MUJAHID ATAU PEJUANG KEBENARAN YANG SEBENAR.

Pejuang kebenaran sebenar berusaha dengan gila-gila, bermati-matian memberikan yang terbaik untuk Allah dan Rasul S.A.W. Kita diciptakan untuk menjadi hamba dan khalifah Tuhan di bumi. Hamba dan khalifah, dua peranan yang tidak boleh dipisahkan. Jika dipisahkan, salah satunya akan jadi jumud, satu lagi akan jadi keras dan tidak berhikmah walaupun di atas landasan kebenaran.

Sekolah Roh atau Universiti Roh melahirkan manusia yang berwatak hamba dan berperanan sebagai khalifah di atas bumi-Nya. Madrasah Roh ini atau UniRoh ini melahirkan hati hamba yang takutkan Allah. Hati yang merasa takut untuk hidup melainkan hanya untuk Tuhannya.

Hati si hamba mana yang tidak jatuh hati pada Tuhan, kerana mengetahui yang Tuhan begitu sayang gila terhadapnya. Tuhan sanggup menciptakan sesuatu yang tidak memberi manfaat dan mudharat pada-Nya. Kita ini hamba, manalah memberi faedah sedikit pun kepada Tuhan! Bahkan kitalah yang mengambil faedah daripada-Nya. Baiknya Tuhan.

Oleh itu, Sekolah Roh sahajalah yang mampu lahirkan pejuang-pejuang yang sanggup memperjuangkan Allah dan Rasul dengan gila-gila dan bermati-matian.


Pejuang-pejuang yang bersungguh-sungguh membela Allah dan Rasul ini adalah sebenar-benar jihad fisabilillah. Jihad itu adalah bersungguh-sungguh demi Allah dan Rasul, gila-gila untuk Allah dan Rasul. Jihad bukan bererti berperang sahaja. Janganlah jumud! Jihad itu bila membuka restoran atas nama Allah dan Rasul, itu pun dikira jihad. Begitu jugalah di aspek-aspek yang lain.

Jihad atau Mujahadatun Nafsi ialah dengan memasuki kancah pertempuran antara yang hak dan yang batil, karena melaksanakan perintah Allah. Pertempuran yang berlaku adalah di dalam diri, antara mengikut hawa nafsu atau mengikut Tuhannya. Demi Tuhannya, dia berperang dengan nafsunya, mengorbankan kehendaknya demi kebaikan Islam, demi menjaga perpaduan, menjaga kasih sayang, sekalipun pandangannya adalah benar dan bernas. Sekolah Roh melahirkan insan yang menang dalam pertempuran dengan hawa nafsunya.

Mujahadatun Nafsi (Jihad dengan diri) ialah kita suka kebenaran itu dialirkan melalui tangan orang lain. Nafsu lebih suka kebaikkan itu melalui kita.


Menurut Abuya, sejarah adalah guru yang lebih baik. Kita datangkan contoh kisah popular Melayu, iaitu Singapura dilanggar Todak. Ketika itu ada seorang budak memberikan pandangan supaya dibuat benteng dengan batang pisang dan pandangannya diterima, setelah banyak berlaku kematian kerana sebelum itu orang ramai membenteng dengan diri diri mereka. Apa yang berlaku, ramai pembesar istana tidak boleh menerima budak itu, hanya kerana dia adalah seorang budak! Inilah yang berlaku bila mazmumah menguasai diri, walaupun pandangan yang baik itu menyelamatkan, namun jika datang dari orang lain kita tidak boleh menerimanya. Belajarlah dengan sejarah, kerana ia boleh mematangkan jiwa.

Rasulullah S.A.W.-lah yang mengajar kita bahawa melawan hawa nafsu adalah lebih besar dari perperangan yang mengorbankan nyawa. Kata Nabi S.A.W. kepada para sahabat bilamana pulang dari Ghazwah Badar; "Kita baru pulang dari Jihad Kecil menuju Jihad Besar". Tanya sahabat, "Apa Jihad Besar itu?" Sambung Nabi lagi, "Jihad melawan hawa nafsu".

