APAKAH ITU SEMBAHYANG YANG DAPAT BINA PERIBADI AGUNG?

Sembahyang itu simbol kerinduan, kecintaan, tanggungjawab dan belas kasihan Tuhan kepada hamba ciptaanNya. Ia ialah pertemuan, perbincangan, pengaduan, harapan dan jaminan Tuhan kepada hamba-hamba-Nya. Ia satu projek agung antara hamba dengan TUHAN EMPUNYA ALAM. Dari situ manusia akan mendapat kekayaan paling asasi iaitu sifat TAQWA.

Kita diminta untuk mengatakan 'لا حول و لا قوة الا بالله العلي العظيم' bilamana azan melaungkan kata-kata 'marilah sembahyang', marilah kepada kemenangan'! Ertinya kita mengaku kita tidak mampu untuk sembahyang dan untuk dapat kemenangan. Maka pada siapakah kita mengharap untuk men-sembahyang-kan kita dan menangkan kita?

Allah-lah yang mensyariatkan sembahyang. Allah-lah yang memanggil Rasulullah s.a.w. ke Sidratul Muntaha untuk dianugerahkan sembahyang. Allah ajarkan sembahyang yang agung itu kepada baginda Nabi! Hasil bersembahyang membuatkan hati baginda s.a.w. tidak putus-putus lagi dengan Allah. Rasa-rasa takut, harap, cemas dan bimbang menguasai peribadi dan hati baginda di sepanjang sembahyang. Segala bacaan dan perbuatan di dalam sembahyang yang Allah syariatkan itu benar-benar menghidupkan akal dan rasa hati para hamba kepada Allah.

Maka hasil dan kesan sembahyang itu terjadilah masyarakat yang takut Tuhan dan Rindu Nabi. Maka dari masyarakat itulah akan terbangunnya kemenangan di dalam kehidupan masyarakat Islam. Yakni, Islam dapat ditegakkan pada diri, keluarga, masyarakat dan negara!

Demikianlah agungnya sembahyang yang Abuya ajarkan pada kita hasil diajarkan oleh baginda Nabi dan Saidi pada Abuya. Mana-mana anak murid yang betul-betul mengaji dengan Abuya tentang sembahyang yang agung, ketahuilah bila dia mendirikan sembahyang, maka roh Abuya, mursyidnya akan memandunya untuk sampai terjadi rasa takut Tuhan dan rindu Nabi disepanjang sembahyang, bahkan terkesan sampai diluar sembahyang!

Sembahyang yang tiada roh tidak akan melahirkan sembahyang yang agung, juga tidak melahirkan peribadi yang agung di luar sembahyang. Bahkan sembahyang itu hanya untuk Neraka Wail. Tuhan ingatkan dalam Quran, maksudnya :

"Neraka Wail bagi orang yang lalai dalam sembahyangnya."

Peringkat-peringkat dalam sembahyang.

1. SEMBAHYANG ORANG YANG JAHIL.
Orang yang mengerjakan sembahyang secara zahir sahaja, bacaan pun masih tak betul, taklid buta, main ikut-ikut orang saja. Belajar sembahyang maupun secara rasmi atau tak rasmi tiada. Ilmu tentang sembahyang tiada. Golongan ini tertolak bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaaan derhaka kepada Allah Taala.

2. SEMBAHYANG YANG LALAI.

Orang yang mengerjakan sembahyang, bahkan tahu ilmu mengenai sembahyang, tetapi tak boleh lawan nafsu terhadap tarikan dunia yang kuat. Jadi mereka ini sekejap sembahyang, sekejap tidak. Kalau ada masa dan mood baik ia sembahyang, kalau sibuk dan tergopoh-gapah, ada program kenduri, pesta ria, berziarah, bermusafir, letih dan penat, maka ia tak sembahyang. Orang ini jatuh fasik.

Oang seperti ini, barang yang hilang dijumpai didalam sembahyang. Kalau terlintas kek di fikirannya, dari tepung sampai kek siap itulah sembahyangnya.

