RINDU KEMATIAN RAHSIA TIDAK DITIPU DUNIA.

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ.

"Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali." Al-Anbiya: 35

Setiap yang hidup akan merasai mati, itulah yang dibenarkan dari Quran yang datang dari Allah yang Maha Benar. Pada peringkat awal kesedaran Islam, kita sering dingat-ingatkan oleh Abuya dengan kematian. Kematian yang boleh datang bila-bila masa. Ia datang mengunjungi kita tidak kita tempat dan masa. Ia berlaku di mana-mana dan bila-bila. Ia berlaku dengan pelbagai cara.

Mati bagi orang mukmin adalah satu permulaan kehidupan. Kehidupan yang kekal abadi buat selama-lamanya. Mati bagi pencinta Allah dan Rasul, adalah syarat menemui cintanya. Mati ialah kebebasan bagi para roh, yang ianya tidak terikat lagi dengan mana-mana undang-undang dan syariat Tuhan. Bila matinya anak adam, terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara; Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan doa anak yang soleh. Sabda Nabi S.A.W.:

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية، أو علم ينتفع به، أو ولد صالح يدعو له، رواه مسلم
Dari Abu Hurairah R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W. telah bersabda: "Bila matinya anak adam akan terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan doa anak yang soleh." Riwayat Muslim

Setelah kita diberi kesedaran kepada Islam, kita diberi tawaran untuk membangunkan model kehidupan Islam bersama-sama Abuya. Maka kita tinggalkan dunia kita dan beralih kepada satu dunia yang lain, kehidupan yang lain bersama-sama Abuya. Bahkan kita dianggap pelik dan aneh oleh masyarakat, kerana cara hidup sangatlah tidak sama dengan mereka.

Kemudian kita dibawa menelusuri Hadis-hadis, bahawa di akhir zaman ini Tuhan telah menjanjikan kemenangan buat Islam kali kedua, yang mana bersamanya ada Imam Mahdi dan Nabi Isa A.S. Semua ini dibentangkan kepada kita, bahkan kita juga dibawa Abuya bertemu ahli-ahli tarekat yang sama-sama menunggu kebangkitan kedua ini juga. Maka kita selaku pengikut atau muridnya, diberi tawaran atau peluang yang juga telah disabdakan dan dijanjikan oleh Baginda Nabi S.A.W. juga, iaitu Ikhwan dan Asoib.

Berlumba-lumbalah kita bagi memenuhi syarat-syarat yang diminta untuk dipenuhi dan dicukupkan. Maka segala usaha kita dihalakan bagi menyediakan satu tapak perjuangan bagi kebangkitan yang dijanjikan ini. Namun ujian tetap ujian, dan ia datang silih berganti. Sesuailah dengan nikmat yang besar maka ujian yang datang juga pun bukan sembarangan.

Berlakulah ujian demi ujian kepada Abuya dan pengikutnya, hingga pernah diharamkan dan disesatkan, ditangkap dan dihina, hingga seluruh negara diperkatakan mengenainya. Sesuailah dengan khabar gembiranya, maka begitulah juga ujiannya.

Bila berlaku ujian, kita diajak muhasabah dan merenung-renung diri kita. Adakah kita sudah memenuhi syarat-syaratnya? Bila ujian melanda, ketika itu keluarlah diri kita yang sebenarnya. Baru kita tahu malaikat atau apakah sebenarnya yang ada dalam diri kita. Dan hasilnya, kita dapat kenal dan lihat siapa kita dan sekeliling kita. Kawan atau lawan, dan ada orang-orang yang bila diberikan ujian atau didatangkan ujian, maka dia berpatah ke belakang semula, bahkan menafikan semua kebaikan yang didapatinya selama bersama Abuya.

Ada yang kerana lemahnya jiwa, tidak tahan dengan ujian, saggup mengatakan Abuya menipunya, menggunakan hadis-hadis Nabi untuk perjuangannya. Kesian orang seperti ini. Sudahlah lemah jiwa, bila periksa fardhu ainnya, dia telah menafikan Qada dan Qadar Tuhan terhadap dirinya. Apa yang selama ini dilaluinya, habis begitu sahaja!

