JABAL UHUD, ANTARA JANJI DAN TAWARAN.

Jabal Uhud adalah bukit yang dijanjikan di syurga. Bukit Uhud atau Jabal Uhud (جبل أحد) adalah sebuah bukit di utara Madinah dengan ketinggian sekitar 1.077 meter. Bukit ini adalah lokasi pertempuran kedua antara Muslim dan pasukan musyrik Mekah. Pertempuran Uhud terjadi pada 23 Mac 625 Masehi, di tempat yang sekarang di barat laut Arab Saudi.

Jika kita ingin melihat bukit yang ada di syurga, maka ziarahlah Bukit Uhud. Nabi S.A.W. bersabda; Bukit Uhud adalah salah satu dari bukit-bukit yang ada di syurga. (H.R. Bukhari)

Dari Anas bin Malik R.A, Rasulullah bersabda:
"Sesungguhnya Uhud adalah satu gunung yang mencintai kami dan kami juga mencintainya." Riwayat Bukhari dan Muslim.

Sebuah riwayat juga menceritakan, Rasulullah S.A.W. pernah menaiki puncak Uhud bersama Sayyidina Abu Bakar R.A., Sayyidina Umar Al-Faruq R.A. dan Sayyidina Usman bin Affan R.A. Setelah keempatnya berada di puncak, terasa Gunung Uhud bergegar. Rasulullah kemudiannya menghentakkan kakinya dan bersabda, “Tenanglah kamu Uhud. Di atasmu sekarang adalah Rasulullah dan orang yang selalu membenarkannya dan dua orang yang akan mati syahid.” Tak lama setelah itu Uhud berhenti bergetar. Demikianlah tanda kecintaan dan kegembiraan Uhud menyambut Rasulullah.

Di kesempatan ini, kami mengambil peluang untuk berekspidisi ke Uhud, mengambil berkatnya yang ia dijanjikan bersama Allah dan Rasul di syurga kelak. Bersama saya kali ini ialah isteri saya, Norlia Ahmad, anak sulung saya, Ahmad Fudhail, anak ketiga, Muhammad Uqbah, Syeikh Pak Nor, dan Abu Zamaah. Pada 26 April 2013, selepas solat subuh kami terus menuju ke Jabal Uhud.

Lokasi di Bukit Uhud kali ini, lebih kepada lokasi yang lain dari biasa. Tidak ramai yang tahu tempat ini melainkan orang-orang tempatan sahaja. Untuk lebih spesifik, lokasinya adalah Gua Uhud di mana sejarahnya tempat Rasulullah S.A.W disembunyikan oleh para sahabat ketika Perang Uhud.

Ini kerana pada perang ini Rasulullah S.A.W tercedera ketika berperang dengan orang kafir, ketika tentera semakin hampir dengan kubu tentera Islam, baginda dibawa ke dalam gua yang terdapat di Bukit Uhud. Di tempat tersebut terdapat lokasi di mana darah baginda menitis di atas batu, lokasi masjid ketika zaman baginda dan yang pasti Gua Uhud.

Kali pertama sebelum itu, saya datang ke mari bersama-sama beberapa ahli GISB yang lain dibawa mendaki ke Gua Uhud tersebut, dimana ketinggian yang agak sederhana namun jika dilihat lokasinya memang tidak yakin ada orang yang boleh bersembunyi di dalam gua tersebut. Gua ini boleh memuatkan dalam 5 orang sahaja pada satu-satu masa. Jadi kami bergilir-gilir untuk memasuki gua tersebut. Jalan masuk ke gua agak curam dan licin, kasut dan selipar ditanggalkan untuk keselamatan. Ketika berada di dalam gua itu, tercium bau harum yang berada di situ, Subhanallah!

