RAHSIA KEKAL RAHSIA BERSAMA ABUYA.

Menurut Abuya, mereka yang sangat faham jadual Allah buat umat akhir zaman adalah dari dua kelompok. Pertama Abuya Pemuda Bani Tamim, dan kedua adalah Yahudi. Abuya tahu tentang jadual tersebut dan berjuang untuk membenarkan supaya ianya berlaku. Kelompok kedua iaitu yahudi, tahu jadual Allah tapi berjuang untuk menggagalkannya.

Kita dedahkan pembongkaran mengenai satu daripada ramalan Yahudi tentang kemunculan Imam Mahdi, yang secara jelas sebenarnya telah disebutkan dalam Hadis Nabi yang sahih, dan ini jelas bahawa Yahudi telah megkaji dan mengambil petikan dari riwayat hadis Nabi mengenai peristiwa akhir zaman, dan kemudiannya mengakui bahawa ianya merupakan sebahagian dari telahannya. Firman Allah:

وَإِذْ قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إليكم مُّصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ يَأْتِي مِن بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ فَلَمَّا جَاءَهُم بِالْبَيِّنَاتِ قَالُوا هَٰذَا سِحْرٌ مُّبِينٌ

"Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku - bernama: Ahmad". Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir yang jelas nyata!" As-Saf: 6

Sebelum Rasulullah S.A.W. dilahirkan, kisah kelahiran baginda telah diceritakan lebih awal di dalam Kitab Taurat dan Injil. Disebut dengan nama Ahmad, dan bukannya Muhammad seperti setelah dilahirkan. Kelahiran agung itu telah dihafal dan dijiwai oleh pendeta Nasrani dan rahib Yahudi, hingga mereka mengenali sifat Rasulullah S.A.W. itu lebih daripada anak mereka sendiri. Malah ada yang ternanti-nanti kelahiran tersebut dan mengharap Nabi tersebut adalah dari kalangan mereka.

Ketika telah lahir Rasulullah S.A.W., mereka terus mengenalinya dengan tanda-tanda yang telah disebut di dalam kitab-kitab mereka. Ketika dakwah dari Rasulullah S.A.W. sampai kepada mereka, merekalah yang menjadi penentangnya. Kerana iri hati dan dengki, bukan kerana tidak tahu kebenaran, kerana Rasul yang bongsu itu bukan datang dari kaum mereka, tetapi datang dari kaum yang mereka sangka lemah dan tidak ada nilai apa-apa.

Hingga kini, Yahudi dan Nasrani tidak berhenti memusuhi Islam. Mereka terus menerus merosakkan umat Islam kerana marahnya mereka kepada Tuhan.

يُجَادِلُونَكَ فِي الْحَقِّ بَعْدَمَا تَبَيَّنَ كَأَنَّمَا يُسَاقُونَ إِلَى الْمَوْتِ وَهُمْ يَنظُرُونَ
"Mereka membantahmu tentang kebenaran (berjihad) setelah nyata (kepada mereka yang engkau janjikan), seolah-olah mereka dihalau kepada kematian, sedang mereka melihat (sebab-sebabnya)." Al-Anfal: 6


Yahudi dan Nasrani teruslah diburu rasa cemburu dan tidak puas hati, hingga mendorong untuk merosakkan hubungan umat Islam dengan Allah dan Rasul. Sepertilah firman Allah Taala dalam Quran:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya pertunjuk Allah (Agama Islam) itulah pertunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahi yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu." Al-Baqarah: 120

Kali ini, Suara Haramain mengajak kita semua, selaku umat Islam merenung kembali ke dalam diri kita. Apakah sikap-sikap yang ada pada Yahudi dan Nasrani, ada pada kita? Apakah kita juga sama seperti mereka, mahu kebenaran itu hanya datang pada diri kita? Jika datang dari tangan orang lain, kita marah, kita tentang habis-habisan, sampai sanggup melihat kebenaran dihina dan dikata-kata. Kalau ada sikap-sikap itu pada diri kita, bukanlah kita orangnya yang akan bersama-sama kebenaran ini. Kita sama sahaja seperti musuh-musuh Islam tadi, yang hanya mahu kebenaran datang dari diri kita.

