UJIAN MENGENALKAN ROH MANUSIA.

Dalam dunia pendidikan, persoalan ujian atau peperiksaan adalah merupakan suatu keperluan. Bagi yang peringkat tadika untuk memasuki sekolah rendah, maka untuk membantu guru meletakkan murid-muridnya ke dalam kelas yang baik, sederhana dan lemah, peperiksaan atau ujian adalah penilaian sangat diperlukan.

Begitulah dari peringkat rendah untuk memasuki ke peringkat sekolah menengah, juga memerlukan ujian peperiksaan. Begitulah dari menengah untuk memasuki universiti pun begitu. Lebih-lebih lagi ke peringkat PHD.

Penilaian Allah dan Rasul S.A.W. dengan yahudi tidak sama. Menurut Allah dan Rasul, secerdik-cerdik manusia ialah dia yang paling banyak mengingati kematiannya. Cerdik yang mengingati mati itu bukan yang menyerahkan leher untuk dipancung. Itu bodoh namanya. 

Kalau itulah yang dikatakan cerdik, mengapalah Rasul pun berstrategi dalam perjuangan. Rasul bersembunyi bersama Sayyidina Abu Bakar di dalam Gua Tsur bukan kerana takut, tapi itulah strategi. Itulah yang dinamakan cerdik, bahkan untuk Rasul dinamakan fatonah. Madinah di arah utara, tapi Nabi S.A.W. bersembunyi di selatan. Ini bermakna baginda Rasul dah susun strategi dari awal lagi sebelum perpindahannya. Tapi yahudi dan musuh Islam kata Nabi penakut.


Yang dikatakan cerdik yang mengingati mati itu ialah, bila dia mengenangkan akan kematiannya segala kebaikan dan kerja-kerjanya akan dibuat dengan sungguh-sungguh. Dia merasakan bahawa tiada peluang lagi untuk melakukannya, maka setiap kerja-kerjanya dipastikan adalah terbaik, kerana dia sentiasa fikir bila dia mati orang yang menyambungnya tidak meneruskan sesuatu yang sia-sia. Dengan ertikata yang lebih mudah, dia tak tinggalkan taik-taik untuk orang lain bersihkannya.

Apa kata Allah dan Rasul saw mengenai ujian atau peperiksaan :

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" Al-Ankabut: 2

وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ
"Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), supaya Allah sangat mengetahui tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan Dia juga sangat mengetahui tentang orang-orang yang berdusta." Al-Ankabut: 3


Dari dalil Quran di atas, jelas Tuhan sendiri menyampaikan bahawa orang yang beriman memang perlu diuji. Kerana dengan ujian akan menjelaskan samada dia beriman ataupun tidak beriman. Dengan ujian menentukan hasilnya seseorang itu benar atau dia berbohong. Dengan ujian yang Tuhan datangkan, akan membuahkan dan menghasilkan apa yang dipelajari selama ini. Kalau selama ini hanya ponteng-ponteng kelas, maka hasil peperiksaan akan menunjukkan kepadanya. Begitu jugalah sebaliknya.

Ertinya seseorang murid di sekolah itu tidak boleh mengatakan dia seorang yang pandai atau cerdik jika dia tidak menjalani ujian peperiksaan. Bagaimana nak meletakkan seseorang murid itu pada kelasnya jika tidak diuji tahap IQ-nya. Lebih-lebih lagilah Sekolah Roh, yang akan menentukan dan melahirkan Iman-Iman yang selamat, bukan Iman yang cukup makan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Thabrani daripada Abu Umamah, Allah berfirman kepada malaikat-Nya bermaksud : "Pergilah kepada hambaKu. Lalu timpalah bermacam-macam ujian kepadanya kerana Aku mahu mendengar suaranya (rintihannya)."

Hancur luluh hati-hati hamba yang mahu menyerahkan diri pada Tuhannya, bilamana mendengar kehendak Tuhan terhadap hamba-Nya ini. Rupa-rupanya, ujian yang ditimpakan adalah kerana mahu mendengar suara-suara hamba yang meminta, mengadu, memohon, dan seribu satu lagi cara yang mengikat si hamba pada Tuhannya. Itulah sebenar-benar tujuan ujian yang mahu ditimpakan kepada si hamba. Naik turun Iman seseorang adalah sejauh mana ikatan hatinya dengan Tuhannya.

Oleh itu, sekiranya diuji Allah, hendaklah kita bersabar, kerana dengan bersabar si hamba akan mendapat ganjarannya. Dalam hal ini, Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: "Ujian yang tidak berhenti-henti menimpa orang mukmin baik lelaki atau wanita yang mengenai dirinya, harta dan anak-anaknya, tetapi dia bersabar, dia akan menemui Allah dalam keadaan tidak berdosa." Riwayat Tarmizi

Sekali lagi Tuhan hiburkan hamba-hambaNya. Tuhan dengan Maha Rahman dan Rahim-Nya, memberikan khabar gembira lagi bahawa dengan ujian itu akan diberikan ganjaran yang sangat besar, iaitu kembali kepada-Nya dengan membawa hati yang selamat, tanpa noda dan dosa. Sekali lagi Tuhan memberitahu, ujian itu adalah penghapusan dosa untuk hamba-Nya. Selaku hamba, mana mungkin kita terlepas daripada dosa. Satu saat terlupa Tuhan pun sudah berdosa, apatah lagi jika kehidupan kita ini hanya beberasa saat sahaja kita ingat Tuhan. Maka layaklah kita diuji kerana dengan ujian itulah akan membersihkan diri kita.