Umum kita mengetahui sejarah yang berlaku di Jabal Uhud ini, yang tercatat padanya sejarah yang cukup besar dan menjadi pengajaran yang sangat berharga buat kita semua. Sejarah Uhud cukup mengajarkan kita bahawa tarikan dunia yang mencengkam hati boleh merosakkan umat Islam, sekalipun ketika itu yang memimpin adalah fizikal Rasul S.A.W. itu sendiri. Uhud juga menyaksikan kehilangan besar buat umat Islam ketika itu, iaitu kematian Sayyidina Hamzah R.A., pakcik Nabi S.A.W. Begitu besar penyaksian yang dilalui oleh Jabal Uhud.

Dalam peperangan itu juga, gigi Rasulullah S.A.W. patah iaitu antara gigi hadapan dengan gigi taring sebelah kanan bahagian bawah. Wajah dan bibir Rasulullah s.a.w. turut luka akibat terkena lontaran batu oleh tentera kafir.

Ekspedisi kali ini, kami mendaki puncak Uhud, hingga ke pencawang telekomunikasi yang dibangunkan di atasnya. Hati didorong-dorong untuk mendaki sedangkan pada masa yang sama cemas terasa kerana tidak tahu apa yang menanti di atas sana, juga keadaan jalan yang cukup curam dan berada di tebing cukup membuatkan hati gerun.

Namun, seperti kata Syeikh Nasir A.R. pada pr yang lepas, sepatutnya di saat ini hati-hati kita dipandu, dan begitulah yang hati ini merasakannya. Sampainya kami di puncak Uhud, tidak lupa mengambil kesempatan bergambar sebagai kenangan. Namun yang utama ialah, berdoa dan merintih di puncak Uhud, mengambil keberkatannya yang jelas disebut Nabi S.A.W. sebagai ahli syurga, sedangkan kita tidak dijanjikan syurga. Hati mana yang tidak sayu dan luluh berada di atas Uhud ini, roh perjuangan Baginda sangat diperlukan dalam memberi kekuatan untuk menagih Janji Tuhan ini.

Ketika perjalan turun dari puncak, Tuhan temukan kami dengan satu keluarga yang sedang rehlah di satu sudut di atas Uhud ini. Rupa-rupanya ini sudah dijadualkan Allah, keluarga tersebut sebenarnya mengalami masalah iaitu kereta mereka tersekat dan tidak boleh bergerak kerana jalan berbatu dan menyukarkan pergerakannya. Patutlah hati ini digerakkan untuk terus menuju puncak, rupanya kerana Tuhan ingin memberi peluang membantu orang lain didalam kesusahan. Hati mana yang tidak terhibur bilamana turun sahaja tidak sampai ke bawah lgi, Tuhan sudah hiburkan dengan memberi bantuan kepada orang yang berada dalam kesusahan. Maka berkenalanlah kami dengan keluarga yang baru kami kenali ini.

Kami akhirnya turun dari puncak bersama-sama dan ketika sampai di kaki Uhud, dia mengambil kesempatan menunjukkan kami kawasan yang dikatakan kawasan sebenar tempat persembunyian Baginda Nabi S.A.W. dan sekelilingnya terdapat batu-batuan yang terdapat tulisan lama tanpa baris dan titik yang dikatakan ditulis oleh para sahabat R.A.

Berada di Uhud ini membuatkan hati merasa cemburu, cemas, dan rindu. Cemburu kerana begitu sekali istimewanya Jabal Uhud yang menyaksikan pelbagai sejarah besar didalamnya, disemadikan jasad-jasad syuhada di buminya, dan ia dijanjikan syurga! Hati merasa cemas kerana kita tidak dijanjikan apa-apa, hanya diberi tawaran. Ini bermakna kita tidak ada jaminan selamat sekalipun berada didalam jemaah kebenaran. Maka hati didesak-desak untuk merebut peluang dan mencukupkan syarat sepertimana yang telah para sahabat lakukan. Islam pasti menang dan terus menang untuk kebangkitan Islam kedua.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?