3. SEMBAHYANG YANG TIDAK KHUSYU'.

Orang yang sembahyang, kalaupun ilmunya tepat, fasih bacaannya, tetapi tak khusyuk. Kalau diperiksa satu persatu bacaannya, lafaznya, banyak yang dia tak faham, fikirannya tak terpusat atau tak tertumpu sepenuhnya pada sembahyang. Dia tak faham apa yang dia baca. Cuma main hafal saja. Jadi fikirannya terus tertumpu pada dunia dan alam sekelilingnya.

Dia bertarik tali di dalam sembahyangnya, sekali sekala khusyuk, sekali sekala lalai pula. Bila teringat sesuatu didalam sembahyangnya, teruslah terbawa-bawa, berkhayal dan seterusnya. Bila teringat Allah secara tiba-tiba maka insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hatinya serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimat dan bacaan didalam sembahyangnya. Begitulah sehingga selesai sembahyangnya. Ia merintih dan tak mahu jadi begitu, tapi terjadi jua. Sembahyangnya tidak memberi kesan padanya.

4. SEMBAHYANG PARA SOLEHIN

Golongan yang mengerjakan sembahyang secara tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz di dalam sembahyangnya. Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekelilingnya, kerana fikirannya tertumpu pada bacaan sembahyangnya. Walaupun ia memiliki harta dunia, menjalankan kewajiban dan tugas keduniaan seperti perniagaan dan sebagainya namun tidak mempengaruhi sembahyangnya. Hatinya masih dapat memuja Allah di dalam sembahyangnya.

Inilah minima sembahyang yang diterima atau peringkat terendah dalam sembahyang yang diterima. Ertinya, ini adalah seteruk-teruk sembahyang dikalangan orang yang selamat, namun ia lebih baik dari tingkatan-tingkatan tadi.

5. SEMBAHYANG PARA MUQARRABIN, PARI NABI, DAN RASUL.

Golongan ini terlalu khusyuk sembahyangnya, dengan lain perkataan 'fana' dengan Allah. Roh mereka sampai ke alam yang tinggi. Allah itu dihayati sungguh-sungguh, bahkan mereka sembahyangnya sampai Sidratul Muntaha. Inilah pringkat tertinggi dalam sembahyang.

Golongan ini dapat menghayati setiap makna bacaan sembahyangnya, pada setiap kalimah bacaan fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tasbihnya pada setiap sujudnya dan setiap gerak-gerinya dirasai dan dihayati sepenuhnya. Tak teringat langsung dengan dunia walaupun sedikit. Pemujaan terhadap Allah dapat dirasai pada gerak dalam sembahyangnya. Sembahyangnya memberi kesan kepada kehidupannya.

Peristiwa Sayyidina Ali dipanah di kakinya, dan hanya boleh dicabut bila dia bersembahyang, menunjukkan betapa ketika sembahyangnya sangatlah terhubung hatinya kepada Tuhan. Hingga kesakitan yang begitu sekali tidak dirasainya, kerana kelazatan sembahyang. Begitu sekali kesan sembahyangnya kepada jasad lahirnya. Sembahyang peringkat ini telah membuahkan perasaan hamba.

Kemuncak sembahyang peringkat ini, roh mereka bersembahyang bersama roh-roh para Nabi dan Rasul. Roh mereka berada di Sidratul Muntaha, bersama makhluk-makhluk di langit.

KESIMPULAN.

Setelah kita nilai keseluruhan peringkat sembahyang itu tadi, maka dapatlah kita nilai sembahyang kita di tahap yang mana. Maka ibadah sembahyang yang boleh membangunkan jiwa, membangunkan iman, menjauhkan dari yang buruk, boleh mengungkai mazmumah, menanamkan mahmudah, melahirkan disiplin hidup, melahirkan akhlak yang agung, ialah golongan solat para solihin, solat para muqarrabin dan solat para Siddiqin sahaja.

Sembahyangnya ada kualiti, manakala golongan yang lain jatuh pada kufur fasik dan zalim. Jadi dimanakah tahap sembahyang kita ? Perbaikilah diri kita mulai dari sekarang. Jangan tangguh lagi. Soalan pertama yang akan ditujukan kepada kita di akhirat nanti ialah sembahyang kita. Marilah bersama membaiki solat kita agar segera dapat bantuan dari Allah, agar terhapuslah kezaliman, semoga tertegak kembali daulah Islam.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?