ORANG ROH (BERTAQWA) LEBIH HEBAT DARIPADA MALAIKAT.

Islam itu dikatakan agama fitrah. Bila dikatakan fitrah, ia adalah satu pakej yang ada dalam diri manusia iaitu akalnya, nafsunya, rohnya dan jasadnya. Ini satu pakej sandar-menyandar, kuat menguatkan dan saling perlu memerlukan. Setiap satunya tidak boleh bertindak bersendirian. Roh berperasaan, seperti suka dan duka dan lain-lain. Nafsu merangsang atau mendorong manakala akal memikirkan perasaan tadi dan bila didorong oleh nafsu, ia akan fikirkan cara atau kaedah lalu diarahkan fizikal untuk melaksanakannya. Fizikal hanya ikut sahaja.
 
Manusia bila telah mendapatkan Tuhan dia lebih hebat daripada malaikat. Tuhan ciptakan malaikat daripada cahaya dan diarahkan dia berlaku taat hinggalah kiamat. Tidak pernah membangkang kerana Tuhan ciptakannya tanpa nafsu.
Firman Allah:
 
وَعَلَّمَ آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَٰؤُلَاءِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar". (Al-Baqarah: 31).
قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
Malaikat itu menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana". (Al-Baqarah: 32).
Begitulah malaikat yang Allah ciptakan, tidak ada unsur-unsur negatif kerana tidak diciptakan bersamanya nafsu yang mendorong melakukan kejahatan. Dari awal penciptaan malaikat sememangnya ia adalah ciptaan Allah yang luarbiasa taatnya pada Tuhan. Jika ada malaikat yang dicipta untuk sujud kepada Tuhan, dari awal hingga dunia dikiamatkan kerjanya hanyalah sujud sahaja. Tak pernah mengeluh atau mengadu penat, taat setaatnya kepada Tuhan. Malaikat tidak perlu bermujahadah untuk istiqamah dalam beramal kerana mujahadah hanya berlaku bila bertembung dengan hawa nafsu. Jika tiada nafsu maka tiadalah proses muhajadah ini.
 
Bermujahadah dan berperang dengan hawa nafsu ini hakikatnya ialah berperang dengan diri sendiri. Ia sungguh sakit, perit dan menyesakan. Ia sungguh rumit dan mencabar. Ramai orang boleh jadi hero dan wira dalam perang dan pertempuran senjata tetapi tidak ramai yang sanggup lebih-lebih lagi yang berjaya berperang melawan nafsu amrahnya sendiri. Itu sebab Rasullulah SAW mengakatan bahawa perang melawan hawa nafsu ini lebih besar dari perang bersenjata. Orang yang boleh menundukan hawa nafsunya ialah wira yang sejati. Dia selamat didunia dan diakhirat. Kerana inilah Malaikat Jibril cemburu dengan manusia yang beriman.
 
Jika malaikat boleh taat tanpa membantah itu memang sifat malaikat. Namun manusia boleh taatkan Allah malah sanggup bermujahadah untuk Tuhannya itu, inilah yang dicemburukan Malaikat. Dengan ada ujian yang menggoda, halangan dan cabaran namun ada manusia yang beriman boleh mengatasinya inilah yang dikatakan fizikalnya manusia tapi hatinya malaikat. Sepertilah Nabi Muhammad SAW, hatinya malaikat malah mengalahkan malaikat tapi fizikalnya manusia. Malaikat tak perlu makan dan minum, tak perlu tidur atau rehat malah malaikat tak pernah letih. Sedangkan manusia melalui itu semua setiap hari namun pada masa yang sama hati mereka terlatih dan berdisiplin kepada Allah, seperti para malaikatnya.
 
Jika telah lahir manusia-manusia seperti ini maka amanlah dunia. Inilah perjuangan para rasul dan mujaddid, untuk mengenalkan Allah pada manusia dan perjuangkannya hingga manusia itu memiliki hati seperti malaikat, taat dan patuh kepada Tuhan setiap masa dan ketika, dalam sedar atau jaga.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?