UJIAN MELAHIRKAN MEREKA YANG SEMAKIN SOLID DENGAN PERJUANGAN.

Kita telah mengikuti kuliah dan mendapat panduan melalui PR sudah 65 kali. Bagi kita yang menerimanya, ia baru dikatakan mendapat bahan ilmu atau fakta maklumat, selagi ianya belum menjadi amalan dan penghayatan dalam kehidupan yang dilalui. Abuya selalu bacakan bait matan zubad:
العلم بلا عمل كشجرة بلا ثمرة
Ilmu tanpa amal seperti pokok tak berbuah.


Berkaitan hal mehnah dan ujian, telah banyak Allah dan Rasul S.A.W. memberikan panduan-panduan yang berkaitan dengannya. Samada disebut dalam Quran mahupun didalam Hadis-Hadis Nabi S.A.W.

Bagi manusia yang hidup untuk Allah, mereka melihat segala mehnah dalam kehidupan ini adalah tuntutan Allah kepada dirinya. Namun sayang, tidak ramai yang mampu memahaminya. Mereka senantiasa berharap untuk keluar dari segala masalah itu, tetapi mereka tidak memahaminya dan tidak mengetahuinya. Apa yang diberikan atau disampaikan kepadanya melalui segala masalah ini, mereka gagal untuk mengesan signal atau isyarat dari Allah berkaitan hal ini.

Tanpa memahami punca masalah, manusia tidak akan berhenti menganggap mehnah yang dialaminya sebagai masalah. Namun bagi mereka yang sedar bahawa segala yang dilalui berlaku kerana kehendak Allah, mereka akan sentiasa bersedia melaluinya walau betapa banyak mehnah atau ujian ini, kerana mereka faham setiap ketentuan Allah itu adalah proses yang Allah tentukan untuk dirinya yang pasti memiliki hikmah.

Mehnah adalah proses untuk mematangkan roh, proses yang menyedarkan diri akan letak duduknya, proses yang menjadikan diri sebagai hamba Allah seratus-peratus. Malah perlu untuk difahami, proses ini berterusan dari masa ke semasa hingga akhir hayat. Apa yang membezakan golongan yang memahami mehnah kehidupan sebagai proses, dan mereka yang tidak memahaminya, adalah cara mereka menerima kepada segala mehnah itu.

Apa yang penting, bila kita menyingkap lembaran ujian sebelum ini, kita menjadi semakin cemas. Bila setiap kali berlakunya ujian demi ujian di setiap era yang dilalui, ujian saringan menjadi semakin berat dan semakin halus, dan hasilnya akan melahirkan mereka-mereka yang solid dengan perjuangan.

❝ Maka apa yang sepatutnya menjadikan kita semua semakin cemas ialah, apakah era selepas ini kita masih diperlukan didalam perjuangan kebenaran ini? Apakah dengan proses yang dilalui ini boleh melayakkan kita terus berada dan melayakkan kita didalam jemaah ini? Proses yang sedang dilalui ini adalah proses menghaluskan peribadi kita sebagai hamba dan khalifah.

Persoalan-persoalan inilah yang patutnya terus menerjah diri kita sebagai respon kepada peristiwa yang sedang berlaku. Ya, bagi kita yang telah mendapat ilmu dan panduan yang sangat banyak, maka inilah masanya setiap diri kita menyuluh macam mana cara kita sepatutnya berperasaan dalam menerima mehnah atau ujian yang kita lalui, samada secara berjemaah atau secara individu. Pandai kita menerimanya adalah peningkatan darjat di sisi Tuhan atau penghapusan dosa kita yang disedari atau tidak.

Kita yang menginsafi hakikat kehidupan dan sebab kewujudan kita di dunia ini, akan memandang cabaran hidup sebagai ujian yang ditetapkan oleh Allah. Kita melihatnya dan menerimanya sebagai peluang untuk membuktikan lonjakan roh kepada RSA. Bagi kita, yang paling penting adalah apa penilaian Allah dan RSA untuk diri kita, maka segala kelebihan, keberkatan, dan kecukupan akan didorongkan kepada orang-orang seperti ini.