Namun, ujian apakah yang akan ditimpakan Tuhan terhadap hamba-hambaNya? Tentulah satu ujian yang sangat berat, yang akan membuktikan betapa si hamba sanggup untuk melakukan sesuatu demi Tuhannya. Sabda Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi bermaksud: "Sesungguhnya bagi setiap umat ada ujian dan ujian bagi umatku ialah harta kekayaan".

Ya! Sangat menakutkan kita pabila sesuatu yang kita suka selama ini, itulah ujian besar dan berat buat kita! Pesanan Nabi S.A.W. di atas sangat perlu diambil berat. Harta kekayaan yang Tuhan maksudkan itu adalah disekeliling kita. Anak, isteri, suami, harta-harta duniawi, ini semua adalah harta-harta kita, dan ia adalah ujian yang berada disekeliling kita.

Sabda Nabi S.A.W. lagi: "Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan atas kamu, akan tetapi aku khuatir sekiranya kemewahan dunia yang kamu dapat sebagaimana yang telah diberikan kepada orang sebelum kamu, lalu kamu bergelumang dalam kemewahan itu hingga binasa, sebagaimana bergelumang dan binasanya umat terdahulu." (HR Bukhari)

Inilah yang Abuya sering pesan kepada kita. Mengapa kita bila diuji, diajak muhasabah. Supaya matlamat ujian itu kita tidak lupa. Bila kita sudah terlalu sibuk bekerja dengan fizikal lahir, kita terlupa hal-hal bersifat rohani. Bila sudah tidak boleh bertemu akibat kesan-kesan kerja bersifat lahiriah ini, maka akhirnya terpaksa Tuhan sendiri yang bertindak. Supaya matlamat perjuangan itu sendiri pun tidak kita lupa. Kalau tidak kita akan syok sendiri. Kita dah rasa berjuang, orang lain melihat kita pelik dengan sikap dan gelagat kita, macam kera sumbang.

Bila diuji begini, barulah hati disentap dan disentak. Rupanya matlamat berjuang itupun sudah bukan kerana Allah. Bila kita kata berjuang untuk Allah, tapi dalam perlaksaan tidak begitu, Allah sendiri akan campur tangan. Kuliah sahaja rupanya masih tidak cukup. Maka bila Kerajaan Ajaib sendiri yang beri kuliah, inilah yang berlaku pada kita sekarang. Akhirnya kita akan kembali kepada matlamat asalnya, iaitu untuk Allah kita berjuang selama ini, bukan kerana selainnya. Maka sempatlah kita sedar dan cepat-cepat betulkan niat kembali.

Bahkan dengan ujian ini juga, kita dikenalkan atau akan kenal siapa kawan dan siapa lawan. Selama ini yang disangka saingan itulah kawan sebenarnya, yang dianggap kawan seperjuangan itulah yang sering menyusahkan. Mujurlah Tuhan masih sayang dan berikan ujian begini, maka dengan itu masih ada peluang untuk kita perbetulkan dan ikat kembali hati kita satu sama lain. Kalau diuji dengan nyawa diambil terus, dalam tak sempat kembali kepada Tuhan, tak sempat meminta maaf satu sama lain, kan susah!

Di saat-saat begini, barulah bernilai segala kuliah dan pesanan yang disampaikan selama ini. Ternyata ujian memang melembutkan hati. Tapi selama mana kita mahu diuji baru dapat melembutkan hati? Kata Abuya, orang mukmin tidakkan jatuh dalam lubang yang sama dua kali. Kalau dah sampai lima kali, sepuluh kali di tempat yang sama teruji, maknanya ada yang tak kena. Takut-takut kita bukan orang mukmin lagi, baru awwamul muslimin.

Dengan ujian kita semakin kenal diri, dengan ujian sepatutnya kita semakin kenal mursyid. Dengan ujian kita semakin bertaut hati antara satu sama lain. Dengan ujian kita semakin kuat menguatkan antara satu sama lain. Dengan ujian, kita semakin terhubung dengan Tuhan. Dengan ujian, niat dan matlamat perjuangan kita dibetulkan kembali. Namun jika dengan ujian tidak berlaku hal-hal sebegini, takut-takut ada yang tak kena pada diri kita. Takut kita bukan orangnya yang memburu janji. Islam pasti menang dan takkan kalah-kalah lagi; itu adalah janji, namun kita semua adalah yang ditawarkan untuk merebut janji.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?