SEJARAH ADALAH GURU TERBAIK UNTUK DIJADIKAN PANDUAN DAN INGATAN.

Kata Abuya 'sejarah adalah guru'. Kita kena ambil pengajaran di setiap yang berlaku ke atas jemaah perjuangan ini, mana yang baik diteruskan dan kembangkan. Manakala kekurangannya kita tampung dan perbaiki. Firman Allah :

فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ آيَةً وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ عَنْ آيَاتِنَا لَغَافِلُونَ.
"Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!" Yunus: 92

فَإِن كُنتَ فِي شَكٍّ مِّمَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ فَاسْأَلِ الَّذِينَ يَقْرَءُونَ الْكِتَابَ مِن قَبْلِكَ لَقَدْ جَاءَكَ الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ 
"Oleh sebab itu, sekiranya engkau (wahai Muhammad) merasa ragu-ragu tentang apa yang Kami turukan kepadamu, maka bertanyalah kepada orang-orang yang membaca kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu (kerana mereka mengetahui kebenarannya). Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan yang ragu-ragu." Yunus: 94

Orang Melayu adalah bangsa baru atas nama Islam yang akan menerajui empayar Islam kali ke dua. Abuya adalah pejuang dan pengasas yang menghidupkan model perkampungan Islam bersama beberapa tokoh diperingkat awal yang menjadikan Islam is the way of life.

وَيَقُولُ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْلَا أُنزِلَ عَلَيْهِ آيَةٌ مِّن رَّبِّهِ إِنَّمَا أَنتَ مُنذِرٌ وَلِكُلِّ قَوْمٍ هَادٍ
"Dan berkatalah orang-orang yang kafir: "Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) sesuatu mukjizat dari Tuhannya?" Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang Rasul pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar), dan tiap-tiap umat (yang telah lalu) ada Nabinya yang memimpin ke jalan yang benar." Ar-Ra'd: 7

Sejarah adalah guru. Guru ertinya adalah pembimbing, pengajar, darinya orang dapat maklumat dan manfaat, juga terdapat kebaikan padanya. Namun yang berlaku kita selalu anggap ringan hal berkaitan sejarah. Bahkan, dalam kebangkitan Islam ke dua pun sejarah akan berulang, cuma bentuknya mungkin tak sama. Sesuailah dengan peredaran zaman dan kepada siapa Tuhan pergilirkannya.

Merujuk juga kepada sejarah Arqam ditubuhkan, ia adalah sebuah jemaah yang membawa model kehidupan Islam. Ini semua sudah maklum. Namun adakah generasi kemudian terpindah perasaan yang sama, seperti yang dirasai oleh pembangun-pembangun diperingkat awal?

Apa yang berlaku pada jemaah kini adalah kesinambungan kepada perjuangan Abuya dan orang-orang terdahulu. Cuma kini skopnya lebih meluas dan besar, merangkumi seluruh aspek kehidupan. Generasi kini meneruskan kerja-kerja generasi terdahulu. Itu sahaja. Kerana itu sejarah amat penting, samada untuk pembangunan insan mahupun pembangunan tamadun lahiriah manusia.

Kita tidak boleh ketepikan peranan, pengalaman, dan hal-hal yang berkaitan perjuangan walaupun ianya telah berlalu. Kita perlu belajar dengan apa yang telah terjadi kepada negara kita bilamana sejarah telah diketepikan.

Kita tidak boleh mengatakan kejayaan kejayaan pada masa sekarang tiada kena-mengena dengan masa lalu. Ia sangatlah berhubung kait. Kejayaan sekarang adalah hasil usaha dan titik peluh perjuangan terdahulu.

Sepertilah orang menanam durian benih, bukan untuk dirinya tetapi generasi cucu-cicitnya. Bahkan anaknya pun tidak berkesempatan untuk menerima hasil durian benih tadi. 

Apa yang berlaku bila sejarah diketepikan? Akan lahir satu generasi yang tidak pandai menghormati generasi sebelumnya, walaupun ibu ayahnya sendiri! Kerasa dirasakan kejayaan adalah dari usahanya. Dia rasa usaha generasi sebelum ini adalah kegagalan sahaja, yang dinampak adalah kekurangan. Dia tidak merasakan bahawa ianya adalah sangat berhubung kait satu sama lain, iaitu antara generasi dahulu dan sekarang.

Kita boleh belajar dengan apa yang telah berlaku kepada jemaah Arqam, yang Abuya bangunkan ini dengan apa yang terjadi dengan negara kita.

Kini model perkampungan Islam yang Abuya bina itu tidak lagi wujud di persada dunia, sebagai simbol kehidupan Sunnah Nabi. Ini sesuatu yang amat malang dan sukar diterima sama sekali. Ia merupakan bencana kepada tamadun, jati diri dan warisan bangsa kita atas nama Islam. Ternyata kini satu daripada warisan tamadun melayu Islam kita telah terkubur.

Sepatutnya apa yang dibangunkan Abuya diterima baik demi kemajuan bangsa Melayu, namun yang berlaku ianya dimusnahkan dan cuba dipadam dari sejarah negara sendiri. Hanya kerana berbeza fahaman dan pendapat, menjadikan ianya satu kerugian kepada negara, bangsa, dan agama.