Manusia apabila mereka memasuki alam akhirat, mereka akan melihat bertapa luasnya kehidupan ini, dunia di waktu itu akan terlihat kecil bagi mereka. Maka kesal bukan kepalang mereka ini apabila segala usaha mereka itu tidak diiktiraf sebagai ibadah di sisi Allah swt. Beruntung pula bagi mereka yang melihat segala kesusahan hidup sebagai ujian Allah kepada mereka, mereka melaluinya dengan redha.

Inilah salah satu sifat orang mukmin, iaitu mereka yang bersabar dengan dugaan kehidupan, sebagaimana manusia biasa mereka tetap menempuhi cabaran ini hingga akhir, tetapi mereka sentiasa sedar mereka sedang dinilai Allah, berbeza dengan mereka yang meletak pandangan manusia sebagai penilainya.

Mari kita bertanya kepada diri-diri kita, apakah sebenarnya yang kita mahu daripada perjuangan ini? Abuya telah jelas sampaikan kepada kita, yang menanti para pejuang adalah kesusahan dan penderitaan. Bahkan sering dan selalu dinasyid-nasyidkan sebagai hiburan kita. Namun apakah ianya sekadar hiburan telinga atau sememangnya lagu Sunnah Pejuang itu hiburan roh kita?

Bukan Abuya sahaja, bahkan para Nabi dan Rasul pun tidak pernah menjanjikan dunia sebagai ganjaran. Nikmat-nikmat yang diceritakan sebagai hiburan dan dorongan, dan bukanlah ianya dijadikan matlamat perjuangan.

Abuya tidak akan pernah serik untuk menguji murid-muridnya demi melahirkan manusia selaku hamba dan khalifah, yang tunduk kepada Tuhan dan mempu mentadbir manusia. Hamba yang berperasaan hamba dan selaku khalifah berkhidmat kepada manusia, bukan mengaut keuntungan diri dari hasil kepercayaan manusia kepadanya.

Di dalam perjuangan kebenaran, kemenangan-kemenangan ada dijanjikan tetapi orang-orangnya hanyalah diberi tawaran, melainkan pemimpin-pemimpin yang memang telah Tuhan janjikan. Para sahabat diberi tawaran untuk bersahabat dengan Nabi S.A.W. Bahkan didoakan di antara dua Umar untuk menjadi pembela Islam, samada Umar Al-Khattab atau Abu Jahal atau nama asalnya Umar bin Hisyam. Ternyata Umar Al-Khattab yang terpilih, kerana dia sanggup untuk membenarkan kebenaran, menzahirkannya, dan mengakuinya dan kerana itulah dia digelar Al-Faruq.

Kita adalah orang-orang yang diberikan tawaran dan peluang. Rebutlah peluang dan tawaran ini, ia takkan datang lagi kerana selepas ini dunia akan dikiamatkan. Maka berperilakulah seperti orang yang merebut tawaran dan peluang ini, bukan berperangai seolah-olah kita yang disebut didalam janji.

Orang yang merebut peluang Ikhwan dan Asoib ini sentiasa sedar yang dia sedang menagih satu yang cukup rahsia. Rasulullah menyampaikan berita-berita besar, yang sebahagian besarnya berlaku selepas kewafatan baginda. Adakah ianya satu kekurangan bila tidak berlaku di tangan baginda? Apakah ianya menghinakan dan menjatuhkan maruah dan martabat bila yang dikatakan Nabi itu berlaku selepas kewafatannya? Adakah baginda berbohong? Nauzubillah bagi yang berfahaman begitu!

Yang sebenarnya ia adalah milik Tuhan, bila masanya nak berlaku terpulanglah kepada Tuhan. Kalau disebutkan nama-nama dan orangnya dengan detail, maka para sahabat tiada peluang untuk merebut saham bernilai akhirat ini. Kalau Nabi Muhammad S.A.W. sebut yang nak buka Kostantinopel itu adalah Muhammad Al-Fateh, Abu Ayub Al-Ansari R.A. takkan pergi ke sana, kerana dia tahu bukan dia orangnya. Begitu juga Sayyidina Ali R.A., dia dan para sahabat yang lainnya takkan merebut peluang ini kerana dah disebut siapa orangnya. Tapi Tuhan itu Maha Baik, maka diberikan ruang dan peluang untuk para sahabat merebutnya. Bahkan Kostantinopel jatuh ketangan Islam 700 tahun selepas kewafatan Nabi S.A.W.

