MUJAHADAH JUGA ADALAH IBADAH.

Orang Roh (beriman), untuk menerima sesuatu yang fitrah menolaknya, mereka terpaksa bermujahadah. Perlu diingat perintah Tuhan yang mana fitrah susah menerimanya itu, keadaannya lebih selamat, mudah mendapat pahala dan mudah disayangi oleh Tuhan. Sebagai contoh, usaha untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat; mungkin susah bahkan mungkin lalai dan sebagainya tetapi dilakukan juga dengan penuh mujahadah, digagahi melawan nafsu yang amat mendorong untuk lalai. Walaupun hati rasa perit mengusahakan khusyuk tetapi atas dasar perintah Tuhan, dilakukan juga; maka keadaan begini lebih selamat.

Tuhan mengambil kira perit dan menderitanya hamba dalam mujahadah. Mujahadah juga adalah ibadah. Bila bermujahadah Allah akan berikan ganjaran disisi-Nya. Ertinya dalam beribadah yang fardhu, Tuhan anugerahkan satu lagi peluang iaitu mujahadah. Tetapi bagi perintah yang senang diterima oleh naluri, hasilnya banyak tetapi payah hendak mendapat pahala kerana mujahadahnya mudah. Nafsunya tidak tercabar.

Perkara yang payah hendak dilakukan tetapi dilakukan juga dengan tercabar dan terpaksa adakah akan rasa seronok mengerjakannya? Jawapannya tentu tidak seronok sebenarnya. Begitu juga perintah Tuhan untuk kita memaafkan kesalahan orang. Rasanya bagai hendak tercabut nyawa untuk memaafkan kesalahan orang. Hati kita amat sakit dan tersinggung dengan perbuatan orang, tiba-tiba Tuhan perintahkan kita memaafkan dan melupakan saja kesalahan mereka. Keadaan sebegini, jika kita mampu berbuat, ianya lebih selamat mendapat nilai di sisi Tuhan, lebih mudah mendapat pahala dan berpotensi diredhai Tuhan.

Ada pun perintah Tuhan yang boleh diterima oleh fitrah dan naluri memang kita rasa seronok untuk melakukannya cuma kadang-kadang ada halangan dan cabaran, itu adalah masalah yang mendatang (aradhi). Namun kita memang sudah bersedia untuk melakukannya. Contohnya dalam kita hendak menuntut ilmu kerana hendak menjadi pandai. Itu adalah perintah Tuhan yang kita rasa suka untuk melakukannya. Kita rasa terhibur untuk mengusahakan ini namun semasa hendak melaksanakannya, ada bermacam-macam cabaran. Itu soal lain. Di dalam hati sudah merasakan seronok untuk melakukan perintah-perintah itu seperti hendak pandai, maju dan membangun.

Contoh yang menarik dalam hal ini ialah soal kahwin. Perintah berkahwin itu sunat. Bila terdesak hendak berkahwin, itu menjadi wajib. Jadi kalau hendak berkahwin, perlu berusaha mencari pasangan. Perintah ini sesuai dengan fitrah. Jadi kita memang seronok untuk berkahwin kerana berkahwin sesuai dengan tuntutan nafsu, fitrah semula jadi malah sesuai dengan tuntutan nafsu, fitrah semula jadi malah sesuai dengan keperluan biologi manusia.

Firman Allah:

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maka hadapkanlah dirimu ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Ar-Room: 30).

Bila kita berbuat tidak tahu dan tidak sedar apa yang kita buat itu kerana Allah atau kerana hati atau kerana fitrah kita atau mungkin kerana kekuatan biologi. Itu yang menyebabkan kita payah hendak mendapat pahala. Kita mendapat pahala kerana semata-mata tunduk dengan perintah Allah, bukan kerana tuntutan atau dorongan fitrah. Keredhaan Tuhan itu kita akan dapat kalau apa yang kita buat itu kerana Allah bukan kerana seronok melakukannya. Perintah Tuhan ini mempunyai dua bahagian iaitu suruhan dan larangan. Ada perintah 
di mana naluri / fitrah susah menerimanya dan ada pula yang naluri / fitrah senang menerimanya. Begitulah juga tentang larangan Tuhan.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?