Abuya tidak berbohong, Abuya tidak menipu. Abuya hanya menyampaikan dan berkongsikan Hadis-hadis Nabi S.A.W. dan mempersiapkan kita dalam memperjuangkannya. Kita sahaja yang tidak sabar, kita berharap ia berlaku pada tangan kita. Apakah kita lupa bahawa kebanyakan Hadis-hadis Nabi S.A.W. terjadi selepas kewafatan Baginda?! Apakah kita juga nak mengatakan bahawa Nabi juga berbohong?! Sifat wajib bagi seorang Rasul itu ialah Benar, bukan bohong!

Misalnya, orang tanam benih pokok durian, adakah hasilnya setahun dua? Bukan! Bahkan anak dia pun tidak dapat menikmatinya. Biasanya generasi cucu atau cicit yang akan menikmati buah durian itu tadi. Begitulah tamsilannya.

Kalau begitu, apa yang mahu disedihkan kalau ia belum berlaku?! Bukankah ia termasuk dalam Rahsia Allah?! Kita tidak rugi sedikit pun, kerana kita sedang persiapkan kepada generasi yang berikutnya, dan boleh jadi ia berlaku juga bukan di tangan kita! Kebenaran ini milik Allah. Dia Maha Berkuasa, boleh diberikan kepada sesiapa yang Dia mahu. Abuya telah mengingatkan kita, bahawa bukan kita sahaja yang sedang dipersiapkannya. Abuya pernah mendoakan orang lain juga, yang bukan dari anak didikannya.

Mari kita flashback semula di era mula-mula kita diberi kesedaran oleh Abuya. Apakah matlamat hidup kita setelah diberi kesedaran terhadap Islam? Bukankah kita ingin menjadi hamba Allah? Bukankah kita ingin mendapatkan hati yang selamat, yang jika dibawa menghadap Allah ianya diterima bukan dilempar semula, bahkan dicampak ke dalam neraka? Bukankah itu tujuan dan niat asal kita?

Kita diberi tawaran dan peluang untuk menjejak kehidupan para Sahabat, menghidupkan kembali ajaran Nabi Muhammad S.A.W. yang kian semakin dilupakan orang. Bahkan, Nabi S.A.W. ada menjanjikan bahawa di akhir zaman ada satu kelompok yang sangat luar biasa rindu dan cintanya pada Baginda S.A.W. Maka kita pun sangguplah untuk mengusahakannya. Kena ingat, kita bukan ditawarkan dunia!

Perlu kita ingat lagi, bukan kita sahaja yang pernah merebut tawaran dan peluang ini! Generasi-generasi sebelum kita, merekalah yang sangat-sangat merebut dan mengusahakannya. Namun ia tidak berlaku di tangan mereka, lalu didoakan agar ianya berlakulah di tangan anak cucu mereka. Sepertilah yang terjadi pada Abu Ayub Al-Ansari R.A., sahabat yang mendengar Hadis Nabi tentang kejatuhan Kostantinopel ke tangan Islam. Dia cuba membenarkannya, namun realitinya tidak berlaku dan dia tidak kecewa! Tidak pula berkata Nabi menipunya, bahkan dia minta untuk dikebumikan di sana kerana ingin mendengar derapan kaki kuda siapa yang akan membenarkan Hadis Nabi ini. Ternyata ianya berlaku 700 tahun selepas itu!

Apa kaitan mati dan kebangkitan Islam kedua ini? Perlu diingat, Ikhwan dan Asoib yang bersama-sama PBT dan IM itu sangat mengusahakan kematian yang Husnul Khatimah. Bila mempersiapkan kematian, ertinya menyiapkan hati yang selamat menuju Allah. Hati yang tidak terikat lagi dengan dunia dan segala kepentingannya. Hati yang beginilah yang diminta untuk mendapatkannya. Hati inilah yang tidak akan ditipu oleh dunia dan isinya. Inilah antara syarat untuk mendapatkan hati sahabat, hati yang sentiasa mengenangkan kematian. Setelah ada hati-hati begini, barulah kemenangan akan diberikan. Kemenangan tidak akan diberikan jika hati-hati pejuang kebenaran masih belum ditahap ini.

Kita baru diuji sedikit, sudah mengeluh, tidak tahan, kecewa, melenting, mengamuk, putus asa, bahkan ada yang tinggalkan semua kebaikan yang diperoleh selama ini. Lihatlah sahabat, ketika berlakunya perperangan di Muktah di zaman Rasulullah. Mereka tidak berjaya menawan Rom. Namun mereka tidak berdukacita apatah lagi berputus asa. Ternyata selepas kewafatan Nabi barulah berlaku kemenangan itu.

