ORANG ROH TIDAK TAKUT DAN TIDAK PULA BERDUKACITA.


أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُم مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّهِ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ
"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah)." Al-Baqarah: 214

Selaku hamba Allah, kita mestilah bersikap dan berwatak yang sesuai dengan peranan hamba. Hamba itu tidak merasakan dirinya tuan, tidak merasakan dirinya mampu, boleh berbuat, kuat, hebat, dan lain-lain. Hamba itu yang patut ada padanya adalah rasa bersalah, malu, mengharap, rasa berdosa, dan seribu satu rasa lagi yang lahir dari hasil sembahyang yang melahirkan hamba Allah yang takut-setakutnya dengan Allah dan rindu serindunya dengan Rasul.

Selaku hamba juga, kita tidak boleh menjamin diri kita telah selamat. Hamba itu merasakan dialah yang paling tidak selamat. Lihatlah pada peribadi Sayyidina Umar Al-Faruq, dia merasakan dialah yang akan masuk neraka sedangkan terang-terang dalam hadis Nabi S.A.W. mengatakan dia adalah ahli syurga. Betapalah kita yang tiada jaminan nasibnya.

Hinggakan Tuhan menegur kita dengan ayat-ayat di atas, menunjukkan bahawa jangan harap kita dapat syurga selagi belum diuji seperti kaum-kaum sebelum kita, atau orang-orang sebelum kita. Mari kita nilai diri kita, keluarga kita, perjuangan kita, apakah sama dengan mereka-mereka terdahulu seperti para sahabat dan solehin?

Pejuang-pejuang kebenaran itu antara ciri-cirinya, mereka tidak gentar dengan dugaan dan ujian yang melanda. Kerana ujian yang datang itu adalah proses untuk menguatkan jiwa mereka. Kekuatan jiwa mereka itu berpunca dari sejauh mana lembut dan lunaknya hati mereka. Itulah Abuya ingat-ingatkan kepada kita selama ini, ujian adalah ubat pelembut jiwa. Firman Allah Ta'ala di dalam Quran;

أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
"Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan dan ketakutan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita ." Surah Yunus: 62

Orang bertaqwa itu telah mencapai tahap roh yang mantap, tidak takut dengan manusia dan kuasa manusia, kalau didatangkan ujian dari manusia tidak pula berdukacita. Orang yang telah memiliki roh yang matang tidak takut dengan kemiskinan, jika terjadi kemiskinan tidak pula berdukacita. Orang mukmin yang memiliki roh yang matang tidak takut dengan kesakitan, kalau terjadi tidak pula susah hatinya.

Roh yang matang tidak bimbang dengan penghinaan dari manusia, kalau terjadi tidak pula sakit hatinya. Orang mukmin tidak takut dimurka oleh manusia, kalau terjadi tidak pula susah hati. Kekasih Tuhan itu tidak takut dan bimbang tentang rezekinya, kalau tidak ada redha hatinya. Orang mukmin itu tidak takut tidak dikasihi orang, kalau terjadi tidak pula cacat jiwanya.

Wali Allah itu tidak bimbang kalau tidak ada harta, kalau hilang hartanya tidak pula jiwa derita. Orang mukmin tidak bimbang dengan takdir Tuhannya, kalau terjadi tidak pula bersedih hati. Wali Allah itu tidak takut meninggalkan dunia, harta benda dan sanak-saudaranya, dan tidak pula bersedih dengan kematiannya. Orang mukmin takut hanya dengan Tuhannya, dia berdukacita kalau terbuat dosa, dia takut kalau Tuhan tidak redha, dia susah hati kalau lalai dengan Tuhannya, dia bimbang kalau tercabut imannya, dia bersedih kalau cuai dengan ibadahnya.

Orang yang bertaqwa matangnya sentiasa saja dipimpin Allah. Kerana memang mereka adalah kekasih-Nya. Sekali-sekala disusahkan-Nya untuk naik pangkat. Hati mereka tetap redha. Sekali-sekala dimewahkan kehidupannya, untuk dapat pahala syukur. Ya, dia tetap bersyukur. Dia tidak tersungkur jatuh oleh kemewahannya.

Adakalanya dia ditekan oleh musuh-musuhnya. Mungkin dizalimi, dengan berbagai-bagai caranya. Agar dia bertambah berpaut dengan Tuhannya. Supaya dia merasakan Tuhan dekat dengannya. Rasa kehambaannya bertambah-tambah menebal di jiwanya.

Dia juga tidak lepas dari pujian dan cacian. Memang Allah lakukan demikian rupa. Agar dia merasa malu dengan Tuhan dari pujian. Rasa tidak layak menerimanya. Kerana itu milik Tuhan, bukan miliknya. Dengan cacian menyedarkan dirinya memanglah demikian. Hamba patut menerima kejian. Kerana hamba mempunyai kelemahan dan kesalahan.

Dia berusaha membaiki dirinya. Sesiapa yang mencacinya dan menghinanya didoakannya. Moga-moga Allah ampunkan dosa-dosanya, dosa-dosa kita pun diampun. Rasa berdendam dan bertindak tidak dilakukannya. Kalaupun ada rasa hendak marah, dia boleh membendungnya. Begitulah orang yang bertaqwa. Dia sentiasa di dalam pimpinan Tuhan-Nya.

Kalau begitu, indahnya menjadi orang yang sebegini. Apa-apa pun didatangkan padanya, semua jadi positif. Dia tidak melenting, bahkan sangat menerimanya, walaupun berat dan buruk bentuknya. Marilah kita bersama-sama memburu ciri-ciri atau sifat orang bertaqwa ini. Kerana kemenangan pun akan diberikan bila syarat-syarat sudah dipenuhi. Ikhwan dan Asoib itu, inilah ciri-cirinya. Islam pasti menang dan terus menang. Islam tidak akan kalah-kalah lagi. Tapi, jika kita tidak cukupkan syarat-syarat ini, kita tidak tergolong dalam orang yang memburu janji!

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?