Kita perlu berusaha dan merebut peluang ini. Bukan kita sahaja, bahkan Wali Songo pun berusaha membenarkan Hadis-Hadis akhir zaman untuk berlaku pada tangan mereka. Namun bila tidak terjadi, kerana bukanlah Putra Bani Tamim dan Imam Mahdi dari kalangan mereka, tetaplah mereka positif, berharap dan berdoa, supaya PBT, IM, Ikhwan dan Asoib itu adalah dari darah daging mereka. Inilah contoh orang yang tiada kepentingan dalam perjuangannya. Kalau bukan mereka orangnya, mereka berlapang dada. Apa yang mereka usahakan tetap ada nilai di sisi Allah. Inilah contoh orang-orang yang tidak tertipu dalam perjuangan.

Kalau begitu mari kita menilai pula diri kita, adakah kita sudah cukupkan syarat-syarat agar berlakunya janji Tuhan itu pada kita. Abuya sudah terlalu sering mengingatkan kita, bahkan tidak cukup dengan itu, dilahirkan wasilahnya untuk pastikan kita terus terhubung kepadanya, terus diingat-ingatkan kepadanya, kepada pesanan-pesanannya, nasihat dan tegurannya, amaran dan ingatannya. Supaya kita tidak berputus asa dengan rahmat Tuhan. 

Sebab itu kita diminta mencari keberkatan, kerana orang yang sanggup mencari keberkatan ini adalah orang yang tiada kepentingan. Mereka sanggup merendah diri, datang kepada orang lain, yang lebih muda atau lebih kurang pengalamannya, atau punya kekurangan dari mereka tapi ada kebaikan yang tiada pada dirinya. Seperti pesanan Sayyidina Umar, terimalah kebaikan walaupun dari seorang budak hitam. Ertinya kena ambil berkat budak hitam itu kerana padanya ada kebaikan. Keberkatan itu adalah kebaikan yang bertambah-tambah. Keberkatan itu memang sesuatu yang Tuhan akan beri bila sudah pandai merasa hamba!

Orang yang sudah merasa dirinya hamba, maka dia akan selalu mencari keberkatan. Orang yang pandai mengambil berkat adalah hamba yang merasa dirinya hamba. Ini kalau dengan orang yang tua pun tidak dihormati, dengan yang berpengalaman luas dan terbukti berlaku kejayaan pada dirinya pun tidak dihargai, malah disepak terajang, dilakukan macam budak-budak yang tiada nilai, ada harapankah nak menjadi Ikhwan atau Asoib? Sedangkan Ikhwan dan Asoib itu peribadinya adalah yang berakhlak dengan akhlak Nabi-Nabi!

Maka bila berlaku hal-hal sebegini didalam perjuangan, Abuya tidak pandang orang lain. Terus melihat apa yang tidak kena dengan diri. Janganlah kita kata, bila tak berlaku je muhasabah, bila tak jadi je koreksi diri. Para sahabat dengan Nabi tak pun cakap begitu pada Nabi S.A.W. ketika baginda menyampaikan mimpinya bahawa mereka akan masuk Kota Mekah, dan ternyata yang berlaku adalah Perjanjian Hudaybiah yang kelihatan sangat merugikan dan menindas umat Islam. Mereka positif dan bersangka baik pada Nabi dan Tuhan. Ternyata setahun selepas itu Islam menawan Mekah! Dan bilangan mereka sebelum itu 1000 orang menjadi 10 000 orang ketika masuk ke Mekah.

Ini adalah rahsia Allah, ia adalah percaturan Allah. Kita diberikan peluang, diberikan tawaran. Kita tidak rugi kalau tak berlaku pada kita. Kalau diberkan kemenangan pada kita masa ini, takut-takut kita lebih zalim dari yahudi dan Amerika. Takut-takut manusia menyalahkan Allah kerana ada orang Islam yang bila mendapat kuasa, terus gila dengan kuasanya. Maka cantik sangatlah apa yang Tuhan rancangkan ini. Islam terus menang dan pasti menang. Islam pasti menang itu adalah janji, kita yang memburunya hanya merebut peluang dan tawaran yang diberi. Selepas ini, kita akan terkejut kerana kemenangan itu terjadi semua orang akan berpuas hati.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?