Nabi nak hadiahkan sesuatu pada Sahabat-sahabatnya, iaitu hati yang 100% bergantung dengan Tuhan. Dan itulah juga yang berlaku pada kita saat ini, hati yang bukan inginkan dunia, tapi inginkan Pencipta kepada dunia dan segalanya, Dia-lah Allah yang Maha Esa, tempat kembalinya kita.

Apa kata Nabi Muhammad S.A.W. tentang MATI namun membuatkan sahabat gila-gila berjuang.

Pada satu hari, Rasulullah S.A.W.  masuk ke tempat sembahyang dan Baginda melihat beberapa orang sedang bergelak ketawa atau berbual kosong. Lalu Baginda bersabda yang bermaksud :
“Kalau kamu semua memperbanyakkan mengingati perkara yang melenyapkan segala kelazatan hidup (MATI), nescaya kamu akan menjadi sibuk (bersungguh-sungguh) sepertimana aku melihat kematian.”
“Oleh itu perbanyakkanlah mengingati mati kerana tidak berlalu satu hari melainkan kubur akan berkata, ‘aku rumah kesepian, aku rumah keseorangan, aku rumah tanah dan aku rumah ulat dan cacing.”
“Apabila dikebumikan hamba yang beriman, maka kubur berkata kepadanya, ‘marhaban wa ahlan’ (ucapan selamat datang), kamu adalah orang yang aku kasihi di kalangan mereka yang berjalan di atas belakangku, dan apabila aku menerimamu hari ini, lihatlah apa aku akan lakukan kepada kamu.”
Sambung Nabi saw lagi ; “Maka kubur pun menjadi luas sejauh pandangan matanya dan dibukakan juga kepadanya pintu yang menghadap ke syurga..”
“Dan apabila dikebumikan hamba yang berdosa dan kafir, maka kubur berkata kepadanya, ‘la marhaban wa la ahlan’ (yakni tidak diundang dan tidak diterima kehadirannya).’
Engkaulah antara mereka yang paling aku benci yang berjalan di atas belakangku selama ini. Dan apabila aku menerima kamu hari ini, kamu akan saksikan apa yang bakal aku lakukan terhadapmu.”
Sabda Nabi SAW yang maksudnya, “Maka kubur pun sedikit demi sedikit mula menghimpit tubuhnya hingga bertemu rapatlah segala tulang belulangnya.”
Rasulullah SAW mengepal jari-jarinya lalu menyambung, "Dihantarkan kepadanya tujuh puluh ular besar lagi berbisa, jika seekor daripadanya menyemburkan bisanya ke atas muka bumi ini, nescaya tidak akan tumbuh sesuatu apa pun. Selama mana baki dunia ini, maka selama itulah dia akan dibelit dan dipagut ular-ular itu hinggalah tiba hari perhitungan (Yaumul Hisab).”
Nabi SAW bersabda lagi maksudnya : “Kubur itu samaada sebuah taman syurga ataupun sebuah lubuk api neraka.”

Mendengar pesan Nabi S.A.W. ini cukup membuatkan hati sahabat tidak lagi terikat dengan dunia. Hati ditakut-takutkan dengan kematian namun dalam masa yang sama diberikan gambaran indahnya khabar yang menanti bila berjaya mendapatkan hati yang selamat ini. Ugutan ini dilakukan Baginda dan hasilnya lahirlah generasi sahabat yang sangat berjuang membenarkan Islam.

Bila berjuang dan berjaya, mereka bertasbih dan memuji Tuhan. Bila berjuang namun tidak berjaya, mereka muhasabah dan membaiki diri. Kerana hasil perjuangan, bukan kemenangan bersifat dunia, tapi kemenangan maknawi iaitu berjayanya nafsu dalam diri ditundukkan. Jika masih hati merasa selamat, seolah-olah kitalah orangnya yang layak diberi kemenangan, ertinya bukanlah kita orangnya.

Kita perlu ingat, kemenangan diberikan jika ada orang-orang yang sudah mencukupkan dan penuhi syarat-syaratnya. Kita semua tidak dijanjikan, hanya PBT dan IM sahaja yang dijanjikan. Kita diberikan peluang dan tawaran, dan ada syarat-syarat yang mesti dipenuhi. Kalau sudah ada orang-orang yang mencukupkan syarat, ketika itulah kemenangan akan diberikan. Islam pasti menang dan terus menang, manakala kita hanya orang yang diberikan tawaran dan peluang.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?