilah hukuman dekat dunia sudah disediakan apatah lagi di akhirat sana.

Pemimpin yang zalim tidak berwibawa, tidak disenangi dan tidak dicintai. Pengikut dan orang bawahan tunduk dan patuh kerana ada kepentingan dan mengharapkan keuntungan. Pemimpin yang zalim banyak melakukan kesilapan di dalam pemerintahannya, bukan sahaja kesilapan terhadap Allah, bahkan kepada pengikut dan siapa sahaja yang berurusan dengannya. Pemimpin yang jahat suka memberi sogokan dan suapan, rakyat diperjudikan, rakyat dipermainkan, rakyat jadi buah catur oleh tangan-tangan yang khianat! Padahal pemimpin yang adil itu termasuk orang yang mendapat perlindungan Tuhan di Padang Mahsyar.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud; "Akan datang kepadamu zaman dimana pemimpinnya zalim dan ulamanya cinta dunia...". Kini apa yang disabdakan Nabi yelah menjadi kenyataan. Gabungan pemimpin dan ulama yang jahat, melahirkan masyarakat jahat yang kacau bilau dan tidak bersatu hati.

Antara kesalahan dan kesilapan yang dilakukan ialah; tidak lagi menjadikan Allah dan Rasul serta syariatnya sebagai rujukan. Mengambil apa yang suka daripada Quran atau syariat Allah serta tinggalkan apa yang tidak kena dengan kehendak selera nafsu. Mencampur adukkan fahaman-fahaman luar dan menggabungkan dengan ajaran Islam yang direka sendiri lalu wujudlah satu fahaman baru yang sangat menyesatkan manusia.

Bila mencampur adukkan ajaran Islam dan fahaman atau ideologi ciptaan yahudi, sepertilah sebiji kek yang dibuat dan dihiasi dengan cantik namun disatu sudutnya ada tahi ayam. Dalam percakapan atau kuliahnya semua ilmu-ilmu yang cukup indah bila diamalkan. Namun dalam praktikal sangat bertentangan dengan apa yang disampaikan. Itulah realiti yang berlaku di zaman ini. Orang kata, cakap tak serupa bikin!

Lebih-lebih lagi latarbelakang sesorang itu sebelum mendapat tempat dan kuasa dia seorang miskin atau dari keluarga miskin. Bila dapat kuasa dan wang ditangan, habis semua orang dilanyaknya! Duit dan harta orang dikebasnya, orang yang tak disenanginya diperangi habis-habisan. Tidak boleh melihat orang senang atau lebih sikit daripadanya adalah ciri-ciri yang jelas padanya. Kalau ada yang lebih atau tertonjol daripadanya itu akan dicantasnya habis-habisan.

Kalau dia meneruskan sesuatu perjuangan atau menyambung kepimpinan yang lepas, dia akan membawa atau mencipta sesuatu yang baru agar yang lama dilupakan orang. Jika terdapat orang lama yang masih berwibawa dan kata-katanya didengari orang, dia akan buruk-burukkan orang itu dan menjatuhkannya agar dia sahaja yang didengari. Inilah ciri pemimpin yang jahat yang terdapat pada hari ini, samada berjuang atas nama Islam mahupun sekular.

Pemimpin seperti ini sangat bertentangan dengan pemimpin Islam yang pernah dilahirkan dalam sejarah Islam seperti khalifah-khalifah didikan Rasulullah S.A.W. dan Sayyidina Umar Al-Aziz. Mereka ini boleh ditegur peribadinya, keluarganya atau kepimpinannya. Mereka minta dibetulkan jika tersalah. Tidak seperti pemimpin yang ada sekarang, sebelum buat salah dah beri amaran awal-awal supaya orang bersedia dengan kesalahan yang akan dilakukannya!

Pemimpin yang lahir hasil didikan Islam kata-katanya penuh berhikmah walaupun tidak terlalu berbunga. Kerana yang indah adalah kepimpinannya bukan indah kata dari amalnya. Sebab itu dalam Islam, ciri-ciri pemimpin yang adil bukan pada kata-kata yang indah namun pada keadilan dan saksamanya. Nabi Musa A.S. adalah contoh buat kita, pertuturannya tidak jelas dan dibantu saudaranya Nabi Harun A.S. sebagai jurucakapnya. Namun hasil dan berkat kepimpinannya manusia mendapat Allah. Jadi, kata-kata yang cantik dan tersusun bukanlah ciri-ciri kebenaran apatah lagi jika hasilnya manusia semakin berpecah belah dan hilang ukhuwah!

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?