Kata Sayyidina Umar, terimalah kebenaran walau datang dari budak hitam sekalipun. Jika kita punya ilmu menggunung, hebat bagaimanapun kita, ia tidak menjamin keselamatan.


Ilmu sahaja tidak boleh menjamin Iman kita. Ia perlukan amal yang menghasilkan natijah yang mulia. Jika ilmu sudah cukup untuk menyelamatkan Iman, kenapa ramai sekali pendita Nasrani dan rahib Yahudi menentang kebenaran?! Sedangkan hakikatnya mereka sangat tahu yang ditentang itu adalah kebenaran yang datang dari Tuhan?! Hanya sedikit sahaja yang dicatat sejarah, yang betul-betul terima kebenaran daripada kalangan ahli-ahli kitab, atau bahasa modennya ialah ulama.

Bukan hanya ingin berkongsi ilmu dan maklumat, Suara Haramain mengajak umat Islam bersedia lahir dan batin, besarkan jiwa, melakukan persiapan diri, kerana kita hidup bukan untuk dunia. Kita ada kehidupan lain yang menanti selepas mati kita, kehidupan yang kekal selama-lamanya, yang mana kehidupan itu sangatlah ada kaitan dengan persiapan kita sekarang!

Kebenaran itu milik Tuhan. Ia adalah rahsia Tuhan! Tuhan tidak bukakan rahsia itu sembarangan. Kerana bersama rahsia ada ujian. Terbukti bila ada yang membukanya, sangat berat ujiannya. Itu yang berlaku pada ahli-ahli kitab Yahudi dan Nasrani, atau ulama-ulama mereka. Kerana bila mereka tahu rahsia itu, berat dan sangat berat pula mahu menerimanya. Menunggu ia berlaku sudah menyiksakan. Bila telah terjadi berat yang amat pula mahu menerimanya.

Abuya sangat berharap agar kita tidak mengikut jejak langkah musuh-musuh Tuhan ini. Kita dari dulu diajar supaya bersedia untuk menerima kebenaran dan kebaikan yang bukan datang dari kita. Abuya pun banyak kali berkata, Abuya lebih suka jadi orang nombor 2, kerana takut tidak boleh menerima kebenaran yang datang dari orang lain, takut dengan tanggungjawab yang akan ditanya oleh Tuhan.

Namun ilmu sahaja tidak cukup. Ini telah dicatatkan dalam Quran, kerana bila tiba ujian sudah ternyata ramai yang tersaring. Apa yang berlaku kepada tentera Tholut, dari bilangan lebih puluhan ribu setelah diuji hanya 313 orang sahaja yang tinggal. Ini menunjukkan bahawa bila ujian tiba, ilmu semata tidak menjamin tanpa ketaatan yang lahir dari hati benar-benar lurus!

فَلَمَّا فَصَلَ طَالُوتُ بِالْجُنُودِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ مُبْتَلِيكُم بِنَهَرٍ فَمَن شَرِبَ مِنْهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَمَن لَّمْ يَطْعَمْهُ فَإِنَّهُ مِنِّي إِلَّا مَنِ اغْتَرَفَ غُرْفَةً بِيَدِهِ ۚ فَشَرِبُوا مِنْهُ إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ ۚ فَلَمَّا جَاوَزَهُ هُوَ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ قَالُوا لَا طَاقَةَ لَنَا الْيَوْمَ بِجَالُوتَ وَجُنُودِهِ ۚ قَالَ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَاقُو اللَّهِ كَم مِّن فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ
"Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar". Al-Baqarah: 249

Sejarah perjuangan Abuya juga telah menunjukkan bahawa apa yang berlaku kepada perjuangan Abuya, sangatlah mengulangi sejarah. Abuya pernah membangunkan jemaah Arqam, mempunya ahli seramai 10 000 orang atau lebih. Namun ternyata bila diuji dengan pengharaman, tinggal Abuya seorang! Bahkan pemimpin-pemimpin yang bersama Abuya hilang, hilang bersama Iman mereka.

Ingatkan bila tinggalkan Abuya makin maju, makin kaya, makin kuat pengamalan Islam. Ternyata selepas tinggalkan Abuya, anak dan isteri habis tercabut iman mereka. Bahkan dengan mereka pun hanya iman awamul muslimin, sekadar Iman cukup makan. Itupun cari rezki dengan ilmu-ilmu yang Abuya bagi. Ilmunya diambil gurunya disepak terajang!

