GOLONGAN YANG MENDAPAT BANTUAN DARIPADA ALLAH.


كَم مِّن فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ
"Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar". Al-Baqarah: 249


Al-Quran mengisahkan bagaimana keadaan kaum muslimin pada saat Perang Badar. Jumlah mereka sedikit, dan kelengkapan perang mereka juga sedikit. Namun, mereka tetap yakin kepada Allah, sehingga mereka pun berdoa kepada Allah agar memberi mereka kemenangan. Allah berfirman yang bermaksud :
"(ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku akan membantu kamu Dengan seribu (bala tentera) dari malaikat Yang datang berturut-turut". (al-Anfal: 9)

Akhirnya kemenangan pun berpihak kepada orang-orang yang beriman. Allah berfirman yang bermaksud:
"Dan Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan Dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu)". Ali Imran: 123

Dan doa Rasulullah s.a.w. ketika Perang Badar adalah (maksudnya):
“Ya Allah, seandainya Engkau hancurkan kelompok-kelompok orang-orang Islam ini, nescaya tidak ada yang menyembah Engkau lagi di bumi ini.” (Hadis Riwayat Muslim)

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Dan menjadi kewajiban Kami menolong orang-orang yang beriman.” Ar-Rum: 47

Ayat di atas menjelaskan bahawa Allah menjanjikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman atas musuh-musuhnya. Sebuah janji yang pasti akan didatangkan kepada kita semua, orang-orang yang beriman.

Allah S.W.T. telah menolong Rasul-Nya pada perang Badar, Perang Ahzaab, dan peperangan-peperangan yang lain yang pernah dilakukan. Demikian pula, Allah telah menolong para sahabat Ridwanullah 'Alaihim dalam menghadapi musuh-musuh mereka, sehinggalah Islam tersebar luas ke segenap lapisan dan pelusuk dunia.

Sungguh, kesudahan yang baik pasti akan sentiasa bersama orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang benar-benar menggenggam Iman mereka, menjaga ibadah mereka, dan sentiasa berdoa serta menyerahkan segala urusan kehidupan kepada Tuhannya.

Kini, kita menyaksikan pemandangan di negara-negara Islam, orang-orang Islam tidak mampu mengalahkan musuh-musuh mereka. Mengapa perkara ini berlaku? Apakah hinggakan umat Islam menjadi begitu lemah sekali? Adakah kerana Allah mengingkari janjinya?

Tidak! Allah tidak sesekali memungkiri janji-Nya.


Namun sebaliknya, kitalah yang perlu bertanya kepada diri kita sendiri, “Apakah kita telah melakukan selaras kehendak Allah bagi mendapatkan janji Allah itu?”

Sebenarnya, pada kesempatan yang ada ini kita perlu bertanya kepada para pejuang “berlabel Islam” kita, sudahkah mereka memenuhi syarat-syarat agar pertolongan dan janji Allah itu turun? Ingatlah janji Allah:
"Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) bahawa Dia (Allah) akan menjadikan mereka berkuasa memegang pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka (fasik)." An-Nur: 55

Berkata Abuya Sheikh Imam Asyaari Attamimi, tentang ayat di atas An-Nur: 55, sebagai berikut:

Sebagaimana yang telah diisyaratkan (oleh Allah S.W.T.), tidak akan tercapai, kecuali setelah mengadakan hubungan mereka dengan Allah Dan hubungan mereka dengan manusia. ( حبل من الله وحبل من الناس ).

Di antara syarat-syarat itu adalah:

1 – Mereka perlu mempersiapkan diri dengan bekalan hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia. Keimanan dan khidmat yang sebenar dan sahih. Dan itulah sebenarnya bekalan yang digunakan oleh para salafussoleh di zaman Rasulullah S.A.W. Sudahkah bekalan ini, mereka persiapkan? Saperti yang Allah sebut dalam surah Al Baqarah ayat 249.

2 – Bilangan mereka sedikit tapi solid dan melakukan usaha-usaha yang gigih untuk menggapai kemenangan yang mereka harapkan, sebagaimana diperintahkan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud :
"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh) dengan segala jenis kekuatan Yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda Yang lengkap sedia, untuk menggerunkan Dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh Yang lain dari mereka Yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. dan apa sahaja Yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya." Al-Anfal: 60

3 – Mereka itu pejuang-pejuang yang menjadikan Tuhan sebagai kawan. Mereka perlu sentiasa berdoa dan memohon kemenangan kepada Allah semata-mata, selama perjuangan berlangsung (tidak berputus asa). Dan tidak meminta pertolongan selain dari Allah. Mereka perlu mencontohi Rasulullah di dalam berdoa di mana Rasulullah hanya menujukan doanya itu kepada Allah semata-mata. Allah berfirman yang bermaksud :
"Bukankah Allah cukup untuk mengawal dan melindungi hambaNya (yang bertaqwa)? dan mereka menakutkanmu (Wahai Muhammad) Dengan Yang mereka sembah Yang lain dari Allah. dan (ingatlah) sesiapa Yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya Yang salah), maka tidak ada sesiapapun Yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadaNya." Az-Zumar: 36

4 – Mereka di antara satu sama lain seperti satu ibu dan satu ayah yang penyayang. Mereka mesti bersatu padu, saling mengasihi dan mencintai di antara satu sama lain, serta mempunyai jiwa yang besar. Juga mendapat petunjuk dari Allah dan Rasul-Nya.

5 – Mereka Ruhbanu Billail wa Fursanun fin Nahar, malam jadi abid, siang menjadi pejuang.
Ia bermula dari Timur. Kemuncaknya adalah berpusat di Makkatul Mukarramah, pusat pentadbiran mereka. Menjaga adab sebagai pejuang dan pendakwah Islam. (3: 159)

إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَن يَقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
"Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat": dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan." An-Nuur: 51

وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَخْشَ اللَّهَ وَيَتَّقْهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ. 
"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan." An- Nuur: 52

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
Al-Hujuraat: 1

Sudahkah kita, yang menggelarkan diri sebagai pejuang-pejuang Islam ini melakukan hal-hal asas seperti yang demikian itu?

Ketika umat Islam tidak mahu membela Islam, mengabaikan perintah-perintah agama Islam, meninggalkan kepentingan ilmu pengetahuan (baik dalam hal agama mahupun ilmu-ilmu lain yang bermanfaat), dan meninggalkan petunjuk Rasulullah atau sunnahnya, mengabaikan petunjuk Quran atau peraturannya, maka kita pun akan diabaikan oleh Allah dari mendapat pertolongan yang dijanjikan, sehinggalah kita benar-benar bersungguh-sungguh dalam tindakan kita.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?