TERPUPUS dengan perbuatan kita sendiri di era untuk memodenkan kehidupan orang melayu kononnya. Perkara yang sama berlaku di Turki oleh Kamal Atarturk. Mengapa? Ini berpunca akibat dasar pendidikan kita yang mematikan penghayatan Islam Melayu.

"Tidakkah ini satu jenayah terbesar ke atas bangsa kerana membunuh salah satu warisan kita yang terbesar. Ulama makan gaji bertanggungjawab penuh ke atas kepupusan dan kesinambungannya!"

Satu daripada warisan kita yang terbesar telah sirna. Sedangkan model kampung Baba dan Nyonya, India, Cina, Portugis dan lain lain terus subur. Menjadi destinasi pelancongan negara kita. 

Kalau kita ke Amerika Syarikat masih boleh melihat penduduk asalnya, dalam satu kawasan model kehidupan mereka iaitu kehidupan perkampungan Red Indian. Kalau di New Zealand wujudnya model perkampungan orang Ibo.

Mengapa jadi begini, mengapa model perkampungan Baba Nyonya, Portugis, dan India boleh hidup subur dan dijadikan aset pelancongan. Sedangkan Islam sangat berjasa kepada bangsa, agama, dan negara. Siapa boleh menafikannya? Mana pembelanya, yang moto perjuangannya untuk agama, bangsa dan tanah air? Rohnya dibunuh secara perlahan-lahan.

Puncanya kenapa? Berpuncanya dari orang yang bertanggungjawab ke atas agama yang hanya makan gaji, tidak memikirkan nasib Iman bangsanya, kerana ada kepentingan diri, juga bercampur hasad dengki dan tidak mahu bertanya, kerana merasakan cukup dengan ilmu yang ada padanya, sedangkan ilmu yang ada padanya pun tak cukup untuk menyuluh dirinya dan keluarganya sendiri!

Antara puncanya lagi, bila sejarah diketepikan. Kita lupa bahawa bangsa kita tidak boleh dipisahkan dengan Islam. Sejarah bangsa melayu yang dikekalkan adalah yang hanya berkaitan dengan budaya sahaja, bukan agamanya. Kalau diceritakan tentang agama pun, sekadar cukup syarat, tidak lebih dari itu.

Antara puncanya juga, apabila dimansuhkan subjek Tulisan Jawi dan bacaan Jawi daripada sekolah-sekolah di negara kita pada awal tahun 1960-an, semasa Khir Johari menjadi Menteri Pelajaran. Jangan kita lupa, tulisan Jawi sangat berkait rapat dengan agama Islam!

Akibatnya pembaca tulisan jawi, tulisan asal bahasa Melayu semakin mengecil dan terus pupus. Selepas 30 tahun timbul satu generasi yang buta jawi. Amat mengejutkan sehingga hendak membaca teks Al Quran pun perlu dirumikan. Sama seperti Turki dijajah oleh fahaman Kamal Atarturk.

Berjayalah bangsa melayu dipisahkan dengan agamanya, walaupun kita dilahirkan dengan nama-nama Islam. Rohnya telah dicabut sedikit demi sedikit.

Itulah kesannya apabila tergamak membuat dasar yang memupuskan warisan bangsa kita. Bila sudah hilang pun masih tidak sedar. Masih kurang kepekaan dan kepedulian kerana terlalu mementingkan kemajuan yang melulu bersifat kebendaan, bahawa tamadun ini adalah kebendaan, projek material dan gah semata-mata .

Perlu disedari, salah satu kehebatan bahasa Melayu ialah satu-satunya bahasa di dunia yang memiliki dua sistem tulisan yang sama kuat. Huruf Jawi dari Timur (Arab Islam ) dan huruf latin dari Barat.

Adakah bahasa yang sedemikian wujud di mana-mana bahagian dunia? Mengapakah keistimewaan ini tidak dikekalkan? Agak pelik, taksub kita kepada tamadun barat sehingga sanggup mengorbankan tulisan asal bangsa sendiri!

Kita bangga dengan hanya menggunakan satu sistem tulisan sahaja iaitu huruf rumi “Latin”. Sumbangan Islam yang terbesar telah dinafikan dengan sengaja. Satu fobia ke atas tulisan tersebut. Mungkin dianggap kuno dan serba ketinggalan oleh golongan pendidikan barat yang menguasai pemerintahan.

Telah terbit ungkapan BAHASA JIWA BANGSA, namun realiti tidak berlaku. Tulisan asal kepada bangsa kita telah dilupuskan. Jiwa atau roh bangsa telah tiada. Kita yang perjuangkan bahasa, hanya cakap tak serupa bikin. Cakap-cakap yang ada kepentingan, cakap-cakap makan gaji. Bukan betul-betul datang dari jiwa. Yang perjuangkan slogan inipun realiti lebih 'speaking' dari cakapnya.

"Hakikatnya tulisan Jawi adalah jiwa bangsa Melayu! Kerana ia ada kaitan dengan soal agama. Bila Jawi terhapus bermakna segala khazanah tamadun kita akan dinyahkan daripada bangsa kita terutama generasi muda. Terpisahlah agama dengan bangsa Melayu."

Begitulah jika kita ketepikan sejarah yang berlaku pada kita. Generasi muda kini dalam sedar tak sedar telah menafikan perjuangan orang terdahulu. Mereka merasakan, perjuangan terdahulu penuh dengan kekurangan, tempang sana sini. Kita lupa, tiada dulu tiadalah sekarang!

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?