BERJEMAAH MENDAPATKAN HATI IKHWAN DAN ASOIB.
Orang roh atau orang yang kaya hati, mereka itulah pejuang sejati yang benar-benar ingin mengulangi kebangkitan Islam pertama. Orang ini juga disebut ikhwan dan asoib pada kebangkitan kedua. ASOIB yang disebut oleh Rasulullah S.A.W. dalam hadis adalah golongan yang fanatik Rasulullah dan para sahabat. Asoib berperanan membantu kebangkitan Islam kali kedua. Sebelum tiba masanya untuk membantu pemimpin akhir zaman secara fizikal (secara rohaninya membantu dengan doa sebelum kemunculannya).
Dia benar-benar ingin mendapatkan hati yang gementar kerana cinta dan takutkan Tuhan. Hati ikhwan dan Asoib di kebangkitan kedua sama seperti hati para sahabat pada kebangkitan pertama. Orang roh atau orang yang kaya hati itu orang kaya hakiki. Tidak ada lagi kekayaan yang boleh mengatasi kaya hakiki. Orang roh atau orang yang kaya hati, imannya kuat. Keyakinannya kental. Akhirat adalah matlamatnya. Dengan dunia ini, ada atau tidak ada, sama sahaja baginya. Orang roh merasa cukup dengan Tuhan. Dia merasa kaya dengan Tuhan.
Para sahabat RA mereka rindukan Nabi Muhammad SAW, mereka hidup di zaman Nabi SAW dan bertemu Baginda SAW. Para ikhwan hidup selepas kewafatan baginda dan tidak bertemu. Maksud sabda Nabi SAW, "akan sentiasa ada sebuah kelompok dari kalangan umatku, yang sentiasa menzahirkan kebenaran tidak ada yang mampu menggugatkan bagi yang menyalahinya sehingga sampailah perintah ketentuan Allah."
Firman Allah:
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Ali-Imran:104).
Matlamat Toifah atau jemaah Islam yang di-perjuangkan ialah untuk melahirkan para pejuang yang hakiki. Pejuang kebenaran yang faham syariat Tuhan. Melahirkan para pejuang yang benar-benar berjuang pada jalan Allah s.w.t. Yang ingin dihasilkan ialah mukmin yang boleh membela Allah dan Rasulullah SAW. Mereka inilah Ikhwan, Asoib, rijalullah, auliya dan solihin.
Orang mukmin kalau dia kaya hartanya ramai yang boleh menumpang dan mendapat manfaat dari kekayaannya. Mereka telah memiliki Allah, Tuhan yang Maha Kaya. Ini bermakna Allah tidak memerlukan kepada sesuatu dan para hambaNya-lah yang memerlukan-Nya. Orang mukmin kalau tidak kaya harta sekalipun tetap seorang yang bermanfaat kepada manusia yang lainnya. Sepadanlah dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, "sebaik-baik manusia ialah yang bermanfaat kepada manusia yang lain".
Dengan takrif ini, kalau seseorang manusia itu hatinya sudah tidak terpikat dan tidak mahu lagi kekayaan dunia ini, maka kayalah dia walaupun dia tidak punyai apa-apa. Tetapi kalau seseorang manusia itu memiliki setengah dunia ini dan dia masih mahukan dan gilakan yang setengah lagi, maka dia tetap miskin kerana dia masih dalam keadaan memerlukan. Dia sentiasa dalam keadaan tidak cukup. Orang ini tidak berjaya dalam mujahadahnya kerana dikuasi nafsu. Bukan sahaja tidak berjaya malah tidak bermujahadah kerana sentiasa menutut hawa nafsunya yang tamak dan gelojoh itu.
Begitulah tujuan berjemaah; mendapatkan hati yang selamat dan menyelamatkan. Natijahnya dapat dilihat dan dirasai oleh lahiriah manusia.