ROH SEJARAH MENJADI SANDARAN.

Menyusuri Tokoh yang berjiwa atau memiliki roh yang matang. Tokoh tersebut kita temuinya di bumi Andalusia. Sesungguhnya salah satu sejarah Islam yang dapat dibanggakan hingga hari ini ialah ketamadunan yang dicapai oleh umat Islam di Andalus.

Walaupun masa telah berlalu, sejarah itu tetap dikenang sebagai pemangkin semangat untuk maju dan berharap agar pencapaian itu akan berulang. Bahkan, jika kita berpeluang menziarahi kota Andalus yang dikenali sebagai Real Madrid ini, kita akan dapati beberapa bangunan bersejarah yang masih tersergam yang dibina pada zaman kegemilangan itu. Bahkan barat sendiri pernah mengaku bahawa: "Sekiranya Islam tidak mencipta kertas, kompas dan senjata, nescaya barat akan sentiasa berada pada keadaan yang tidak membangun hingga sekarang."

Kata Abuya, "SEJARAH ADALAH GURU TERBAIK UNTUK DIJADIKAN PANDUAN DAN INGATAN".

Abuya kongsikan dengan kami semasa mengulas tentang penerokaan Toriq bin Ziyad, dari bumi Tanjah, Maghribi ke Andalusia, di Eropah. Bagaimana seseorang yang hebat rohnya hingakan kata-katanya yang keluar dari hati dan jatuh kehati. Ucapan Tariq bin Ziyad yang mempunyai roh Islam yang luar biasa:

البحر من وراءكم والعدو أمامكم فاختر بينهما شئتم
“Di belakang kamu lautan, di depan kamu musuh. Pilihlah antara keduanya. Kita tidak akan pulang sebelum mencapai tujuan itu!”
Itu antara ucapan Tariq bin Ziyad kepada perajuritnya ketika mereka menakluk Andalusia (Sepanyol). Toriq bin Ziyad adalah lambang kegemilangan Islam, kerana keberaniannya, sebahagian benua Eropah disinari cahaya Islam. Namanya turut diabadikan menjadi nama sebuah bukit di Tenggara Sepanyol, iaitu Gibraltar atau Jabal Tariq. Yang menguatkan lagi tentang Toriq bin Ziyad ini ialah, roh baginda Nabi S.A.W.lah yang memberi arahan kepadanya ketika membuka Islam Andalusia.

Begitu juga kita temui seorang lagi yang rohnya begitu terhubung dengan Rasul S.A.W. sehingga ditangannya-lah berlaku apa yang diucapkan oleh baginda, ketika menggali Parit Khandak:
لتفتحن القسطنطينية فلنعم الأمير أميرها ولنعم الجيش ذلك الجيش
“…Kostantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera…” Hadis riwayat Imam Ahmad

Yang dimaksudkan didalam hadis ini berlaku ditangan Sultan Muhammad Al-Fateh, bersama tenteranya yang juga digambarkan seperti dalam hadis. Sebelum itu, pernah ada usaha membenarkan hadis ini namun kerana bukanlah mereka yang dijanjikan maka tidaklah berlaku hadis ini ditangan mereka. Namun kata Abuya, mereka tetap mendapat satu pahala, iaitu membenarkan hadis. Jika berjaya, dapatlah dua pahala iaitu membenarkan hadis dan berlaku hadis itu ditangannya.

Kata Abuya lagi, walaupun ada usaha membuka Kostantinopel oleh Sayyidina Ali R.A., Abu Ayub Al-Ansari R.A., dan ramai lagi tidak berjaya, namun mereka adalah orang-orang yang membakar semangat dan menyemarakkan kemeriahan roh dalam membenarkan kata-kata Nabi S.A.W. Begitulah cara Islam sampai kepada kita, berkat dan usaha orang-orang terdahulu kata Abuya. Sebab itulah mengapa mesti belajar dengan sejarah. Padanya ada keberkatan.

Mereka yang disebut dalam sejarah ini, seperti Toriq bin Ziyad, Sultan Muhammad Al-Fateh, Abu Ayub Al-Ansari R.A., Sayyidina Ali R.A., mereka ini bukanlah sekadar manusia yang cerdik akalnya sahaja. Yang memandu jiwa dan mendorong perasaan mereka ialah terhubungnya hati-hati mereka kepada roh baginda Nabi S.A.W. Sejarah dah membuktikan, kejayaan yang berlaku hingga manusia mendapatkan Allah dan Rasul ialah bukan dengan pemimpin yang sekadar cerdik pandai. Tapi yang dicatit sejarah ialah pemimpin yang terhubung hatinya dengan Nabinya, terhubung hatinya dengan Tuhannya.

