ISLAM KINI ASING DI KALANGAN UMATNYA.

رواه مسلم (145) عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ( بَدَأَ الإِسْلامُ غَرِيبًا ، وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا ، فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ ) .
 Dari Riwayat Muslim (145):

Abu Hurairah telah berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: Bermulanya Islam dengan asing (pelik) dan kembalinya pun seperti mulanya, asing. Maka beruntunglah mereka yang asing itu.

Sejarah telah menceritakan kepada kita permulaan agama yang suci ini. Ia bermula sepertimana dalam hadis di atas tadi, asing. Asing bermakna sesuatu yang bukan kebiasaan. Yang pelik, aneh, dan seumpama dengannya. Bererti ia bukan perkara atau benda yang selalu berada di depan mata atau kebiasaannya.

Kalimah 'gharib' dalam hadis itu jika diertikan dalam bahasa melayu bermakna 'pelik'. Bukan saja-saja Baginda SAW menggunakan perkataan itu. Memang itulah maksud yang Baginda hendak sampaikan.

Kita telah mengetahui sejarah awal Islam yang dibawa Rasulullah SAW, bagaimana yang dikatakan pelik dan asing itu. Namun ada orang menjadi tanda tanya dan persoalan kenapa kembalinya Islam itu pun aneh dan pelik, asing? "Bukankah dunia telah pun menerima Islam? Di mana asingnya? Mana yang peliknya. Yang pelik kalau tiada orang menerima Islam." Inilah pemikiran sebahagian umat Islam.

Abuya sering dan berkali-kali bersyarah kepada kita tentang perkara ini. Malah di awal perjuangan Abuya inilah antara tajuk yang 'top' yang menjadi kuliah Abuya. Namun jika dilihat suasana kini, apa makna asing itu? Bagaimana kita nak membenarkan hadis Rasulullah ini?

Asing kali ini ialah bilamana Roh Islam itu telah tercabut dari umatnya. Maka umat Islam hanya mabuk dengan hal-hal lahiriah sahaja. Mabuk dengan ilmu, hukum-hakam, istilah-istilah, dan perlbagai lagi yang bukan intipati atau nadi atau roh Islam itu sendiri. Kita lihatlah di negara kita Malaysia, memang Islam berada di mana-mana namun apakah roh Islam bersamanya? Apakah manusia telah bahagia dengan Islam yang dimilikinya?

Boleh dikatakan Islam yang ada ibarat bunga plastik sahaja. Cantik tapi harumnya tiada apatah lagi serinya. Islam sebagai hiasan pagar semata sedangkan dalam rumahnya belum pun Islam lagi. Islam kerana mendatangkan harta bukan Islam untuk Tuhannya. Islam untuk dunia bukan untuk akhirat. Islam dikatakan dimana-mana dan setiap masa, di radio, televisyen, malah dalam peranti atau alat-alat pintar buatan manusia. Tapi Islam yang ada tidak menyelesaikan masalah manusia, tidak menghidupkan jiwa manusia. Ya! Kerana Islam yang asal, yang asli, yang 'pure' telah asing kepada manusia dan dunia.

Islam yang ada tak dapat dikaitkan dengan Tuhan. Kalau sembahyang, yang digali hanya fadhilatnya. Yang dikaji hanya pergerakannya. Sembahyang hanya senaman sahaja, senaman akal dan jasad manusia. Bukan seperti sembahyang yang dikatakan dalam Quran, sembahyang yang boleh menyelamatkan diri dari maksiat dan dosa, dari bala dan bencana.

Yang menyedihkan dan menghairankan, Islam kini asing juga kepada pejuang dan pembelanya! Islam yang mendidiknya dari kecil, Islam yang memberinya kesedaran beragama kini menjadi asing kepada kita. Hanya kerana ujian tak seberapa, Islam yang dulu pernah meriah dalam kehidupan kita menjadi asing kepada kita. Sudahlah Islam yang Abuya bawa cukup asing dari kefahaman orang biasa, malah kini ianya juga asing di kalangan pengikut Abuya. Yang kita takut lagi ianya asing dalam keluarga Abuya! Dulu kita bersama-sama membangunkan satu sistem kehidupan cara Islam sebenar, kini ia menjadi asing semula. Yang menakutkan lagi bila kita pernah bersamanya tapi setelah Abuya tiada kita lagi teruk dari orang awam biasa.

Bagi mereka yang berkata masih memperjuangkan Islam Abuya, mari kita muhasabah semula. Apakah Islam yang kita bawa ini benar-benar sama dengan yang Abuya bawa? Atau kita dah olah sesuai dengan kehendak dan peredaran masa? Konon untuk kesesuaian perjuangan kita. Kita kata masyarakat dah menerima Islam Abuya namun figur Abuya belum tiba masanya, tapi yang berlaku kepada kita Islam Abuya pun kita tak boleh pertahankannya! Malah kita lebih teruk dari orang awam biasa. Alasan biasa kita berikan konon nak ikut arus perdana, nak 'mainstream'.

Ketahuilah kita  inilah yang merisaukan kita! Apakah dari generasi kita akan berlaku kesinambungan perjuangan ini? Apakah yang kita akan cerikatakan kepada anak-cucu kita tentang perjuangan kita? Sedangkan Islam kita pun dah nipis senipis kulit bawang. Itu kita bukan anak-cucu kita lagi. Kalau begitu benarlah kata Rasulullah SAW. Islam bermula dengan asing dan kembalinya pun asing. Kalau pejuangnya pun dah asing dari pengamalan Islam yang Abuya bawa, sangat-sangatlah patut Allah perlakukan kita begini rupa. Allah nak benar-benar saring pejuang-pejuangnya. Yang tinggal nanti sangat kecil bilangannya! Benar-benar sedikit seperti kata Abuya.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَاراً 
"Wahai orang-orang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka" (At-Tahrim: 6)
Orang Abuya pun kini dah asing dengan Islam Abuya. Takut kita memikirkannya. Tapi bila teringatkan janji Allah, hiburan tetap ada. Semoga kita semua berusahalah membina iman diri dan keluarga kita. Jika tak sempat bertemu pemimpin yang dijanjikan itu sekurangnya iman kita dah dipersiapkan bersama iman keluarga kita. Kerana asasnya seperti yang disebutkan dalam Al-Quran.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?