رَجَعْنَا مِنْ جِهَادِ الأصْغَرِ إلَى جهادِ الأكْبَرِ، ومَا هِيَ يَا رسولَ اللهِ؟ قَالَ: جهادُ النَفْسِ

Mempraktikkan pelajaran dari Sekolah Roh demi menjadi murid yang benar-benar berjaya, samada di dunia mahupun di akhirat. Ajaran Sekolah Roh ialah, sanggup menekan-nekan nafsu, demi kepentingan bersama. Biar diri terkorban demi menjaga perpaduan semua. Sekolah yahudi cukup bertentengan dengan Sekolah Roh. Yahudi melahirkan manusia yang merasakan dirinya lebih baik dari orang lain, pertahankan pendiriannya sekalipun yang lain terkorban. Lahirlah manusia-manusia bersifat diktator jika punya kuasa, atau yang merajuk jika lemah jiwa.

Adakalanya kita kena sanggup menggunakan strategi membodohkan diri, seolah-olah kita tidak tahu apa-apa. Bagi menjayakan strategi tersebut, kita kena sanggup menekan nafsu kita, sedangkan kita tahu kehendak atau pandangan kita mungkin sangat memberi kebaikan tapi demi mengelakkan dari berlakunya ketegangan dan perpecahan, maka kita sanggup menekan nafsu kita demi untuk kebaikan semua.

Allah telah memerintahkan kita untuk berjihad dengan diri dan harta. FirmanNya :
"Berangkatlah kamu berperang baik dalam keadaan merasa ringan ataupun merasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui." At-Taubah: 41

"Perangilah orang-orang musyrik itu dengan harta, diri dan lisanmu..." Riwayat Imam Abu Daud dan Imam Ahmad.

Berperang dengan hawa nafsu itulah jihad. Melawan kehendak-kehendak diri yang mengajak kepada kejahatan, ataupun menahan diri dengan kebaikan demi menjaga kepentingan semua walaupun kita adalah benar. Abuya demi menjaga perpaduan, sanggup dikatakan sesat oleh kerajaan. Abuya pandang perkara yang lebih besar lagi.

Sekolah Roh melahirkan manusia seperti Abuya. Sekolah Roh jugalah melahirkan insan-insan seperti para sahabat, para aulia, para solehin, imam-imam mujtahid dan mujaddid.

Fudhalah bin Ubaid R.A. berkata, "Aku juga mendengar Nabi S.A.W bersabda":
المجاهد من جاهد نفسه في الله
"Mujahid itu ialah orang yang melawan nafsunya kerana Allah" -Riwayat Imam Tarmizi dan Imam Ibnu Hibban.

Jihad atau Mujahadatun Nafsi menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah, memahami Islam itu sendiri dengan sebenar-benarnya. Memahami Islam dengan kehendak Tuhan bukan kehendak dirinya. Dari faham akan melahirkan amal atau praktikalnya.

Seterusnya menurut Ulama Ahli Sunnah lagi, Jihad ialah mengajak atau menyeru atau membawa dan membimbing manusia kepada kebenaran. Yang belum Islam nak diislamkan, yang Islam hendak ditingkatkan keislamannya.

Kemudian lagi, Jihad ialah bersabar menghadapi ujian, cabaran, dan dugaan dalam perjuangannya, bersabar dalam menghadapi ujian daripada manusia, nafsu, dan syaitan. Menanggung semua itu kerana Allah, juga adalah Jihad.

Siapa yang telah mengetahui, mengamalkan, dan mengajarkan serta mengajak manusia kepada kebenaran, maka ia dipanggil sebagai manusia yang agung dalam kerajaan langit. Inilah hasil lepasan Sekolah Roh.

Fudhalah bin Ubaid R.A. berkata, Rasulullah S.A.W. pada Haji Wada' (Ibadah Haji yang terakhir) bersabda :
"Ketahuilah! ku khabarkan kepada kamu bahawa, orang Mukmin ialah orang yang menyebabkan orang lain merasa aman samada hartanya (lahiriah) ataupun jiwanya (maknawiah), Muslim ialah orang yang orang lain selamat dari lidah dan tangannya, Mujahid ialah orang yang berjihad terhadap dirinya dalam mentaati Allah dan Muhajir ialah orang yang meninggalkan kesalahan dan dosa." Riwayat Imam Ahmad.

Popular posts from this blog

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?

APA ITU JIHAD FISABILILLAH?