Kita rujuk sejarah lagi, melihat kebelakang untuk mengambil berkat mereka. Kata Abuya, kita tengok dan belajar pula dari mujaddid pertama, iaitu Sayyidina Umar Abdul Aziz. Berkat yang ada padanya, bukan sahaja kasih sayang terjalin sesama manusia, bahkan serigala dan kambing pun boleh jadi kawan kerana keberkatannya. Bila dia meninggal dunia,  serigala dan kambing ini kembali kepada fitrah haiwan semula.

Dari sejarah Sayyidina Umar Abdul Aziz tadi, adakah orang cerdik pandai boleh satukan serigala dan kambing?! Kita lihat dunia hari ini, betapa ramainya yang dikatakan cerdik pandai, tapi bukan sahaja serigala dan kambing terancam, bahkan manusia sesama manusia mengancam satu sama lain. Dapat kuasa pijak dan sepak terajang orang lain. Kalau boleh dia nak orang lain menderita, dia saja yang bahagia.

Jelas kata Abuya, yang menjadi pengikat hati-hati manusia adalah pemimpin yang hatinya telah diikat dengan roh Nabinya, lalu dibawa kepada Tuhannya. Ada juga orang yang manusia lain boleh serahkan hati padanya, namun bukanlah kerana Allah dan Rasul, namun kerana punya citarasa yang sama dan dapat penuhi kepentingan mereka. Ini pun tidak selamat juga, kerana tiada ikatan hati dengan Nabinya. Ikatan ini tidak ke mana.

Kata Abuya lagi, dalam kemeriahan kita dalam memilih pemimpin, kriteria utama ialah bukan yang boleh penuhi kehendak dan hasrat kita, tapi yang boleh menyelamatkan Iman kita, yang boleh menghubungkan hati kita kepada Allah. Kalau sekadar membawa kemajuan, Abuya kata Tun Mahathirlah orang yang paling membawa kemajuan di negara kita, dan ini sudah terbukti. Tapi untuk membawa hati-hati manusia kepada Tuhan, pemimpin macam ini yang belum ada lagi di kalangan masyarakat kita.

Di kemeriahan musim pilihanraya ini, sebagai bakal-bakal pemimpin, atau calon-calon pilihanraya, lagi-lagilah yang bergerak atas nama Islam, belajarlah dengan sejarah! Sejarah adalah guru terbaik. Kenapa kita selalu sombong dan tidak merujuk kepada sejarah. Mereka dalam sejarah itu telah terbukti, samada baik atau buruknya. Kita pula baru nak mencuba. Apa salahnya gabungkan keduanya, bahkan ini menguntungkan.

Kerjasama yang berlaku pada generasi lama dan baharu bukanlah satu kepincangan. Ini adalah kekuatan. Gabungan yang boleh menguatkan sesebuah persatuan, pergerakan, jemaah, atau parti, atau negara itu sendiri. Namun bila kepentingan diri sudah menguasai, orang lama dilupakan, dipijak-pijak seolah-olah tidak pernah membawa kemajuan dan kebaikan. Kita lupa, tiada orang lama, kita pun tiadalah!

Abuya sangat meraikan orang-orang lama yang berjuang bersamanya. Kerana pengorbanan merekalah, jemaah boleh sampai hingga tahap begini. Begitulah panduan yang Abuya berikan, samada untuk panduan peringkat jemaah, persatuan, parti atau negara. Kerana itulah Abuya sangat mendoakan Tun Mahathir, walaupun pernah mengharamkan jemaahnya. Kerana Tun pernah ada jasa untuk negara, Tun ada cita-cita untuk selamatkan bangsa. Cuma di masa itu, Tun tidak melihat bahawa pembangunan bersama Iman adalah penting, jadi Tun terlepas pandang. Sebab itu Abuya mendoakan agar Tun jadilah seperti Abu Sufyan, yang sempat Islam sebelum Futuh Mekah. Jelas menunjukkan Abuya sangat menghargai orang-orang yang berjasa, sekalipun atas nama bangsa dan negara, sepertilah Abuya sangat menghargai arwah Tun Ghafar Baba.

Kita belajar melalui sejarah, belajar melalui Abuya. Dari sejarah telah terbukti bahawa pembangunan tamadun Islam sangat berkait rapat dengan terhubungnya hati pemimpin dengan Tuhan dan Nabinya. Dari Abuya kita lihat sendiri bagaimana tindakan Abuya, perasaan Abuya, dan perancangan Abuya dalam mengislamkan masyarakatnya. Belajar dari sejarah itulah berkat. Kita diminta mengambil berkat, salah satunya melalui sejarah atau orang-orang yang pernah berjasa kepada kita, samada diperingkat jemaah, parti, atau negara itu sendiri.

Pesan Abuya, kalau nak berjuang atas nama Islam, jangan lupakan hal-hal sebegini. Jangan hanya diungkapkan tapi tidak berlaku pada realiti. Belajarlah dari sejarah, samada yang baik mahupun yang buruk. Yang baik diambil dan diteruskan serta dikembangkan, yang buruk dijauhkan dan dielakkan. Sudah tiba masanya Islam terus menang dan tidak kalah-kalah lagi.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?