"Abuya telah buktikan, dikala tinggal keseorangan dia boleh membangunkan Islam dengan dirinya dan keluarganya sahaja! Ini terbukti sejarah awal Abuya membangun semula, bermula dengan keluarganya. Keluarga Abuya adalah tunggak perjuangan Abuya."

Abuya pernah berkata, kalau Abuya bukanlah ditanggungjawabkan untuk semua, cukup Abuya bangunkan Iman keluarganya sahaja, itu sudah cukup Abuya dengan keluarganya. Namun Abuya bukan untuk keluarganya sahaja, Abuya adalah penyelamat. Siapa yang selamatkan Iman kita kalau bukan Abuya?! Dikala umumnya masyarakat melayu rosak tanpa kesedaran Islam, Abuya yang sanggup ke tengah masyarakatnya membawa satu model kehidupan Islam yang lain dari yang lain. Di masa isteri mufti pun pakai selendang nampak jambul, Abuya dan keluarganya sudah lengkap syariat lahirnya!

Siapa boleh menafikan bahawa Abuyalah bapa dakwah Islam di Malaysia?! Orang lain sampai sekarang Islam hanya pada seminar, mesyuarat, di surau atau masjid, bahkan lebih teruk lagi dijadikan sandaran politik untuk berkuasa. Kata Abuya, kalau betul-betul nak Islam, kena tangkap pun boleh buat Islam, tak perlu tunggu nak dapat negeri apatah lagi negara!

Abuya telah buktikan, dia bersama keluarganya sudah cukup boleh untuk bangunkan Islam. Walaupun keluarganya punya serba serbi kekurangan, Abuya telah buktikan atas nama Abuya mereka boleh kuat, bersatu, membangun atas nama Islam. Itulah kekuatan Abuya yang melahirkan model dalam keluarganya. Telah terbukti di awal perjuangannya setelah diharamkan, Abuyalah yang kutip kita satu persatu. Bukan kita yang kutip Abuya!

Abuya menggunakan keluarganya untuk membangunkan Islam, bukanlah satu kelemahan atau kekurangan. Sebaliknya disitulah kelebihan Abuya, mampu mengikat keluarganya atas cita-cita yang sama. Setiap orang didalamnya punyai kelebihan dan kekurangan yang tidak sama, Abuya dan kebijaksanaanya telah menggabungkan semuanya menjadi kekuatan Islam.

Walaupun ada cubaan memecah belahkan keluarganya, telah terbukti atas nama Abuya mereka boleh bersatu semula. Ini adalah doa Abuya, doa yang pasti dikabulkan Tuhannya. Doa Abuya ialah Islam akan terbangun oleh keluarganya.

Abuya telah buktikan yang doa itu tidak sia-sia. Ketika saya dihantar ke Rompin pada tahun 1997 untuk penahanan ISA ke 2, kata Abuya pada saya. "Fakhrur, bukan Mahathir atau kerajaan yang hantar kamu ke sana! Abuya yang hantar kamu ke sana. Kalau kamu tidak dapat hubungkan hati kamu dengan Abuya dan Sayyidi, tinggallah kamu seorang di sana!"

Abuya telah buktikan dengan keluarganya, cukup Abuya dan anak-cucunya boleh membangunkan Islam. Tapi Abuya bukan untuk keluarganya. Abuya untuk umat sejagat. Abuya adalah penyedia tapak bagi perjuangan Imam Mahdi, yang akan diteruskan bersama-sama Nabi Isa A.S.

Rahsia Allah kekal sebagai rahsia. Rahsia yang selamat bersama pemegang kuncinya. Rahsia yang akan terjadi bila-bila masa. Ia tidak memilih siapa-siapa. Budak hitam pun boleh jadi pemegangnya, kerana ia adalah rahsia. Siapa yang cuba membukanya kena sanggup terima risikonya. Kalau bukan dijanjikan, pasti tidak ke mana. Rahsia dalam rahsia, yang menjaganya adalah Nur segala Nur. Cahaya Nabi Muhammad S.A.W. yang akan menyucikan kembali hati-hati manusia di akhir zaman.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?